Saturday, January 5, 2013

Pesona suri rumah tambat hati juri

DARI kiri: Biruntha, Harvinderjit dan Alwizah masing-masing tersenyum bangga dan bergaya dengan replika cek kemenangan mereka.


MENJELANG penghujung tahun lalu, 26 wanita yang bergelar ibu menanti dengan penuh debar. Bukan kerana menantikan kelahiran cahaya mata baharu tetapi debaran menantikan siapakah antara mereka bakal dinobatkan sebagai juara dalam saingan Glowing Youthful Mother Contest 2012 yang diadakan di KLCC Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Walaupun sudah berusia 30 tahun ke atas, para ibu yang bertanding tampil anggun bergaya kelihatan sebaya dengan Ratu Cantik Malaysia Dunia 2010/2011, Nadia Heng dan pelakon, Corinne Adrienne yang bertindak selaku pengacara pada malam gala tersebut.
Menyarungkan busana 26 pereka fesyen daripada Bumiputera Designer's Association (BDA), para ibu tersebut begitu yakin mengatur langkah di pentas peragaan laksana ratu cantik.
Saat para peserta memperkenalkan diri dan mendedahkan usia masing-masing, kedengaran para hadirin melahirkan rasa tidak percaya kerana fizikal serta raut wajah mereka kelihatan jauh lebih muda daripada usia.
Para ibu yang bertanding pula bukan calang-calang orang kerana dalam kalangan mereka merupakan peguam, penganalisis perniagaan, pensyarah, guru, setiausaha, pengarah pegawai bank, eksekutif dan suri rumah.
Selain mengenakan gaun menarik, para finalis juga turut mempersembahkan gerak tari ala senaman. Ketika inilah, anak-anak dan suami dapat melihat bakat terpendam ibu dan isteri masing-masing mengatur langkah tari mengikut ritma lagu.
Persaingan sengit menyukarkan barisan juri selebriti undangan yang terdiri daripada Amber Chia, Bon Zainal, Daphne Iking dan Noniswara Baharuddin membuat keputusan.
Begitupun, berdasarkan pemerhatian juri terhadap keyakinan dan penampilan finalis ketika beraksi di pentas, tiga daripada 26 finalis telah dipilih untuk mara ke pusingan akhir.
Tiga finalis yang berjaya tersebut ialah Harvinderjit Kaur Dharm Singh, 31, Biruntha Letchumi Mooruthi, 32, dan Alwizah Al-Yafii Ahmad Kamal, 38. Mereka kemudian diuji dengan beberapa soalan mengenai penjagaan kecantikan dalaman yang perlu diselesaikan dalam masa satu minit.
Jika tahun lalu gelaran Glowing Youthful Mother 2011 dinobatkan buat ibu kepada dua anak, Toh Mi Mi yang juga seorang peguam, bagi tahun ini gelaran tersebut menjadi milik seorang suri rumah popular iaitu Harvinderjit Kaur.
Ternyata pesona Harvinderjit yang ceria dan yakin membuatkannya lebih menyerlah berbanding yang lain.
Kemenangan tersebut melayakkan ibu beranak satu dari Kuala Lumpur itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM25,000.
Tempat kedua dan ketiga pula disandang oleh Alwizah dan Biruntha Letchumi yang masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM5,000.
Dalam pada itu, Pengarah Serantau Mega Lifesciences Sdn. Bhd., Sudhir Gandhi memberitahu, peraduan tersebut dianjurkan untuk para ibu sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang memainkan peranan besar dalam pembentukan keluarga.
"Kesemua finalis peraduan ini berjaya membawa mesej gaya hidup sihat luaran dan dalaman serta pentingnya mikronutrien dalam kehidupan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: