
BARISAN teraju utama yang membintangi filem televisyen Strawberi dan Karipap Sesat Kat Paris (SKSKP). Dari kiri, Nabil Ahmad, Mia Sara Nasuha, Ryqal Iskandar, Lisa Surihani dan Zizan Nin.
BUAT pertama kalinya, Astro menerusi saluran Astro First Eksklusif membawakan sebuah filem televisyen bergenre famili komedi romantis, Strawberi dan Karipap Sesat Kat Paris (SKSKP) sempena kedatangan musim cuti sekolah yang bakal menjengah tidak lama lagi.
Filem televisyen famili komedi yang berdurasi selama satu jam setengah itu bakal menemui penonton pada 20 November depan di Astro First Eksklusif melalui saluran 480.
Diterajui dua pelakon cilik, Mia Sara Nasuha dan Ryqal Iskandar, SKSKP juga turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Lisa Surihani, Nelydia Senrose, Zizan Nin dan Nabil Ahmad.
Pada asalnya, SKSKP merupakan kesinambungan daripada jenama drama bersiri Strawberi dan Karipap yang mula diperkenalkan pada bulan September tahun lalu menerusi saluran Astro Ceria.
Drama yang disiarkan sebanyak 13 episod itu menerima sambutan yang menggalakkan sehingga berjaya meraih sembilan juta penonton ketika disiarkan. Atas dasar itu, pengarahnya filem berkenaan, P. Prem Anand Pillai kembali mempersembahkan sekuel drama tersebut menerus filem televisyen SKSKP.
Sesuai untuk tontonan seisi keluarga, SKSKP dibikin berlatarkan Paris yang terkenal sebagai kora cinta. Filem yang hanya mengambil masa selama dua minggu pembikinan itu melakukan 90 peratus penggambaran di Paris, manakala selebihnya di Kuala Lumpur.
Bersesuaian dengan konsep filem televisyen itu yang berkisar tentang cinta, kasih sayang dan romantis, kebanyakan babak mengetengahkan paparan keindahan beberapa tempat ikonik di sekitar kota Paris antaranya Menara Eiffel, Champs-Elysees, Notre Dame, Love Bridge dan Arc D Triomphe.
Naskhah tersebut berkisar tentang keberanian dua anak kecil iaitu Nini (Mia Sara) dan Haikal (Ryqal) terbang ke kota Paris semata-mata untuk menemui ibu saudara mereka. Keletah dan aksi comel mereka yang dilihat serasi bersama dalam banyak drama sebelum ini menjadikan SKSKP sebagai sebuah komedi yang menghiburkan untuk seisi keluarga.
![]() |
PELAKON cilik, Ryqal Iskandar dan Mia Sara teruja sekali lagi digandingkan bersama menerusi SKSKP. Gandingan comel mereka berdua menghidupkan suasana ceria dalam filem televisyen yang bakal menemui penonton pada 20 November depan.
|
Mengetengahkan keletah pelakon kanak-kanak sebagai peneraju dalam sesebuah naskhah bukanlah satu perkara yang mudah. Perkara itu diakui sendiri oleh pengarah SKSKP mengenai dua pelakon cilik berbakat besar Mia Sara dan Ryqal.
“Saya akui mengendalikan kanak-kanak bukanlah satu perkara yang mudah. Namun, apabila bekerja dengan Mia (Sara) dan Ryqal (Iskandar), walaupun mereka berdua masih anak kecil, dalam menjalankan kerja mereka bersikap profesional.
“Mereka mudah mendengar arahan dan sebelum ini pun kami (pihak produksi) sudah pernah bekerjasama dengan mereka, jadi tidak menimbulkan sebarang masalah. Sebaliknya memilih untuk bekerja dengan mereka memudahkan kerja sebenarnya sebab mereka sudah faham selok belok dunia lakonan.
“Jika bercakap soal kerja, tenaga mereka berdua memang tidak boleh disangkal. Jika badan penat sekali pun, mereka masih ada tenaga. Masih banyak cakap, masih boleh bermain-main dan mampu berjaga hingga lewat pagi,” jelasnya.
Berbicara soal gandingan kali pertama antara Lisa Surihani dan Nabil Ahmad pula, P. Prem Anand, menjelaskan, pemilihan nama besar seperti Lisa untuk berganding dengan Nabil yang dengan gaya lawaknya merupakan keistimewaan filem televisyen itu.
“Kami cuba tampilkan kelainan apabila menggandingkan Lisa dan Nabil sebagai pasangan suami isteri. Jika sudah namanya famili komedi, tentunya pemilihan pelakon juga penting.
“Kami lihat gandingan antara dua pelakon itu ada tarikan yang tersendiri. Pemilihan watak utama selalunya akan berperwatakan serius. Namun, kami tampilkan kelainan dengan mengambil pelawak seperti Nabil dan masukkan dia dalam karakter utama SKSKP.
“Walaupun ini kali pertama Lisa dan Nabil dipertemukan dalam satu karya, mereka mudah bekerjasama. Keserasian yang dimiliki oleh mereka ketika di set penggambaran memudahkan kerja. Kami juga kekalkan watak asal Aunty Lisa yang dipegang oleh Nelydia Senrose dan Pak Su Hairi (Zizan Nin) bagi melengkapkan karakter satu sama lain,” ujar P. Prem Anand.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: