
KIRI: Nadia merakam foto sekeping lukisan yang menarik perhatiannya.
KARYA-KARYA yang digantung pada dinding di ruang pameran Annexe Gallery, Kuala Lumpur pada bulan Julai lalu kelihatan sangat naif dan ringkas.
Sejujur usia para pelukis aneka lukisan tersebut iaitu antara tiga hingga 16 tahun, tema yang dibawa cuba menjentik kematangan mereka mengenai alam semula jadi.
Terdapat lebih 20 keping lukisan yang rata-rata berkaitan alam tabii seperti gunung-ganang, pokok-pokok, bunga-bungaan segar dan sungai yang mengalir.
Isu berkaitan alam sekitar seperti pencemaran dan kemungkinan jika dunia ini tidak dijaga turut dipaparkan oleh mereka menggunakan garisan-garisan berus lukisan dan warna yang terbit daripada rasa hati para pelukis.
Kanak-kanak yang terlibat kebanyakan dari Malaysia, tetapi hasil karya kanak-kanak dari Afrika Selatan, Amerika Syarikat, China, Singapura, Hong Kong dan Australia turut dipamerkan.
Pameran yang dianjurkan oleh Esse Organic Skincare itu merupakan satu kempen memberi semula kepada mereka yang memerlukan.
Setiap hasil lukisan kanak-kanak mangsa itu yang berharga antara RM800 hingga RM1,000 disalurkan terus kepada Shelter Home for Children di Malaysia.
Shelter Home for Children merupakan sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan sejak tahun 1981 bagi membantu kanak-kanak penderaan, terbiar, terabai atau berisiko.
Pihak itu menyediakan penjagaan dan pendidikan kepada golongan tersebut selain meningkatkan kesedaran awam berkenaan penderaan serta perlindungan kanak-kanak.
Terdapat sekeping lukisan yang menggunakan warna akrilik di atas kanvas bertajuk, Little Red Riding Hood and the Wolf on a Happy Outings.
Catan itu dilukis oleh seorang kanak-kanak berusia lima tahun, Jason Hang dari Hong Kong. Biarpun menggunakan karakter cerita dongeng kanak-kanak, tetapi paparan gambaran yang diputar sedikit memberi makna mendalam pada lukisan berkenaan.
Umum mengetahui bahawa watak Red Riding Hood bermusuhan dengan karakter musang kerana kejahatan haiwan itu.
Namun, pelukis memberikan pandangan bahawa kedua-dua karakter tersebut bersahabat baik, malah bersiar-siar bersama pada waktu petang.

LUKISAN bertajuk Little Red Riding Hood and the Wolf on Happy Outings ini dihasilkan oleh Hang.
Menjaga kelestarian bumi
Begitulah yang mahu ditonjolkan dan seharusnya dilakukan oleh setiap individu iaitu menjaga serta menyayangi flora serta fauna demi kelestarian bumi.
Jika diperhatikan pada penggunaan warna dan lengkok berus, setiap warna serta campuran digunakan sesuai untuk karakter dalam karya masing-masing.
Lengkok berus juga sangat praktikal serta berfungsi. Boleh dikatakan ia merupakan lukisan yang terperinci kerana pemerhati dapat melihat corak kain, sisiran rambut, lentikan bulu mata dan skaf.
Warna latar belakang pula berwarna biru cerah dengan gumpalan awan menandakan cuaca yang baik, manakala rimbunan semak berwarna hijau pelbagai tona menunjukkan kawasan hutan masih tebal di dalam lukisan itu.
"Pameran ini memberikan persepsi berbeza dengan mengajar mereka cara untuk menghargai alam sekitar," kata tetamu istimewa pada petang itu, Ratu Cantik Malaysia Dunia 2010/2011, Nadia Patullo Heng.
Tema alam sekitar amat bertepatan dengan Esse yang sentiasa mempromosi alam sekitar yang mapan selain mengamalkan cara perdagangan yang adil dan beretika.
Menurut pengasasnya, Trevor Steyn, bahan-bahan asas pembuatan produk Esse berasal dari pedalaman Afrika yang hasilnya dikutip oleh penduduk asli tempatan.
Setiap kampung mempunyai kutipan hasil tumbuh-tumbuhan tersendiri yang didapati daripada pokok berusia beratus-ratus tahun seperti boabab, mamala dan rooibos.
Semua bahan dikumpulkan di kilang Esse untuk diproses menjadi produk. Di negara-negara lain, kempen memberi semula kepada komuniti agak berlainan seperti di sini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: