Saturday, January 12, 2013

Malaysia rumah kedua Lotus



SEWAKTU menghadiri majlis perasmian bilik pameran sulung Lotus di Sungai Penchala, Kuala Lumpur Selasa lalu, saya tertarik dengan ucapan Penasihat Proton Holdings Bhd. (Proton), Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Antara intipatinya termasuklah Group Lotus plc. (Group Lotus) pernah menjadi beban kepada Proton. Lebih menyedihkan lagi apabila sepanjang pemilikannya dalam tempoh 15 tahun, entiti perniagaan itu gagal menjana keuntungan kepada Proton.
Mantan Perdana Menteri Malaysia juga mengesahkan Proton berdepan kesukaran untuk mengendalikan Group Lotus selepas kematian pengasas dan bekas Pengerusi DRB-HICOM Bhd. (DRB-HICOM), Tan Sri Yahaya Ahmad.
Yahaya ialah tokoh korporat bumiputera yang menjayakan pembelian syarikat jenama ikonik United Kingdom itu pada tahun 1996. Beliau meninggal dunia dalam satu kemalangan helikopter di Kuala Lipis, Pahang pada 3 Mac 1997.
Turut terkorban dalam nahas itu ialah Puan Sri Rohana Othman, 49, (isteri Yahaya) dan juruterbang Mejar (B) Azlizan Abdul Manas, 32.
Nama Proton kembali hangat pada tahun lalu ekoran bidaan empat penjuru untuk mengambil alih syarikat pengeluar kenderaan nasional itu. DRB-HICOM diumumkan sebagai pemilik baharu Proton.

SISTEM pembesar suara ditempatkan di belakang tempat duduk pemandu dan penumpang.


Ini bermakna, Group Lotus secara tidak langsung sudah berpindah tangan kepada DRB-HICOM. Konglomerat itu perlu membuat keputusan kritikal sama ada mahu menyimpan syarikat 'lesu' itu atau menjualnya semula kepada pihak yang berminat.
"Banyak tawaran diterima untuk pembelian Group Lotus sewaktu DRB-HICOM mengambil alih syarikat tersebut. Tetapi DRB-HICOM tidak mahu menjual dan hendak membuatkan Lotus kembali menjana keuntungan," kata Mahathir.
Keputusan menyimpan dan memulihkan semula jenama berkenaan memang satu cabaran yang cukup besar. Jika salah percaturan, kesannya pasti amat mendalam buat DRB-HICOM.
"Ia bukan sesuatu yang mudah. Harapan saya adalah untuk memulihkan Group Lotus dalam tempoh dua tahun. Inilah cabaran buat pengurusan kami," kata Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM dan Pengerusi Eksekutif Proton, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran bilik pameran Lotus di Sungai Penchala.
Pusat pameran sulung

ENJIN Exige S menggunakan khidmat pengecas lampau Harrop HTV 1320.


Sebelum ini, kereta dan barangan Lotus menumpang ruang di dalam kompleks Proton Centre of Excellence di Subang Jaya, Selangor.
Maaf kata, nampak macam sebuah muzium Lotus pun ada.
Kini, Group Lotus sudah ada premis sendiri. Pembukaan pusat pameran Lotus Cars Malaysia di atas tanah seluas 10,520 meter persegi tepat pada masanya.
Premis itu terbahagi kepada tiga bangunan utama. Pertama, bilik pameran serta jualan seluas 1,060 meter persegi yang menempatkan kenderaan baharu dan terpakai.
Blok kedua ialah pusat servis Lotus. Berkeluasan 1,009 meter persegi, ia berupaya menampung sehingga 20 buah kereta pada setiap hari.
Ketiga, pusat pelanggan interaktif yang menyemarakkan gaya hidup Lotus. Ruang seluas 372 meter persegi itu juga digunakan untuk acara Lotus termasuk konvoi, perlumbaan serta tempat latihan pemanduan lanjutan dan defensif.
"Terdapat sebanyak 140 buah bilik pameran Lotus di seluruh dunia dengan 65 peratus daripadanya merupakan pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti)," tambah Mohd. Khamil.

SUSUN atur dalam kokpit Exige S cukup ringkas dan penggunaan material aluminium ternyata mudah dilihat ketika berada dalam kabin.


Sempena pembukaan pusat pameran yang menelan belanja RM7 juta itu, Proton turut memperkenalkan dua model baharu Lotus untuk pasaran tempatan iaitu Exige S dan Elise S.
Jentera sport Exige S didatangkan dalam dua varian iaitu roadster dan coupe. Kerangka kedua-dua model itu diperbuat daripada aluminium.
Exige S dengan reka bentuk aerodinamik dilengkapi pakej kit iaitu pemisah angin bahagian hadapan, peresap dan spoiler belakang.
Kedua-dua varian mengguna pakai enjin melintang DOHC V6 dual VVT-I 3.5 liter dengan pengecas lampau Harrop HTV 1320 berserta teknologi Eaton TVS.
Kotak gear enam kelajuan transmisi manual menjadi pelengkap rangkaian kuasa tersebut. Jentera dua pintu itu berupaya mencecah kelajuan maksimum 274 kilometer sejam (km/j).
Keupayaan memberhentikan jentera disandarkan kepada sistem brek AP-Racing empat omboh yang akan mencengkam cakera brek pada keempat-empat roda.
Elise S pula dilengkapi enjin melintang DOHC empat silinder sebaris DVVT-I dengan pengecas lampau Magnuson R900 berserta teknologi Eaton TVS. Transmisi yang dipadankan adalah manual enam kelajuan.

BARISAN kenderaan Lotus kini ditempatkan dalam satu blok khas di bilik pameran berkenaan.


Model itu berupaya memecut dari titik pegun hingga 100km dalam tempoh 4.6 saat. Kuasa maksimum dapat dihamburkan adalah 217hp@6,800rpm. Tork puncak adalah 250Nm@4,600rpm.
Harga jualan varian roadster Lotus Exige S adalah RM452,030 seunit. Versi coupe pula berharga RM467,230 sebuah.
Lotus Elise S ditawarkan pada harga RM332,300 sebuah. Jaminan diberikan untuk kenderaan Lotus adalah selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000km (mana-mana tiba dahulu).
Harga bagi ketiga-tiga produk baharu itu tidak termasuk insurans, cukai jalan, yuran pendaftaran, yuran pemeriksaan dan lain-lain.
Apa yang pasti, Lotus kini bukan Lotus yang lama. Jenama itu sedang melalui proses pemulihan. Hala tuju Lotus kini terletak pada kebijaksanaan Proton dan DRB-HICOM. Semoga berjaya!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: