• Diana Amir Diana Amir
Umum mengetahui, pelakon filem Sekali Lagi ini telah bergelar tunangan orang sejak September tahun lalu.

Memilih pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Habib Bullah A Rahman, sebagai pasangan hidupnya, akui Diana, detik bahagia itu akan tiba tidak lama lagi.

Sebelum ini, Diana atau nama sebenarnya, Nurdiyana Amir Hashim, 27, pernah memberitahu bahawa mereka bersedia untuk diijabkabulkan selepas setahun mengikat tali pertunangan.

Namun sehingga kini, baik Diana mahupun tunangnya, masing-masing belum menetapkan tarikh yang sesuai untuk disatukan.

"Memang betul, kami pernah berbincang dan bercadang untuk bertunang setahun dan kemudiannya mendirikan rumah tangga.

"Namun, sehingga kini kami masih belum ada tarikh yang sesuai, memandangkan masing-masing sibuk dengan urusan kerja.

"Insya-ALLAH, jika tiada aral melintang, kami akan berkahwin pada tahun ini juga. Mungkin dalam masa terdekat ini, kami akan berbincang mengenainya.
"Saya sudah bersedia untuk ke fasa yang seterusnya, Insya-ALLAH, kalau dah ada tarikh, kami akan uar-uarkan kepada semua," katanya.


Elak berjumpa

Tidak seperti pasangan yang lain, Diana lebih selesa untuk mengelak daripada berjumpa terlalu kerap.

Katanya, ikatan itu bukanlah 'tiket' untuk dicanang sebagai pasangan sehingga memudaratkan hubungan yang bakal dibina.

"Kami memang jarang berjumpa dan menghabiskan masa bersama. Kalau berjumpa pun, hanya atas urusan kerja sahaja.

"Lagipun, kami masih bukan muhrim dan batas-batas pergaulan harus dijaga," katanya.

Menurut Diana, walaupun dirinya sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri, namun dia tidak terlalu mendesak untuk ke arah itu.

Kata pelakon drama Adam Maya ini, bukan sahaja dirinya, malah tunang juga masih sibuk dengan urusan kerja dan pengajian.

"Sebenarnya, tunang saya kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Master di Universiti Sains Malaysia (USM).

"Selain itu, dia juga turut membantu saya dalam urusan perniagaan kerana ada masanya saya juga sibuk dengan usrah, latihan motivasi dan pengacaraan.

"Jadi, kami sama-sama sibuk dan tiada sebab untuk saya mendesaknya. Saya sangat memahami urusan kerjanya dan begitu juga dengan dia," katanya yang kini sibuk dengan perniagaan pakaian Muslimah di bawah label, Diana Amir Exclusive.

Selain itu, Diana juga turut mendapatkan kerjasama daripada pereka fesyen, Melinda Looi dalam rekaan tudung sebanyak 12 koleksi label, Emel.


Buku pertama laris

Sedang berjinak-jinak dalam penghasilan buku, Diana juga turut tampil dengan buku pertamanya, Titian Mahabbah yang dihasilkan bersama penulis, Ibnu Rijal.

Walaupun bukunya itu baru sahaja diperkenalkan selama sebulan, sambutan yang diterima daripada pembaca amat menggalakkan.

Malah, buku yang menceritakan mengenai penghijrahan serta kisah-kisah peribadinya itu turut tersenarai sebagai buku Bahasa Melayu terlaris di MPH Bookstore.

"Syukur Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan penerimaan dan sokongan daripada peminat dan pembaca.

"Terima kasih juga kepada pembaca yang sudi membaca nukilan hati kecil saya. Syarikat penerbitan ada menawarkan saya untuk menghasilkan Titian Mahabbah 2, tapi buat masa ini, saya perlu fokus  mempromosikan buku pertama dahulu.

"Malah, ramai di kalangan pembaca yang mahukan buku kedua dihasilkan lebih tebal berbanding buku pertama.

"Insya-ALLAH, kini saya dalam proses mengumpul material untuk buku kedua," katanya yang turut dilantik sebagai duta minuman kesihatan, Blinq Beauty Drink.

Dalam perkembangan seni pula, akui Diana, tawaran lakonan semakin kurang dan skrip yang ditawarkan tidak bersesuaian dengan imejnya.

"Ada yang menawarkan saya untuk melakonkan watak bertudung tetapi tidak sepenuhnya. Jadi, ia tidak sesuai dengan pendirian saya.

"Saya akui, saya perlu lebih selektif dalam pemilihan skrip dan watak. Memang saya kurang dalam lakonan filem, namun untuk drama, masih lagi ada.

"Mungkin sekarang bukan rezeki saya lagi. Insya-ALLAH, kalau ada tawaran filem bercorak Islamik, saya akan kembali berlakon," katanya mengakhiri perbualan.