Saturday, January 19, 2013
Pulau sepi yang kaya potensi
KEWUJUDANNYA ‘bertaburan’ di Lautan Hindi antara Madagascar dan Mozambique. Empat buah pulau kecil Comoros itu dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai Moroniwhose iaitu ‘bulan’ dalam bahasa Arab.
Nama tersebut agak pelik, namun ia sesuai memandangkan pulau-pulau itu terasing daripada ledakan pembangunan pelancongan di Lautan Hindi.
Seperti jirannya Zanzibar, kepulauan itu menerima pengaruh tamadun Arab dan Afrika. Warisan kebudayaan Arab dapat disaksikan di bangunan masjid berwarna putih di pulau berkenaan.
Comoros juga seperti satu lagi jirannya Seychelles, mempunyai ciri-ciri sebagai pulau fantasi, cuaca tropika yang panas, air laut membiru dan pokok-pokok kelapa yang menghijau. Bagaimanapun, tiada sesiapa yang datang melawat Comoros, meskipun mereka telah mendengar namanya.
Ia disebabkan sejarah pulau tersebut yang banyak masalah. Sejak mendapat kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1975, Kesatuan Comoros tetap bersatu walaupun salah sebuah pulau, Mahore mengundi untuk kekal di bawah kekuasaan Perancis. Ketiga-tiga pulau lain pula sejak itu sering kali berlaku rampasan kuasa iaitu tidak kurang daripada 20 kali. Tragedi rampasan yang terbaru adalah pada tahun 2008 diketuai oleh pembunuh upahan terkenal dari Perancis, Bob Denard.
Kawasan terpencil
Justeru, tidak hairanlah ketika saya mendarat di kawasan pantai utama, Ngazidja, ia merupakan kawasan yang terpencil tetapi aman. Jalan rayanya juga dipenuhi lubang, kambing-kambing menggeledah sampah di tepi jalan, teksi-teksi usang, hotel bajet dengan hanya sebuah air paipnya berfungsi 24 jam.
Begitupun, kekurangan pelancong asing membuatkan penduduk tempatan menjadi mesra dan gembira untuk berbual bersama anda.
Setelah saya melawat beberapa pantai yang cantik dan menghabiskan masa petang dengan berkaraoke di salah sebuah restoran terbaik di Moroni (ibu kota), saya mulai merasa bosan dengan aktiviti karaoke tersebut. Ekoran itu, hanya satu pengembaraan yang tinggal, mendaki gunung berapi Karthala.
Gunung berapi
Terletak di kedudukan 2,361 meter di atas pelabuhan Moroni, hutan hujan tropika itu diselubungi kepulan awan. Karthala merupakan antara gunung berapi yang aktif di dunia iaitu telah 20 kali meletus pada abad yang lalu.
Bagaimanapun, sejak dua tahun lalu, gunung berapi tersebut tidak meletus, jadi pendakian saya berjalan lancar dan selamat. Saya mengupah seorang jurupandu kerana treknya yang mengelirukan dan kurang panduan pendakian.
Pada hari pendakian, jurupandu tersebut menjemput saya dengan menaiki teksi di hotel seawal 5 pagi. Kemudian kami menjemput pula seorang warga Perancis bernama Ludovic dan kemudian kami meneruskan perjalanan ke kawasan kampung yang memakan masa kira-kira sejam.
Jurupandu itu memakai pakaian tidur yang kelihatan seperti seluar trek, sweater berkain lembut serta kasut but terpakai, manakala Ludovic dan saya hanya memakai pakaian biasa dan sepasang kasut sukan.
Mereka berdua kerap berhenti menghisap rokok. Jadi, penduduk kampung banyak memintas kami yang memulakan pendakian dari kawasan ladang pisang melalui wangian pokok cengkih dan pokok vanila. Vanila menjadi sumber pendapatan utama kepada penduduk kampung.
Jurupandu yang saya upah tersebut kurang pengetahuan tentang kehidupan binatang liar. Apabila ditanya ‘ada ularkah di sini?’, dia sekadar menjawab ‘ya, ada’. Apabila ditanya, ‘apakah jenis burung kakak tua itu?’, lalu dia menyahut ‘ya, ia burung kakak tua’.
Suasana indah
Selepas sejam berjalan, kami keluar dari hutan dan merentasi laluan tanah berwarna merah hitam. Kami dapat menyaksikan keseluruhan Pulau Comoros yang indah dengan air laut yang membiru. Kami berhenti seketika dan memetik strawberi liar yang cair di dalam mulut dengan rasanya sangat manis.
Kemudian kami meneruskan perjalanan mendaki dengan memijak pokok-pokok mati menuju ke kawasan tanah berwarna kelabu.
Kami memanjat tebing terakhir dan terbentanglah pemandangan yang indah di hadapan mata. Kami memacak khemah di situ. Kawasan padang luas pula berwarna hitam abu dengan batu-batu yang bertaburan.
Kami melintasi kawasan tersebut menuju ke bahagian paling hujung iaitu kawasan seperti kawah dipanggil caldera. Beratus-ratus meter di bawah kami, kelihatan dua fumarol yang kecil. Fumarol merupakan lohong kecil dalam kerak bumi pada kawasan gunung berapi iaitu tempat gas dan wap keluar pada suhu tinggi.
Dari puncak itu kami hanya mendengar bunyi tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa. Kami bersantai seketika menikmati suasana indah berkenaan, Ludovic menulis di atas pasir, la vie est belle (kehidupan yang indah). Selepas itu, kami berpatah semula ke tapak perkhemahan.
Keesokan harinya, kami menuruni kawasan gunung dan menuju ke sebuah kampung. Kanak-kanak kelihatan teruja menunjuk ke arah kami sambil melaungkan ’mzungus’ bermaksud orang putih. Saya menempuh hari yang menyeronokkan di kampung berkenaan dan berfikir, jika kawasan ini lebih membangun pasti akan menarik ramai pengunjung.
Manalah tahu suatu hari nanti, kanak-kanak di pulau ini tidak lagi menganggap orang luar atau pengunjung sebagai suatu yang pelik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: