Sunday, November 9, 2014

Guru diingat usah cepat puas hati


  • Kanak-kanak Tabika Perpaduan Karak 2 diumumkan juara Projek Tunas Wawasan bersama ciptaan mereka,
aiskrim goyang perpaduan.Kanak-kanak Tabika Perpaduan Karak 2 diumumkan juara Projek Tunas Wawasan bersama ciptaan mereka, aiskrim goyang perpaduan.

KUANTAN - Guru yang kreatif dan banyak melakukan inovasi dapat membantu perkembangan emosi kanak-kanak sama ada di dalam atau di luar kelas.

Pengarah Bahagian Kesepaduan Sosial dan Integrasi Nasional, Tukimin Sarlan berkata, pencapaian berkenaan bagaimanapun tidak boleh menjadi faktor guru cepat berpuas hati dengan pencapaian yang dicapai.

Menurutnya, usaha berterusan perlu untuk meningkatkan kemampuan diri dan menjadi pendidik yang lebih kreatif dalam usaha mengembangkan bakat kanak-kanak dan menyemai nilai murni golongan itu.

“Mereka ada cara dan gaya yang lebih teratur jika diasuh dan ini membuktikan kanak-kanak sebenarnya bijak, tetapi memerlukan pendidikan dan asuhan berterusan terutama oleh ibu bapa ketika di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan Peringkat Negeri Pahang 2014 di sini, semalam.

Beliau berkata, atas kesedaran pembangunan pesat di negara ini, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) turut berusaha membangunkan pendidikannya khusus dalam pendidikan pra-sekolah.

“Saya ingin yakinkan ibu bapa supaya terus memberi sokongan kepada pra-sekolah JPNIN yang kini semakin maju dalam pendidikannya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya turut menerapkan ilmu agama yang kukuh ketika usia kanak-kanak bagi mengelakkan mereka terjerumus dengan gejala negatif pada masa akan datang.

Pada majlis sama, Tukimin menyampaikan hadiah kepada pemenang Inovasi dan Projek Tunas Wawasan Kanak-kanak.

Program pintar kreatif bertujuan mencungkil bakat dan potensi dalam pelbagai aspek perkembangan dan bidang selain mengetengahkan kebolehan sedia ada guru dan kanak-kanak dari seluruh Pahang di bawah JPNIN.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: