Bob
GARA-gara lagunya tidak menjadi pilihan untuk dimainkan di radio, penyanyi berbakat besar, Bob dikatakan semakin menyepi dalam lapangan seni hiburan.
Hakikatnya, bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua (AF2) itu mengakui menerima banyak tawaran menyanyi sama ada daripada agensi kerajaan mahupun swasta.
Pada masa sama, pemilik nama sebenar Yusrizan Usop ini juga menjadi tenaga pengajar terutamanya dalam bidang nyanyian menerusi syarikat miliknya, Bob Mesra Entertainment.
"Selepas lagu Cinta Terhalang, saya ada menghasilkan empat single lain. Malangnya, keempat-empat single ini kurang dimainkan di radio.
"Hanya mereka (peminat) yang benar-benar serius mengikuti perkembangan saya yang mengetahui akan kewujudan lagu itu.
"Saya agak terkejut juga apabila mengadakan persembahan, ada peminat yang siap menyanyi bersama-sama," katanya ketika ditemui Zass di Festival Kelab Kesenian Seni Cemerlang Sarawak, baru-baru ini.
Mengakui sedikit kecewa, Bob bagaimanapun menjelaskan ia hanya bersifat sementara lantaran tidak mahu memiliki pemikiran negatif selain kerap bermuhasabah diri.
"Saya tidak pernah takut seterusnya menyerah kalah bahkan, saya sendiri sentiasa melahirkan karya-karya baharu demi peminat.
"Saya akui adalah penting untuk sesebuah lagu itu dimainkan di radio. Alhamdulillah, walaupun tidak menjadi pilihan di radio, lagu-lagu itu masih lagi mempunyai peminatnya sendiri," katanya.
Tidak cepat mengalah, Bob kini muncul dengan single terbaharunya, Janji Janji dan Yang Bertakhta dengan susunan muzik baharu.
"Alhamdulillah, setakat ini, kedua-dua lagu ini menunjukkan maklum balas yang baik Malah, ada juga stesen radio tempatan sudah mula memutarkan lagu saya itu.
"Insya-ALLAH, saya hanya berserah semuanya kepada ALLAH SWT agar kehadiran single itu dapat membawa balik nama saya kembali ke persada," kayanya.
Dalam perkembangan lain, Bob terpilih menjadi tenaga pengajar di bawah program Bimbingan Seni Budaya menerusi Festival Kelab Kesenian Seni Cemerlang Sarawak anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN).
"Saya dijemput oleh JKKN untuk menjadi tenaga pengajar di bawah program ini.
"Selain turut berlakon bersama-sama mereka, saya juga banyak berkongsi pengalaman sebagai artis budaya sehingga berjaya ke tahap ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: