Saturday, January 5, 2013

Jamu selera paling aneh

MAKAN dalam keadaan gelap gelita dan mata ditutup dengan pengikat khas seperti di restoran di New York ini meningkatkan ketajaman rasa.


DIA selamba mengambil sekeping keropok ikan, lalu di atasnya diletakkan gumpalan rumpai laut yang digoreng garing. Lelaki yang berasal dari Montreal, Kanada itu kemudian mengambil secebis isi ketam lelabah Alaska dari pinggan hidang lain lalu diletakkan perlahan-lahan ke atas rumpai tersebut.
Sebagai tambahan, beberapa potong cili api turut ditaburkan ke atas kepingan ‘resipi’ spontan tersebut sebelum diakhiri dengan sos manis berhalia yang menyengat tunas rasa di lidah.
Tanpa menunggu lama, dia menyuapnya sekali gus ke dalam mulut hingga mengundang ketawa kecil orang lain yang melihat teletahnya di meja makan sebuah restoran makanan laut di Petaling Jaya, beberapa bulan lalu.
Begitulah Bob Blumer, pengembara kulinari bertaraf selebriti yang popular melalui beberapa rancangannya sebelum ini seperti The Surreal Gourmet dan Glutton for Punishments.
Menilai sifat dan minat Bob, soal makanan baginya adalah suatu keseronokan dan kegembiraan. Setiap yang dirasainya merupakan sebuah perjalanan merentasi dimensi gastronomi dan lapisan budaya yang bervariasi.
Kunjungannya ke Kuala Lumpur sedikit masa lalu adalah untuk mempromosikan rancangan terbaharunya iaitu World’s Weirdest Rastaurants yang bakal menemui penonton pada pukul 9 malam setiap Isnin, bermula 7 Januari 2013 di saluran TLC (Astro 707).
“Ia adalah sebuah program yang diedit mengikut gaya klip pantas MTV. Setiap episod bersiaran selama 30 minit dan anda akan menyaksikan empat segmen menarik mengenai kunjungan saya ke beberapa buah restoran di destinasi berbeza,” ujarnya yang sudah menginjak usia separuh abad.
World’s Weirdest Restaurants merupakan program 13 episod yang menyaksikan Blumer dan kru penerbitannya meneroka keunikan 52 buah restoran di banyak lokasi menarik. Antara negara yang dilawati untuk menjayakan rakaman program itu ialah Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jeppun, Taiwan, Thailand, Jerman, Republik Czech dan England.
“Setiap satunya menawarkan pengalaman menjamu selera dalam suasana yang ekstrem dan luar biasa.
“Daripada restoran yang menjadikan monyet-monyet sebagai penghantar hidangan hinggalah kepada restoran bogel di New York. Seterusnya, menikmati kari yang dihidang dalam mangkuk tandas di Taiwan dan makan malam di dalam rumah agam berhantu di England,” kongsi Bob.
DI restoran Jepun ini, monyet-monyet ditugaskan untuk menghantar sashimi, ayam goreng dan bir kepada pelanggan.


Ayam meriam
Tambah lelaki yang kini menetap di California, AS itu, penonton pasti menzahirkan pelbagai emosi tatkala menonton rancangannya - ketawa, jijik, terkejut mahupun terdiam tanpa mampu mengulas apa-apa.
“Dalam kunjungan ke sebuah restoran di Bangkok, saya sangat tertarik pada gaya salah satu menu dihidangkan. Sajian menu ayam seekor itu bermula dengan ia disumbatkan ke dalam sebuah meriam.
“Ayam itu seterusnya ditembakkan ke udara dalam keadaannya yang terbakar. Ia ‘melayang’ ke satu sudut restoran seperti bola api yang marak menyala.
“Bukan disambut dengan pinggan, sebaliknya ayam itu ditusuk dengan pencucuk daging yang terlekat di atas topi seorang lelaki yang menantikannya. Lebih hebat, lelaki itu perlu menusuk ayam itu sambil mengimbangkan dirinya di atas unicycle (ekasikal atau basikal satu roda),” cerita Bob teruja.
Asia istimewa
Benua Asia memang sentiasa menakjubkan orang Barat, termasuk Bob sendiri. Selain kekayaan warisan tradisi dan keistimewaan rempah ratus yang menyuntik 1,001 palet rasa, orang Asia juga menurut Bob, kreatif dalam menjalankan bisnes berkaitan makanan.
“Di Jepun, saya singgah pula di sebuah restoran yang memerlukan pelanggan memancing sendiri menu makan malam mereka. Kedengarannya biasa, tetapi ada kelainannya.
“Terdapat sebuah kolam ‘misteri’ di tengah-tengah restoran. Berbekalkan joran, mereka akan mula memancing. Jika umpannya mengena ikan yang biasa, mungkin memadai untuk bajet yang dirancang pada malam itu.
“Namun, jika umpan itu disambar ikan yang besar dan berharga mahal, pelanggan itu perlu membayarnya juga!” Kata Bob yang pernah menghasilkan enam judul buku masakan terlaris sepanjang kariernya.
GAYA jenaka Bob yang menikmati ketam lelabah Alaska di sebuah restoran makanan laut di Petaling Jaya, sedikit masa lalu.


Suka teh
Dengan wajah dan aksi seperti orang muda, ramai juga yang bertanya tentang rahsia Bob menjaga kesihatan. Mengakui dirinya seorang yang gila makan, Bob mendedahkan bahawa dia akan mengimbangkannya dengan membuat senaman walaupun dalam kesibukan jadual kerjaya dan penerbangan.
“Saya sentiasa membawa bersama peralatan senaman ringkas berupa tali regangan. Ia boleh digunakan untuk pelbagai jenis rutin yang melatih keanjalan dan kekuatan otot.
“Walau sedang berehat dalam bilik hotel, saya boleh lakukan beberapa set ulangan untuk kekal bertenaga. Tentunya saya tiada pantang dalam soal makan, cuma saya tidak minum kopi,” ujarnya yang lebih menggemari teh.
Bob sempat memuji betapa Malaysia beruntung kerana memiliki latar etnik yang berbeza dan kepelbagaian itu banyak menyumbang kepada eksperimentasi dunia kulinari.
Dia menambah, walau lidahnya berteraskan selera ruji daging, sayur dan kentang seperti yang lazim dinikmati di negara asalnya, Bob mengakui resipi yang pedas dan berempah seperti yang ditemui di Thailand dan Malaysia bukan masalah buatnya.
“Anda ada cadangan mengenai restoran yang pelik di Malaysia? Kalau ada, tolong beritahu saya. Musim kedua penggambaran World’s Weirdest Restaurants sedang berjalan dan kami perlukan idea lagi,” usiknya namun menunggu jawapan positif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: