Friday, August 16, 2013

Kembara Saffiya di Taiwan


KRU program Aidilfitri Safiyya bersama Anak-Anak Jalinan Kasih merakamkan foto kenangan menjejakkan kaki di bumi Taiwan.


PROGRAM Safiyya terbitan TV9 sentiasa mencari kelainan untuk dihidangkan kepada lebih setengah juta penonton setianya.
Justeru, sempena Ramadan dan Aidilfitri ini, Safiyya mengembara sejauh kira-kira 3,225 kilometer ke bumi Taiwan untuk mendasari budaya komuniti kecil Islam di sana berpuasa dan beraya.
Namun lebih istimewa, ujar penerbit Saffiya, Marwatif Amer, pihak produksi turut membawa 20 kanak-kanak daripada Rumah Jalinan Kasih, Cheras, Kuala Lumpur untuk sama-sama merasai aura silang budaya oleh masyarakat Muslim Taiwan.
“Sebelum ini Safiyya bersama pengacara Liyana Hisham beraya dengan mood Asia Barat dan Eropah Timur seperti di Istanbul, Turki dan Moscow, Rusia. Jadi tahun ini kami bawa anak-anak yatim Jalinan Kasih beraya dalam suasana oriental.
“Istimewa untuk Aidilfitri ini juga, kami lebih berkonsepkan travelog dokumentari yang menceritakan tentang pengalaman yang diraih oleh kanak-kanak ini yang semuanya baru pertama kali menjejakkan kaki ke luar negara dan menaiki kapal terbang,” katanya ketika ditemui pada sesi penggambaran di lokasi terpilih di Taiwan baru-baru ini.
Penggambaran mencabar
Program yang dinamakan Aidilfitri Safiyya bersama Anak-Anak Jalinan Kasih di Taiwan itu turut mendapat kerjasama daripada Kedutaan Taiwan di Malaysia, Persatuan Pelancong Taiwan cawangan Kuala Lumpur, China Airlines dan Persatuan Pelabur Taipei cawangan Malaysia.
Selain Marwatif atau Atif yang bertindak sebagai penerbit, kru produksi lain yang turut terlibat dalam penggambaran yang penuh mencabar itu ialah wartawan Siti Nazatul, dua juruteknik iaitu Akmal Mohd. Rizah dan Azizul Sufyan serta dua jurukamera, Affandi Dzulkifili dan Mohd. Hairul Izuan Aminuddin.
Bersiaran sebanyak dua episod iaitu pada 18 Ogos dan 25 Ogos ini, ujar Atif, penonton akan dibawa menyelami perasaan suka duka anak-anak yatim itu mengembara di Taiwan.
Paling menarik perhatian ialah apabila melihat bagaimana minoriti Islam di sana mengimarahkan masjid.
Antaranya Masjid Kaohsiung yang terletak di Kaohsiung, Masjid Long Gang di Bandar Jungli, Taoyuan dan Masjid Taipei Grand di Shinseng S. Road, Taipei.
Bagi yang ingin mengetahui tentang di manakah masyarakat Islam bebas berdakwah dan menjalani rutin harian di Taiwan, jawapannya ada dalam program berdurasi selama satu jam itu.
Selain itu, pernahkah anda tahu bahawa masyarakat Taiwan bermain bunga api dan permainan tradisi Melayu iaitu gasing? Pastinya bingkisan kru produksi Safiyya bakal mengubah persepsi penonton.
Aidilfitri Safiyya bersama Anak-Anak Jalinan Kasih di Taiwan turut membawa penonton mengenali Taiwan dengan lebih dekat.
Sudah tentu penonton akan terpesona dengan destinasi memukau seperti mengenali seni Taiwan di Perkampungan Seni Tunghai dan di Yizhong Street Shopping.
Selain itu, anak-anak Jalinan Kasih turut dibawa menjelajah muzium terbesar di Taiwan iaitu Muzium Nasional Sains Semula Jadi dan bermain di taman tema safari yang hebat iaitu Leefoo Village.
Mengulas mengenai aktiviti yang dijalani kanak-kanak itu, Atif menjelaskan, kembara itu antara lain berupaya mendidik mereka menunaikan tanggungjawab fardu ain dan fardu kifayah di negara luar.
Solat musafir
“Antaranya memahami rukun solat musafir, jamak dan qasar, cara menggunakan kompas dalam mencari arah kiblat dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, ujar Atif, secara tidak langsung ia membuka ruang kepada mereka untuk berdikari dan mempelajari gaya hidup perantauan.
Menariknya lagi, kanak-kanak ini juga berkongsi pendedahan gaya pembelajaran yang lebih interaktif menerusi teknologi moden seperti di Virgo Pineapple Cake Factory dan Chunh Hua Foods Factory.
“Kalau kita lihat, kilang berkenaan mengajak mereka merasai pengalaman menghasilkan produk dengan menggunakan teknologi canggih dan berbentuk interaktif.
“Inovasi yang diketengahkan itu boleh dijadikan satu medium dalam pembelajaran mereka di sekolah.
“Kami berpendapat, aktiviti dalam program ini mampu membuat mereka lebih faham bahawa Islam itu mudah dan universal,” katanya.
Pastinya setiap penggambaran yang dilakukan berdepan dengan liku-liku tertentu.
“Selain masalah bahasa, cabaran lain semasa sesi rakaman berlangsung ialah bagaimana untuk melihat penduduk Islam tempatan membuat persiapan dan menyambut Aidilfitri di kediaman mereka kerana mereka lebih fokus kepada aktiviti perhimpunan dan bermusyawarah di Masjid berbanding di rumah.
“Kami berada di sana pada musim panas dan kebanyakan mereka bercuti. Ini menyebabkan agak sukar untuk penganjur mengumpulkan komuniti Islam tempatan.
“Namun, alhamdulillah, kami masih boleh berkenalan dan membuat penggambaran mengenai sambutan hari raya di sana,” katanya.
Saksikan Safiyya sempena Aidilfitri bersama pengacara Ameera Zaini yang menggantikan Liyana Hisham yang sedang bercuti bersalin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: