Tuesday, August 20, 2013

Underwraps bimbing model Muslim



AGENSI model Underwraps di New York, Amerika Syarikat (AS) kini berperanan sebagai suara kepada jelitawan-jelitawan Muslimah di seluruh dunia yang sering dinafikan ruang untuk mengembangkan bakat dalam dunia fesyen tanpa perlu melanggar norma-norma keagamaan.
Dalam temu bual bersama laman web fesyen dalam talian popular, Fashionista.com, pengasas Underwraps, Nailah Lymus berharap agar penubuhan agensi itu dapat merapatkan jurang yang tercipta antara terma kesopanan dan fesyen.
“Model-model Muslim datang daripada latar belakang keluarga yang menuntut mereka berpakaian sopan berteraskan ajaran Islam. Bagaimanapun untuk mengekalkan pegangan itu dalam industri (fesyen), ramai yang sanggup menggadaikan prinsip wajib itu,” jelas wanita berumur 28 tahun itu.
Matlamat utama agensi itu adalah bagi menyediakan model-model wanita Muslim bekerja bersama pereka-pereka arus perdana, pada masa sama mematuhi hukum agama Islam. Ini termasuk pakaian perlu longgar agar tidak mendedahkan bentuk badan melainkan wajah, tangan dan kaki.
Tambah Nailah: “Sebab itu saya wujudkan agensi ini supaya mereka tidak perlu melanggar peraturan agama. Anda tidak perlu menjadi orang lain untuk berjaya.”
Wanita Muslim Amerika itu juga menunjukkan prinsip keutamaan agama menerusi pemakaiannya. Secara peribadi, beliau memulakan langkah dalam industri fesyen AS dengan mereka pakaian kanak-kanak sebelum beralih kepada rekaan untuk golongan dewasa.

EMPAT model baharu yang dipimpin oleh agensi Underwraps.


Nailah yang juga pereka di sebalik label Amirah Creations itu juga berjaya mempamerkan hasil kerjanya buat pertama kali pada Minggu Fesyen New York pada September 2011. Ia sekali gus membuka dimensi baharu penerimaan dunia terhadap fesyen bercorak Islamik yang masih mengekalkan ciri-ciri kesopanan meskipun melalui fasa modifikasi moden.
Ujar Lymus, membangunkan sebuah agensi model Muslim sememangnya amat berisiko memandangkan konsep fotografi yang sering mendedahkan tubuh badan wanita sudah menjadi ‘halal’ dalam peradaban umum.
“Kami juga serius dalam bekerja dan bersikap profesional sama seperti model lain. Setiap kali ada minggu fesyen, saya akan menghantar anak-anak buah saya untuk sesi uji bakat sama seperti orang lain,” jelasnya.
Promosi kesopanan
Berbekalkan empat orang model yang sedang dilatih, Underwraps bukan sahaja ingin melahirkan model wanita yang mampu bekerja dalam industri penuh tekanan itu, tetapi juga mengikis konsepsi negatif yang berkaitan dunia Islam.
Ironinya, pelaburan Nailah jelas terbayar kerana pasaran untuk model-model Muslim kian meningkat. Banyak rumah fesyen antarabangsa merancang untuk melebarkan pengaruh mereka ke negara-negara Islam. Model yang mewakili agama sesebuah negara Islam dengan pakaian yang menepati syarak sudah tentu mampu menarik minat ramai. Sejak menubuhkan Amirah Creations pada tahun 2004, Nailah telah bertemu ramai wanita Muslim yang berminat untuk terlibat dalam profesion sebagai model, namun melupakan niat itu kerana tanggapan yang mereka perlu mendedahkan aurat.
“Saya mahu mempromosikan pakaian sopan, ia merupakan asas kepada agensi ini. Tidak semestinya anda perlu mendedahkan aurat untuk pergi jauh dalam industri,” katanya yang menetap dan bekerja di Brooklyn, New York.
UNDERWRAPS cuba membuktikan bahawa model tidak perlu mendedahkan aurat untuk pergi jauh dalam bidang peragaan.


Ketika ini, wanita ini lebih fokus kepada pengambilan model Muslim kerana dia percaya golongan itu jarang diberi peluang oleh industri fesyen antarabangsa. Bagaimanapun dia percaya bahawa permintaan terhadap pakaian sopan tidak lagi berteraskan agama dan budaya, atas sebab itu Nailah mahu Underwraps dikenali lebih kepada ciri kesopanan berbanding orientasi keislaman.
Pandangan Islam
Pandangan Islam terhadap kerjaya model pula pelbagai. Golongan cendekiawan dari pusat pendidikan Darul Uloom Deoband di India telah mengeluarkan fatwa pada tahun 2010 yang mengecam kerjaya model dalam kalangan wanita sebagai tidak bercirikan Islam kerana menjaja tubuh wanita untuk paparan umum.
Namun, menurut Imam Talal Eid, pakar undang-undang Islam dari Boston, AS yang juga bekas ahli Suruhanjaya Kebebasan Beragama Antarabangsa AS, bekerja sebagai model masih boleh diterima asalkan kesopanan itu dikekalkan.
“Anda perlu menunjukkan pakaian itu. Tidak akan ada fesyen tanpa model yang memperagakan pakaian,” kata Talal Eid yang mempunyai seorang anak perempuan yang bekerja sebagai pereka untuk Calvin Klein di New York.
Rania Iswarani, pengarang blog fesyen Muslim, Fashfaith.com juga menolak kenyataan bahawa kerjaya seorang model mencetuskan keghairahan tidak menyenangkan terhadap wanita.
Katanya: “Memang penonton melihat mereka tetapi tidak kepada kulit dan anggota badan. Tubuh mereka bersarung pakaian menutup aurat, jadi orang yang melihat sekadar mengagumi kecantikan pakaian yang diperagakan.”
Veteran dalam industri juga bersetuju bahawa wujud keperluan model-model sopan yang berfikiran terbuka.
PAKAIAN longgar dan sopan menjadi garis panduan utama Underwraps - Gambar hiasan.


“Saya sentiasa mencari model untuk pakaian Muslimah saya dan agensi model Muslim seperti Underwraps dapat menyelesaikan kekangan tersebut,” ujar Melanie Elturk, Ketua Pegawai Operasi dan ketua pereka daripada HauteHijab.com, peruncit pakaian Muslim dalam talian di Chicago, AS.
“Bagi mengelakkan kontroversi terhadap penggunaan model Muslim, kami banyak memaparkan produk jualan dalam bentuk item sahaja. Namun masyarakat perlu faham bahawa sesetengah produk memerlukan tubuh manusia bagi memberi gambaran jelas bagaimana produk tersebut kelihatan,” tambahnya.
Sejak dilancarkan, Underwraps menerima lebih 400 permohonan daripada perantis model beragama Islam dari negara-negara termasuk AS, Indonesia, Britain dan Australia.
Agensi milik Nailah dan pereka-pereka Muslim melihat model beragama Islam dalan pasaran fesyen Muslimah kini mula diterima di seluruh dunia.
Barjis Chohan, pereka Muslim Britain yang berguru dengan pereka legenda, Vivienne Westwood, menganggarkan pasaran fesyen Muslimah kini bernilai AS$96 juta (RM311 juta).
Peningkatan penganjuran minggu fesyen seumpama di New York yang dijalankan di bandar-bandar besar Islam seperti Istanbul (Turki), Kaherah (Mesir), Karachi (Pakistan), Jakarta (Indonesia) dan Kuala Lumpur (Malaysia), dijangka meningkatkan nilai itu dari semasa ke semasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: