| HAMPIR setahun Arbaeyah Abdul Manan, 31, atau Abby Abadi memegang status ibu tunggal dan barangkali ramai menyangka tahun ini kali pertama dia menyambut Aidilfitri tanpa ditemani suami, tetapi sebenarnya ia adalah kali kedua. |
Pergolakan rumah tangga Abby dan bekas suami, Mohamed Nurhakim Zaidon (Norman Hakim), 33, bermula awal tahun lalu dan sejak itu kediaman mereka di Ukay Perdana, Ampang, bagaikan rumah kedua lelaki itu. Pulang apabila suka sehinggalah Abby mengandungkan dan melahirkan anak ketiga, Maria Danisha Hakim, pada 17 September 2008.
"Memanglah usia perceraian saya baru setahun dan orang ingat ini kali pertama akan berhari raya tanpa suami. Sebenarnya sebelum bercerai lagi saya dan anak sudah beraya tanpa Norman. Ini kerana raya tahun lalu pun Norman tidak balik rumah, hanya menjengah sekejap ketika saya mengadakan kenduri cukur jambul Danisha selepas raya.
"Jadi raya tahun ini saya tidak rasa kekurangan di mana-mana malah lebih membahagiakan. Danish (Mohamed Danish Hakim), 6 dan Dania (Marissa Dania Hakim), 4, memahami apa yang berlaku.
"Jika ditanya Danish mengenai papanya pada hari raya ini, dia pun tak kata apa kerana sudah biasa papanya tiada di rumah. Danisha pula anak yang sangat baik sejak dia berada dalam kandungan sampai sekarang. Ketika rumah tangga bergolak, hati tengah bersedih, kecewa dan hampa saya sedang mengandungkannya.
"Agaknya sebab itu dia sangat memahami apa yang saya lalui. Waktu masih bayi pun dia jarang meragam. Sampailah sudah berusia setahun jarang benar dia menangis. Allah itu Maha Kaya.
"Tidak kesal dengan apa yang berlaku. Bukan semuanya buruk ada juga kenangan manis dengan Norman. Apa yang penting sekarang mencari kebahagiaan sendiri dan rezeki untuk menyara anak.
"Saya sedang mencari rumah baru berhampiran rumah emak (Keramat) untuk berpindah selepas raya ini. Mungkin sekitar Wangsa Maju. Sebab itu rumah ini tidak berkemas kerana saya sedang mengumpul dan mengemas barang yang hendak dibawa," katanya.
Abby mengakui dulu hatinya runsing memikirkan sikap Norman dan lama juga dia melalui tempoh memeritkan itu. Kini segalanya sudah berlalu tiada apa yang perlu difikirkannya lagi. Semakin hari hatinya semakin terubat, lega dan dapat menerima apa yang berlaku.
"Sesekali Norman ada menghubungi saya bertanyakan anak. Walaupun saya cuba menidakkannya, tetapi dengan apa yang terjadi terasa benar diri ini dianiayai," katanya.
"Dengan berniaga sikit-sikit ini dapatlah menambah rezeki tahun ini dan mewahlah sikit berbelanja untuk kami empat beranak. Selain berniaga dengan abang ada juga perniagaan lain saya berkongsi dengan Zul (Zulkifli Ariffin). Kami masih berkawan seperti dulu," katanya.
Bercakap mengenai institusi perkahwinan, jelas Abby siapa yang tidak mahu mempunyai rumah tangga bahagia termasuk dirinya.
"Insya-Allah, kalau ada jodoh saya akan berkahwin lagi. Jika bertemu calon yang sesuai serta dapat menerima anak saya, apa salahnya. Kalau tak dapat buat majlis perkahwinan besar, yang kecil pun jadilah asalkan segala-galanya berlangsung dengan baik.
"Siapa calonnya belum tahu, tetapi buat masa ini Zul antara yang rapat dengan saya. Kawan kedua terbaik saya, Facebook (FB). Ia mendekatkan saya dengan peminat dan tempat meluahkan perasaan. Sehinggakan hendak mencari pembantu rumah dan mencari rumah baru pun saya masukkan dalam FB dan ia sangat membantu.
"Saya juga menjawab segala soalan peminat di FB dan ada lebih 16,000 lagi menunggu untuk menjadi rakan saya," katanya.
Dalam bidang lakonan pula Abby terus sibuk di lokasi drama Gerak Khas dan Jalan Merdeka arahan Khabir Bhatia. Penggambaran Hikayat Putera Shazlan musim ketiga akan dimulakan selepas Aidilfitri.
Untuk projek raya pula, Abby akan muncul dalam Trek Selebriti Raya dan baru saja selesai penggambaran filem Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami.
Meskipun tawaran berlakon tidak putus, kata Abby ada juga syarikat produksi tidak mahu mengambilnya berlakon kerana kes tangkap khalwat Norman dan Suhaiza Suhaimi (Memey).
"Pelik pula. Mereka yang ditangkap khalwat saya pun dibabitkan sama. Tak ada kena mengena langsung, tetapi saya tak kisah kerana sejak dulu dan kini memang saya tiada kaitan dengan apa yang mereka berdua lakukan. Insya-Allah masa akan membuktikan segalanya," katanya. Tahun lalu, Abby dilantik menjadi duta Ribena dan kontrak itu disambung setahun lagi tahun ini, tetapi mereka hanya menggunakan gambarnya saja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: