Friday, November 6, 2015

Nahas Dakota C-47B: Gigi milik juruterbang diserah



500 pesawat Perang Dunia ke-2 terhempas di M'sia?
Ketua Penyelidik Ops Gangga, Kapten Muhd Zuraiman Abd Ghani (kiri) bersama penyelidik Malaysia dan Amerika Syarikat menunjukan rangka pesawat Dakota C-47B yang terhempas hampir 70 tahun lalu di sebuah hutan simpan di Beruas, Perak.
PETALING JAYA - Sebatang gigi milik juruterbang Amerika Syarikat (AS) yang terbunuh dalan nahas pesawat Dakota C-47B terhempas di Beruas, Perak pada tahun 1945, diserahkan kepada kerajaan negara itu di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, di sini.
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Wira Mohd Johari Baharum berkata, gigi berkenaan adalah milik seorang juruterbang Amerika bernama Judson B. Baskett yang ditemui ketika Op Gangga di Beruas pada 7 September lalu.
"Bahagian rangka yang lain tidak dapat ditemui kerana dipercayai telah reput akibat faktor tanah di sana (Beruas) terlalu ekstrem," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan istiadat penyerahan barangan milik tentera Amerika di pangkalan TUDM, Subang, hari ini.
Op Gangga merupakan misi ekskavasi bagi membawa keluar tiga kru penerbangan dan rangka pesawat kargo C-47B Dakota Bravo yang terhempas di Gunung Bubu di sini pada 27 November 1945.
Dua lagi rangka manusia kru pesawat iaitu pembantu juruterbang William H. Myers dan Juru radio Donald E. Jones tidak ditemui.
"Kedua-dua rangka mereka berkemungkinan telah reput atas faktor yang sama dan pasukan penyelidik hanya menemui barang peribadi yang dipercayai milik mereka," katanya.
Mohd Johari berkata gigi juruterbang bersama barangan peribadi milik kedua-dua kru pesawat itu dibawa ke 'Joint Base Pearl Harbor–Hickam', Honolulu di Hawaii untuk diserahkan kepada waris.
Mohd Johari berkata Setiausaha Pertahanan Amerika Ashton Carter amat berpuas hati dengan usaha pencarian misi ekskavasi yang dibuat oleh Muzium Tentera Darat dan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global serta mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia.
Majlis penyerahan itu dijalankan dengan penuh istiadat diiringi empat pegawai masing-masing daripada TUDM, Tentera Laut Diraja Malaysia dan seorang pegawai Tentera Darat Malaysia yang bermula pukul 9.30 pagi tadi.
Ia turut diberi penghormatan terakhir oleh Mohd Johari dan Ashton Carter, warga Angkatan Tentera Malaysia dan tentera Amerika.
Pesawat Dakota Bravo, dengan juruterbang Judson B. Baskett, pembantu juruterbang, William H. Myers dan jururadio, Donald E.Jones, terputus hubungan ketika berada di ruang udara Melaka selepas berlepas dari Singapura ke Pangkalan Udara Butterworth.
Operasi mencari pesawat malang itu berakhir pada 16 Dis 1945 dan kesemua kru diklasifikasikan sebagai 'Missing in Action (MIA)' dan pada 28 Nov 1946 pesawat itu kemudian disenaraikan sebagai 'Killing In Action (KIA)' dan nama kru dipahat di Tanah Perkuburan Amerika Syarikat di Manila.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: