Saturday, January 12, 2013

Spacy lebih selesa


KANAN: Spacy berwarna oren ternyata pilihan tepat bagi mereka yang mahukan kelainan.


MENEMPUH kesesakan lalu lintas dalam kawasan bandar ternyata antara situasi yang cuba dielakkan oleh ramai pengguna jalan raya. Pelbagai cara digunakan untuk lari daripada situasi berkenaan.
Ada beberapa rakan saya yang merujuk aplikasi dalam peranti mudah alih seperti Waze dan mendengar laporan trafik menerusi radio dalam kenderaan masing-masing untuk mengetahui status semasa keadaan trafik.
Ikut sahaja jalan raya atau laluan alternatif, anda tetap berhadapan dengan masalah sama. Kesesakan itu satu fenomena biasa apatah lagi dalam kawasan bandar.
Kesesakan lalu lintas bukannya masalah besar buat pemilik jentera dua roda. Manakan tidak, itulah kenderaan paling menyenangkan untuk menuju ke sesuatu destinasi.
Lebih mudah lagi, jika anda menunggang sebuah skuter. Tidak perlu bermain gear atau klac tangan. Pulas sahaja pendikit minyak, jentera sudah mula meluncur.
Baru-baru ini, Boon Siew Honda menambah skuter baharu dalam rangkaian produknya iaitu Spacy. Skuter itu dilancarkan bersama Honda PCX150 pada bulan Oktober lalu di Kuala Lumpur.

ENJIN juga boleh dihidupkan dengan menggunakan penendang kaki.


Sebut sahaja namanya, sudah pasti anda tahu apa kelebihan Spacy. Jentera kecil itu menawarkan ruang simpanan barangan yang cukup besar iaitu seluas 18 liter di bawah tempat duduk.
Spacy juga dilengkapi tangki minyak yang boleh menyimpan 5.2 liter petrol. Jadi, anda tidak perlu terlalu kerap mengunjungi stesen petrol bagi pengisian semula bahan api.
Enjin pada model itu didakwa mampu mencatat perjalanan sejauh 41.5 kilometer (km) bagi setiap liter. Data itu dipetik daripada spesifikasi yang diberikan Boon Siew Honda.
Saya peluang untuk menunggang uji Spacy baru-baru ini. Lokasi tunggangan sekitar bandar Kuala Lumpur dan Selangor.
Sistem pengoperasiannya sama seperti skuter konvensional lain. Tarik tuli brek kiri dan tekan butang penghidup enjin. Cara lain, guna sahaja penendang kaki yang disediakan.
Sewaktu tunggangan dari premis Boon Siew Honda di Kepong menuju Jalan Chan Sow Lin, pendikit minyak diperah sehingga maksimum.
Kedua-dua tapak kaki saya ternyata terasa gegaran hasil daripada enjin empat lejang bersesaran 108cc. Keupayaan kuasa kilas Spacy masih memuaskan.
Meter minyak yang penuh kemudiannya sudah menurun satu per empat setelah tunggangan antara 80 km sejam (km/j) hingga 100 km/j sejauh kira-kira 16km. Kelajuan maksimum hanyalah 100 km/j.
Spacy bukannya dibina untuk kelajuan. Jentera itu bertujuan tunggangan harian yang santai dengan keselesaan.

RUANG simpanan barangan di bawah pelana boleh memuatkan sebuah topi keledar full-face tanpa sebarang masalah.


Hamburan kuasa sememangnya sudah cukup untuk tunggangan dalam bandar. Pelananya bersaiz sederhana dan empuk pastinya satu keselesaan jika anda menunggang bagi tempoh sedikit panjang.
Meskipun seberat 99 kilogram, saya tidak berasa kekok untuk mengambil lap pada selekoh dengan kelajuan munasabah atau memotong kenderaan berat.
Kestabilan Spacy dibantu dengan padanan sistem suspensi teleskopik hadapan manakala tugas imbangan belakang ditampung penyerap hentak tunggal (pada bahagian kiri).
Tugas memberhentikan jentera diserahkan kepada set brek cakera hadapan dan jenis drum di belakang. Kedua-dua memainkan tugas dengan cemerlang.
Tiga solekan warna ditawarkan untuk Spacy iaitu hitam, merah dan putih. Jika inginkan warna oren, anda perlu bersabar sehingga bulan Mac ini.
Harga atas jalan termasuk insurans adalah sebanyak RM4,999 seunit. Jaminan diberikan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km (yang mana tiba dahulu).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: