Saturday, January 19, 2013

Damai di Taman Wetlands Putrajaya



LELAKI itu leka memerhatikan air tasik yang terbentang luas di hadapannya. Warnanya agak keruh, mungkin disebabkan musim tengkujuh yang sedang melanda seluruh negara sejak akhir-akhir ini.
Sesekali matanya melihat dua rod pancing miliknya yang diletakkan di tebing tasik itu. Belum ada tanda-tanda menunjukkan umpan dedak pada mata kailnya sudah mengena.
“Memancing selalu macam inilah, ikut nasib. Kadang-kadang letak saja umpan ikan dah sambar, jika tidak tunggulah berjam-jam sekali pun, nak dapat seekor pun payah,” kata Suffian Zulkarnain, 27.
Lelaki yang menetap di Putra Perdana dekat Puchong, Selangor itu sememangnya minat memancing. Boleh dikatakan hampir seluruh tasik dan kolam ikan di sekitar Puchong sudah ditawannya
Cuma kali ini, dia mahu mencuba nasib di Taman Wetland Putrajaya. Itu pun selepas rakan-rakan pemancingnya memberitahu, lokasi yang terletak di Presint 13, Putrajaya itu terkenal dengan pelbagai spesies ikan air tawar seperti seperti lampam, belida, toman dan jelawat.
Biarpun dikenakan caj sebanyak RM20 bagi setiap rod pancing yang dibawa, namun baginya ia tetap berbaloi.
Lebih-lebih lagi kawasan sekitarnya dilengkapi kemudahan tempat meletak kenderaan, tandas awam, surau, kafe serta wakaf bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.
“Biarpun baru pertama kali memancing di sini, saya sangat seronok dan selesa. Sambil memancing saya dan keluarga boleh berkelah di tepi tasik sambil menikmati panorama flora dan fauna di sekitarnya,” kata kakitangan Mahkamah Persekutuan Malaysia itu.
Sejarah Wetland

AKTIVITI rekreasi air antara tarikan yang ditawarkan di Taman Wetland Putrajaya.


Menyusuri sejarahnya, Taman Wetland Putrajaya dibangunkan pada Mac 1997 sebelum dibuka secara rasmi pada 2 Februari 1999 iaitu sempena Hari Wetland Sedunia.
Mempunyai keluasan 197.2 hektar, ia merupakan taman buatan manusia yang pertama di Malaysia serta antara kawasan tanah lembap yang terbesar di rantau ini.
Timbalan Pengarah Bahagian Operasi dan Pendidikan Taman Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya, Mohd. Tajuddin Idris berkata, umum mengetahui Putrajaya direka berkonsepkan bandar yang dikelilingi tasik-tasik buatan manusia.
Justeru katanya, ia memerlukan satu sistem penapisan air yang cekap bagi mengelakkan air tasik itu daripada tercemar sekali gus menjejaskan keindahannya.
“Di sinilah peranan utama taman ini. Umpama ‘buah pinggang’, ia merawat dan menapis pelbagai bahan enap cemar dan toksik yang disalirkan dari sungai-sungai berhampiran secara semula jadi sebelum memasuki Putrajaya.
“Pada masa yang sama, ia juga menjadi habitat kepada pelbagai pelbagai jenis tumbuhan dan hidupan akuatik bagi membentuk asas rantaian makanan serta mengekalkan biodiversiti tanah lembap,” ujarnya.
Tambah Mohd. Tajuddin, Taman Wetland Putrajaya terbahagi kepada dua komponen utama iaitu kawasan tanaman dan pusat rekreasi air yang menawarkan aktiviti rekreasi serta pembelajaran yang menarik minat pengunjung.
“Antara tarikan utama ialah menara pandang jauh setinggi 80 meter yang menawarkan panorama taman dan sebahagian besar Putrajaya dari udara. Bagi peminat haiwan pula terdapat pelantar tinjau burung yang menempatkan pelbagai spesies burung seperti undan putih, angsa putih, angsa mesir dan bangau. Terdapat juga kolam flamingo yang terletak dalam kawasan itu,” jelasnya.
Katanya, ketika ini pelbagai kemudahan yang disediakan agak lengkap seperti dewan seminar, dewan makan, surau, bilik serba guna dan tapak perkhemahan.
“Taman ini bukan sahaja sesuai untuk pengunjung yang mahu beriadah sambil menikmati panorama alam semula jadi, malah sesuai juga dijadikan lokasi untuk acara seperti mesyuarat, hari keluarga, bina semangat, majlis perkahwinan dan sebagainya,” ujarnya.

DENGAN ketinggian 80 meter, pengunjung boleh melihat panorama indah sekitar taman ini di Menara Pandang Jauh.


Salah satu tarikan terbaharu di Taman Wetland Putrajaya ialah Pusat Penghayatan Alam yang beroperasi pada Ogos tahun lalu.
Pusat pembelajaran
Penolong Pegawai Tadbir Pusat Penghayatan Alam, Nur Ayuni Liana Abd. Razak berkata, pengunjung ke pusat itu berpeluang mendapatkan maklumat mengenai ekosistem tanah lembap dengan lebih dekat.
Katanya, ruang dan galeri pameran di pusat itu dibahagikan kepada lapan zon berbeza.
“Bermula dari zon pertama sehingga ke zon lapan pengunjung akan dibawa mengenali ekosistem tanah lembap di Malaysia dan di Putrajaya serta pelbagai hidupan yang menghuni di dalamnya.
“Semua maklumat disampaikan dalam bentuk interaktif lengkap dengan audio visual, imej tiga dimensi dan model ekosistem tanah lembap.
“Ia menjadikan penjelajahan yang dilakukan tidak membosankan kerana pengunjung khususnya kanak-kanak boleh bermain dan mencuba pelbagai aktiviti yang disediakan,” jelasnya.
Setinggi tiga tingkat, beliau berkata pusat itu turut menempatkan bilik tayangan, perpustakaan, bilik perbincangan, kafetaria dan kedai cenderamata.
Ujarnya, pusat itu dibuka setiap hari Selasa hingga Ahad bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Sementara itu, seorang pengunjung, Zuraida Mat Kilau, 28, berkata, Taman Wetland Putrajaya bukan sekadar pusat pelancongan atau rekreasi orang ramai semata-mata.
“Ia lebih kepada pusat pembelajaran yang membolehkan pengunjung memahami, menghayati dan menikmati alam semula jadi khususnya ekosistem tanah lembap dengan lebih dekat,” ujarnya.
Gadis yang menetap di Seri Kembangan, Selangor itu berkata, pelbagai tarikan yang terdapat di taman itu turut menjadikan ia antara destinasi yang wajib dilawati di Putrajaya seperti Taman Putra Perdana, Taman Botani, Taman Alam Rimba, Taman Cabaran dan taman-taman lain di sekitarnya.
“Saya pernah beberapa kali ke sini, namun tidak pernah jemu kerana ia menawarkan aktiviti berbeza yang jelas tidak membosankan.
“Pengunjung bukan sahaja boleh memancing, menunggang basikal, menaiki kayak dan bot, malah jika bernasib baik berpeluang melihat pelbagai spesies burung penghijrah yang memenuhi ruang angkasa,” ujarnya.

PADANG Merbuk menjadi lokasi peminat aktiviti permainan kapal terbang kawalan jauh berkumpul saban minggu.


Bagi Mohd. Azmi Darman, 45, pula, lokasi itu merupakan tempat dia dan rakan-rakannya daripada Kelab Wetlands EP Geng berkumpul saban minggu untuk bermain kapal terbang kawalan jauh.
“Kami memilih lokasi di Padang Merbuk yang lapang dan luas sebagai lokasi pertandingan kerana kesesuaiannya.
“Sejak dimulakan pada 2006 sehingga kini, sedikit sebanyak ia menjadi daya penarik kepada pengunjung sekali gus mempopularkannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: