ACAP kali, suara lunak dan merdu Al-Mawlid berzikir, berselawat dan berqasidah dapat didengar menerusi program ilmiah seperti Malam Cinta Rasul dan Selawat Perdana.
Pada masa sama, Al-Mawlid turut berkesempatan mengiringi ikon agama dan pendakwah terkenal dari Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir Assegaf yang terkenal dengan alunan qasidah, Ya Hanana.
Mengakui selesa dengan aktiviti itu, Amer Munawer Yusoff (Amer Ruffedge) yang bertindak sebagai jurucakap, menjelaskan qasidah adalah ucapan puji-pujian kepada Rasulullah SAW yang dilakukan dalam bentuk syair.
Katanya, qasidah sangat terkenal dalam kalangan ahli sufi sebagai satu cara meluahkan rasa rindu dan kagum kepada ALLAH SWT, Rasul-Nya dan sahabat nabi.
“Jika hendak dibandingkan di negara-negara Arab atau pun Indonesia, fenomena qasidah boleh dikatakan agak baru di Malaysia.
“Bagaimanapun, sambutan terhadapnya sangat menggalakkan sehingga terdapatnya kelab-kelab qasidah dari pelbagai peringkat usia.
“Bahkan, program qasidah turut menarik minat banyak pihak sehingga dijadikan acara rasmi negara sempena sambutan peristiwa tertentu,” katanya kepada Zass.
Bahkan, Al-Mawlid yang turut dianggotai oleh SaifulAmir Abdul Wahab (Pot Innuendo) dan Azan Addin Abdul Wahab (Azan Ruffedge) juga menganggap Habib Syech Abdul Qadir Assegaf sebagai guru apatah lagi ikon agama itu yang mencetuskan fenomena qasidah di negara ini.
“Jika di Indonesia, sekiranya beliau berqasidah dalam sesuatu majlis, pengunjungnya boleh mencapai sehingga 100,000 orang.
“Beliau adalah seorang ulama tetapi menggunakan kebolehannya itu untuk menarik golongan muda meminati budaya berselawat dan menambahkan rasa kecintaan kepada ALLAH SWT dan Rasul-Nya.
“Kami membawakan apa yang disebarkan itu dan mencuba untuk ‘menghidupkannya’ di sini,” katanya.
Tambahnya, nyanyian juga sebenarnya boleh dijadikan medium kepada penyampaian mesej-mesej yang positif dan kerana itu Al-Mawlid cukup tertarik dengan lagu-lagu qasidah.
Menurutnya, Al-Mawlid begitu tertarik dan kagum dengan keindahan lagu-lagu qasidah kerana mempunyai irama yang sangat indah manakala setiap liriknya banyak memuji ALLAH SWT dan Rasulullah SAW.
“Memandangkan kami semua sudah mempunyai pemahaman tentang muzik, jadi kami merasakan tidak ada halangan untuk meneruskan penglibatan dalam bidang muzik dan kerana itu jugalah tertubuhnya Al-Mawlid,” katanya.
Komuniti Mahabbah Rasulullah SAW
Menyingkap sejarah penubuhan kumpulan kerohanian itu, Amer memberitahu, secara rasminya Al-Mawlid ditubuhkan pada Disember 2010 selepas perasmian stesen televisyen Islam, TV AlHijrah.
Malah, perkataan Al-Mawlid di ambil sempena mengingati kelahiran kekasih ALLAH SWT, Nabi Muhammad SAW yang membuka langkah dan sinar untuk umat Islam.
“Pada awalnya, Al-Mawlid dianggotai oleh lima vokalis muda dari tiga kumpulan penyanyi urban terkenal iaitu Ruffedge, VE dan Innuendo.
“Pun begitu, dua daripada kami iaitu Abdullah Ahmad (Lah VE) dan Zafri Nazarudin (Zaf VE) telah pun mengundurkan diri dan bergerak secara solo,” katanya.
Jelasnya, Al-Mawlid adalah komuniti Mahabbah Rasullullah SAW dan banyak menganjurkan majlis-majlis selawat di masjid-masjid.
“Al-Mawlid bukanlah kumpulan nasyid. Kami sebenarnya adalah sebuah komuniti. Kami tidak hanya menyanyi tetapi kami juga mempunyai program majlis ilmu.
“Malah, Al-Mawlid dibuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menyertai komuniti ini dan kami hanya bertindak sebagai duta bagi menyampaikan maklumat berkenaan aktiviti yang komuniti kami jalankan,” katanya.
Katanya, kewujudan Al-Mawlid merupakan satu antara wadah bagi menarik lebih ramai anak muda menyertai komuniti mereka serta mengikuti kelas keagamaan yang diadakan.
Pun begitu, Al Mawlid enggan meletakkan diri sebagai pendakwah kerana beranggapan mereka sendiri masih lagi dalam proses belajar mengenali-Nya.
“Fokus kami adalah mahu menggunakan bakat muzik yang dikurniakan oleh ALLAH SWT untuk mengembangkan lagi syiar-syiar Islam menerusi lagu-lagu yang berunsur nasihat,” jelasnya.
Sebelum ini, kumpulan kerohanian itu pernah tampil dengan album pertama, Al-Mawlid pada 2012.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: