Wednesday, August 14, 2013

Cara unik untuk zahirkan keikhlasan


KEHADIRAN teknologi moden menawarkan kepelbagaian kaedah menghantar salam raya yang canggih namun kiriman kad raya tetap menjadi pilihan sesetengah individu.- Gambar hiasan


“SAYA lebih suka cara tradisi. Kad raya boleh dipegang, dibelek dan disimpan sebagai kenangan. Pada saya kad raya cukup istimewa kerana gaya bahasanya yang menarik dan klasik. Saya beli khas untuk bonda, ibu mertua dan keluarga tersayang.
“Kad raya memberi sentuhan istimewa kerana ia membantu mengeratkan lagi silaturahim.”
Demikian antara komen daripada yang penulis peroleh selepas mengajukan pertanyaan kirim kad raya atau guna SMS dan MMS sahaja kepada rakan-rakan Facebook.
Ternyata tradisi mengirim kad raya masih menjadi pilihan ramai. Segelintir kecil turut memberitahu, sekalipun menggunakan SMS untuk mengirim ucapan Selamat Hari Raya, ia lebih ditujukan kepada kawan-kawan atau individu yang lebih muda daripada mereka.
Ada juga berpandangan, kad raya menjadi pilihan kerana ia bersifat peribadi, mempunyai nilai sentimental terutama untuk ibu bapa, kenalan rapat dan mereka yang jauh dan sudah lama tidak berjumpa.
Hasil tinjauan di sebuah kedai buku di Taman Setiawangsa, Kuala lumpur mendapati, kebanyakan pengguna yang gemar membeli kad raya ialah golongan muda dan remaja.
“Kebelakangan anak-anak muda kerap membeli kad raya. Golongan dewasa dan warga emas kurang. Kalau beli pun kad ini diberikan kepada jiran tetangga sahaja,” kata pengusaha kedai buku dan alat tulis, SKH Books di pusat beli-belah Aeon AU2, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, Noor Shakila Mohamad Ismail.
Menurutnya, kebanyakan mereka yang membeli kad raya akan memberi kad itu dengan tangan.
“Barangkali disebabkan harga setem yang meningkat 50 sen bagi skeping kad raya. Kalau 10 kad sudah berapa? Dulu harga setem 30 sen, kalau tak digam sampul surat, setem 20 sen,” kata Noor Shakila.
Kad yang menjadi pilihan golongan remaja ialah kad lakaran kartun.
Bagi golongan dewasa dan bekerja, kad pilihan mereka ialah yang mempunyai gambar yang cantik.
Kad paling murah yang dijual di kedai Noor Shakila berharga RM1.80 dan yang paling mahal RM14.90.
Bagaimanapun, Noor Shakila memberitahu, sambutan pembelian kad raya semakin berkurangan berbanding enam tahun lalu sewaktu dia memulakan perniagaan.
Kekalkan budaya
“Saya beli kad raya untuk ibu,” kata Nurul Hanis Abd. Rahman, 13, yang ditemui di Kedai SKH Books.
Pelajar tingkatan satu itu mengakui dia jarang membeli kad raya termasuk semasa di sekolah rendah. Namun, pada tahun ini dia terdetik untuk membeli kad raya.
“Tahun ini saya belajar di Kuala Lumpur dan ini kali pertama berjauhan dengan ibu dan keluarga,” kata Nurul Hanis yang berasal dari Jerantut, Pahang.
Dia memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.
Lazimnya, dia mengucapkan ucapan selamat hari raya secara lisan. Pada pagi raya, dia akan berjumpa dengan ibu dan ayah untuk memohon ampun dan maaf.

APLIKASI e-kad dan laman sosial menjadi medium moden untuk mengucapkan salam raya. - Gambar hiasan


Meskipun mengirim ucapan hari raya menerusi SMS dan MMS menjadi trend dalam kalangan rakan seasrama, Nurul Hanis berpandangan budaya mengirim kad raya perlu dikekalkan.
“Ada masanya kita tidak dapat melahirkan kata-kata yang boleh menusuk kalbu tapi menerusi kad raya ia boleh direalisasikan.
“Saya gemar mencari kad yang mengandungi ungkapan yang indah dan gambar menarik,” kata Nurul Hanis yang memperuntukkan sekitar RM10 sahaja untuk membeli kad raya.
Bagi Ridzuan Ghazali, 20-an, dia gemar mengirim kad raya berbanding SMS atau MMS kerana dapat mengembalikan nostalgia zaman 1990-an.
“Kad raya lebih bersifat peribadi, berwarna-warni dan ada yang berlagu.
“Tulisan tangan yang ditulis pada kad raya menggambarkan keikhlasan si pengirim mengutus ucapan lebaran. Keseronokan menerima kad raya lebih berganda berbanding melalui SMS,” tambahnya.
Menurut Ridzuan, dia membeli kad untuk saudara-mara serta kawan-kawan sekolah dan mengepos kad-kad berkenaan.
Kepada Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran, beliau juga memilih mengirim kad raya terutama untuk kenalan rapat dan rakan-rakan yang mempunyai hubungan kerja.
Menurut beliau, amalan mengirim kad ucapan telah menjadi amalannya sejak zaman persekolahan.
“Masa itu kita serah dengan tangan sahaja tetapi sekarang kerana jarang berjumpa, kad perlu dipos,” katanya.
Piarapakaran biasanya membelanjakan sekitar RM60 hingga RM70 termasuk kos untuk mengirim kad raya.
Beliau berpendapat, mengirim kad raya adalah satu peluang terbaik untuk mengingati mereka yang dikenali dan berkongsi kegembiraan hari raya.
“Dengan kiriman kad, jalinan kemesraan berterusan termasuk untuk mereka yang mungkin menjadi renggang kerana perselisihan pendapat.
“Bagi saya kad masih satu cara unik menzahirkan keikhlasan mengucapkan selamat hari raya,” katanya.
Mengenai kiriman ucapan menerusi SMS atau MMS, beliau beranggapan ia satu trend yang ada pengikutnya.
“Kita bolehlah hantar SMS tapi kalau memori telefon bimbit penuh, kita kena padam SMS atau MMS supaya ada ruang memori untuk keperluan lain.
“Kalau kad raya, kita boleh simpan selama mana kita mahu. Semakin banyak kad diterima, semakin meriah sambutan hari raya,” katanya.



No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: