|
HAMPIR kesemua wanita hamil mengalami simptom mabuk kehamilan. Malah, Ratu England, Kate Middleton sendiri dikhabarkan turut mengalami masalah tersebut yang serius sehingga terpaksa membatalkan beberapa program sepanjang kehamilan.
Walaupun masalah tersebut tidak berpanjangan iaitu berakhirnya trisemester pertama, namun terdapat sejenis mabuk hamil yang lebih serius dikenali sebagai Hyperemesis gravidarum (HG).
HG berpunca akibat serangan bakteria usus dikenali sebagai Helicobacter pylori (H.pylori) yang menyerang hampir 50 hingga 90 peratus kes kehamilan dengan simptom seperti rasa loya dan muntah.
Malaysia turut tersenarai dan diklasifikasi sebagai negara yang hampir 50 peratus penduduk, khususnya wanita menghidapi bakteria tersebut.
Bagi kebanyakan anda, ia mungkin satu nama baharu tetapi berpotensi mengancam nyawa mereka yang hamil.
Penyelidik di Jabatan Neurologi dan Tingkah Laku dari Universiti Cornell, New York, Amerika, Dr. Paul Sherman, mengesyorkan bahawa loya dan muntah semasa hamil penting untuk menyingkirkan makanan tercemar yang berkemungkinan boleh menjejaskan kesihatan ibu dan anak yang dikandung terutamanya pada fasa organ janin sedang berkembang dan sensitif terhadap kesan negatif bahan-bahan kimia.
Fakta ini disokong oleh beberapa kajian yang menunjukkan bahawa wanita yang mengalami loya dan muntah berisiko lebih rendah untuk keguguran dan kematian bayi sebelum atau semasa lahir.
Dalam pada itu, H.pylori ialah spesies bakteria yang dikenal pasti pada tahun 1982 sebagai penyebab gastritis dan ulser perut.
Dengan jumlah pesakit yang dijangkiti melebihi 50 peratus penduduk dunia iaitu tiga bilion orang, ancaman serius bakteria ini terhadap kesihatan manusia tidak boleh dipandang ringan.
Menurut satu fakta perubatan, negara seseorang itu bermastautin menentukan kebarangkalian dijangkiti H.pylori. Pemahaman umum mengesahkan, negara-negara yang lebih mundur dengan tahap kebersihan yang tidak sempurna dan pemakanan yang kurang berkhasiat menunjukkan kadar tertinggi jangkitan H.pylori.
|
|
Cara penyebaran
Walaupun terdapat lebih 40,000 laporan saintifik mengenai H.pylori, tiada seorang pun yang benar-benar mengetahui cara penyebaran utama penyakit ini.
Bagaimanapun, jangkitan tersebut dipercayai berlaku melalui pengambilan makanan atau air yang tercemar dan melalui penyebaran air liur.
Namun, jangkitan H.pylori lebih cenderung berlaku pada wanita yang bergelar ibu, iaitu individu yang paling banyak berhubung sesama ahli keluarga.
Bukan itu sahaja, kanak-kanak juga tidak terkecuali. Kajian mendapati jangkitan H.pylori menjangkiti kanak-kanak seawal usia 10 tahun akibat penyebaran daripada ahli keluarga.
Di negara-negara membangun, seramai 90 peratus penduduknya disahkan masih dijangkiti oleh bakteria ini walaupun pada usia 40 tahun.
Menyentuh kembali keadaan mabuk hamil yang teruk dialami bakal ibu, penyelidik mengesyorkan bahawa pada fasa awal kehamilan, perubahan kepekatan bendalir tubuh wanita bertindak mempengaruhi keasidan (pH) perut.
Ia seterusnya mengaktifkan bakteria H.pylori yang terpendam dalam lapisan perut.
Jangkitan H. pylori juga membebaskan enzim dan toksin yang menyebabkan mabuk hamil berlaku secara berterusan apabila tubuh mencuba sedaya-upaya untuk menyingkirkan bakteria tersebut tetapi tidak berjaya.
Ujian H.pylori boleh dilakukan dalam beberapa cara dan paling lazim melalui ujian nafas atau ujian darah untuk menentukan sama ada tubuh telah menghasilkan antibodi terhadap bakteria tersebut. Jika mabuk hamil berterusan ujian saringan untuk H.pylori perlu dilakukan.
Jalani ujian
Wanita yang mengalami simptom gastritis, pedih hulu hati, perembesan asid, gas atau kembung perut yang berlarutan melebihi dua bulan digalakkan untuk menjalani ujian H.pylori.
Walaupun sedemikian, simptom-simptom berkaitan perut bagi mereka yang dijangkiti H.pylori hanya membabitkan 20 peratus pesakit.
Walaupun para pengamal perubatan bersetuju bahawa rawatan H.pylori perlu bagi mengelakkan timbulnya masalah lain yang lebih teruk, H.pylori sebenarnya bukanlah bakteria yang mudah untuk dihapuskan.
Penggunaan antibiotik
Regimen penjagaan standard dengan penggunaan antibiotik turut berdepan cabaran serius yang menghasilkan kesan-kesan sampingan seperti sakit perut yang lebih teruk, loya, sakit kepala dan rasa payau dalam mulut.
Bagi wanita hamil, rawatan antibiotik semasa kehamilan adalah tidak disyorkan kerana ia boleh membahayakan janin.
Amalan kebersihan yang baik seperti membasuh tangan sebelum dan selepas makan, memberus gigi, tidak berkongsi pinggan, gelas dan sudu atau garpu adalah sesuatu yang wajib dilakukan.
Bagi menghalang jangkitan daripada terus merebak, pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan oleh kaum ibu.
Pakar juga telah lama meneroka kaedah rawatan alternatif seperti penggunaan teh hitam atau hijau, bawang putih dan wain merah (alkohol), walaupun tidak banyak kajian yang dapat mengesahkan dakwaan keberkesanan tersebut.
Probiotik juga sering dimanfaatkan untuk menguatkan sistem imun terhadap serangan H.pylori. Namun begitu, probiotik hanya bertindak di dalam usus dan bukan di dalam perut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: