Sunday, August 4, 2013
Aspirasi dan cetusan inspirasi
WARNA diraja yang melatari segenap ruang Bilik Duta, bilik yang dahulunya menjadi tempat meraikan kunjungan menteri-menteri atau tetamu dari luar negara di Muzium Diraja Istana Negara Lama itu tetap kekal berkilau.
Menumpangkan secarik cahaya yang masih bernyawa itu, lima personaliti televisyen, Wan Kamarudin Wan Ibrahim, Ras Adiba Radzi, Dang Suria, Nurul Syuhada Nurul Ain dan Ashwad Ismail disatukan buat julung kalinya di ruangan Sensasi Bintang. Masing-masing bersemangat, nampak teguh dalam aura yang terbina dari dasar pengalaman masing-masing.
Penceritaan yang dipersembah dalam wadah jurnal mahupun berita menjadikan kolaborasi lima personaliti penyiaran itu tampak berkredibiliti. Jarang mereka itu disatukan. Mungkin jurang generasi atau perbezaan saluran menggerakkan mereka dalam haluan tersendiri. Lantas fotografi istimewa sebegini boleh mendatangkan kemanisan terutamanya buat Wan Kamarudin, Dang Suria dan Ras Adiba. Kepada Ashwad dan Nurul Syuhada, pertembungan kali ini barangkali penuh bermakna.
"Pada mulanya saya mempunyai rancangan lain tetapi memikirkan pelawaan ini disertai oleh kawan-kawan penyiaran, saya fikir seronok juga kerana peluang begini tidak selalu datang," letus Wan Kamarudin yang selesa dibahasakan Wan K itu sambil membetul-betulkan kain sampinnya.
Wan K, Dang Suria dan Ras Adiba, Nurul Syuhada dan Ashwad bukan nama asing dalam dunia kewartawanan dan pengacaraan. Siaran Edisi Siasat, Bongkar dan Talian Hayat mempopularkan Wan K satu ketika dahulu menjadikan dirinya antara personaliti televisyen sensasi yang disegani. Begitu juga Dang Suria dan Ras Adiba yang meninggalkan impak dalam dunia kewartawanan penyiaran dan pengacaraan.
Berbelas-belas tahun dalam bidang penyiaran telah membawa mereka mengembara hampir ke seluruh pelosok dunia. Kembara karier yang mereka jalani mungkin hampir sempurna. Mereka tidak statik sebaliknya berkembang dan melompat dari satu fasa ke satu lagi fasa sehingga aura yang terpancar hari ini lahir daripada perjalanan tugas mereka. Mereka melaporkan realiti kehidupan kepada masyarakat.
Bukan sahaja mencetuskan inspirasi kepada khalayak, kembara hidup yang mereka lalui juga membentuk peribadi Wan K, Dang Suria, Ras Adiba, Nurul Syuhada dan Ashwad seperti yang terlihat pada hari ini.
Pengalaman
"Saya tak banyak ke luar negara," ujar Wan K yang kini bertugas sebagai penerbit di stesen AlHijrah merendah diri.
"Saya nak berkongsi pengalaman menemui dua wanita unggul negara. Seorang berada di Melaka dan seorang lagi di Selama, Perak. Di Melaka, ada seorang ibu yang menjaga empat orang anaknya yang terlantar dan tidak boleh menguruskan diri sendiri. Apa yang mengagumkan saya, keempat-empat anaknya cemerlang dalam akademik dan agama. Rutin hariannya tidak boleh saya gambarkan.
"Menguruskan anak, memandikan, menghantar mereka ke sekolah, memasak, keluar berniaga dan begitulah ia berulang-ulang kali dilakukannya pada setiap hari. Suaminya berdepan kemurungan yang dahsyat kerana tidak boleh menerima hakikat kecacatan mereka. Duit saku suaminya juga dia yang sediakan hasil daripada berniaga di pasar dan bazar Ramadan.
"Apa yang menyentuh hati, setiap kali waktu solat, anak lelaki yang sulung dibaringkan di saf paling depan, adik-adik lain pula di belakang. Anak lelaki yang terbaring itu menjadi imam kepada adik-adik ketika bersolat. Sayangnya si abang itu sudah meninggal dunia. Dia meninggal ketika sedang menduduki peperiksaan.
"Bagi saya kisah wanita itu sangat hebat, tanpa akademik tapi pengalaman hidup menjadikan pemikiran dan tuturnya bagaikan profesor. Ya, jauh berjalan akhirnya saya menemui inspirasi di tanah air sendiri," kata Wan K.
Sahabat lamanya, Dang Suria pernah bersama-sama dalam program Ziarah turut berkongsi nada yang serupa.
"Sebagai pemberita atau pembaca berita, tugas itu mendekatkan kami kepada manis dan getir kehidupan. Itu juga mencorakkan pemikiran dan cara saya melihat kehidupan sendiri.
"Semasa terlibat dengan Ziarah dahulu, negara luar porak-peranda, mereka bergaduh kerana kuasa. Mangsanya ialah rakyat, wanita, orang tua dan anak-anak kecil. Cerita mereka menyedarkan kita untuk berfikir dengan baik.
"Saya juga pernah bertemu seorang ibu tunggal yang menyara 11 orang anak. Hendak beli baju raya sekali setahun pun mereka tak mampu. Kisah mereka itu menyedarkan betapa bertuahnya apa yang kita miliki," ungkap Dang Suria yang menyifatkan dirinya tidak pernah bersara dari dunia penyiaran.
Seorang lagi personaliti yang tidak perlu diperkenalkan, kisahnya sahaja mudah menerbitkan kekaguman. Kehidupan normal Ras Adiba pernah diragut apabila separuh badannya lumpuh rentetan kemalangan jalan raya pada tahun 1996.
Wanita yang baharu menemui sebuah kemanisan rumah tangga ini berkongsi pengalaman yang menghadirkan kekuatan dan jawapan untuk jati dirinya kini. Pengalaman itu hadir ketika dia menyempurnakan Kembara Kerusi Roda 2013.
"Saya menolak kerusi roda sejauh 490 kilometer dari Johor Bahru merentasi Melaka dan Negeri Sembilan sehingga tiba di lokasi penamat, Putrajaya. Pengembaraan itu memberi kekuatan untuk saya mencari jawapan tentang keadaan diri saya kini.
"Saya mula sedar bahawa Allah mahukan saya sebegini agar saya dapat memberi inspirasi dan semangat buat rakan-rakan kurang upaya yang lain.
"Rasa marah dengan tohmahan yang dilemparkan serta mencari kekuatan untuk menjadi seorang yang 'baharu' dalam dunia Orang Kelainan Upaya (OKU), saya mula bangkit untuk hidup dengan lebih produktif malah lebih bersyukur dengan kurniaan Allah," jelasnya yang baharu mendirikan rumah tangga bersama kenalan sekolahnya, Ilias Yaakop minggu lalu.
Menjengah dalam rasa dan jiwa Ras Adiba sebagai veteran dunia penyiaran, dia menyuakan pengalamannya.
"Dulu orang kata dunia penyiaran sebagai jendela dunia. Tetapi dengan kemajuan teknologi dan internet, dunia penyiaran pada hari ini lebih mencabar.
"Masyarakat lebih bijak menilai mutu seorang pembaca berita dan wartawan penyiaran. Masyarakat akan tahu sekiranya seorang pembaca berita itu pintar dan berkaliber, muka yang cantik tidak menjanjikan penonton akan menghormati kita," kata Ras Adiba.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: