Saturday, January 5, 2013

Pasaran terus dibanjiri produk baharu

MODEL kompak V40 dilihat mampu menjadi agen pengubah yang signifikan untuk jenama Volvo di Malaysia.


RASANYA masih belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat tahun baharu kepada pembaca setia Garaj! Tahun 2012 telah berlalu dengan beberapa sejarah penting telah tercatat dan bakal memberi kesan kepada industri automotif tempatan pada masa akan datang.
Peristiwa paling signifkan yang berlaku pada 2012 pastinya pengambilalihan Proton oleh DRB Hicom. Selain pembelian enjin buatan Petronas bernilai lebih RM60 juta, juga melibatkan pengeluar kereta nasional, Proton.
Tahun lepas turut menyaksikan banyak model menarik diperkenalkan dan mendapat sambutan hangat daripada pengguna tempatan. Biarpun orang ramai dikatakan mengambil pendekatan tunggu dan lihat berikutan pilihan raya umum bakal diadakan tidak lama lagi.
Apa yang pasti, 2013 dijangka lebih meriah dengan kehadiran banyak model baharu yang ditunggu-tunggu ramai. Minggu ini, Garaj! mengumpulkan beberapa model yang bakal diperkenalkan dan harus anda tunggu!

MAZDA6 dikatakan bakal dilancarkan oleh Bermaz Motor pada bulan Februari.


Honda
Honda akan mengujakan pasaran menerusi sekurang-kurangnya tiga model menarik pada tahun ini. Diramal menemui pengguna seawal suku pertama, anda pasti tidak sabar untuk melihat atau memiliki model-model seperti SUV popular Honda, CR-V, hibrid kompak dua pintu yang cukup sporty, CR-Z dan sedan segmen D, Accord.
CR-V generasi keempat itu akan menggantikan model sedia ada yang sudah begitu lama di pasaran. Memiliki kualiti pengendalian mengagumkan, penggunaan minyak yang jimat dan rekaan luaran sporty, maka tidak hairanlah CR-Z terus mengumpul peminatnya di Malaysia. Model naik taraf CR-Z dikatakan lebih berkuasa, selain menerima banyak penambahan lain.
Sedan segmen B bukan nasional paling popular, Toyota Vios akan tampil dengan model serba baharu. Selain Vios, UMW Toyota juga dijangka memperkenalkan model Altis dan sedan mewah Lexus IS250.
Setelah sukses dengan model SUV CX-5, Mazda menerusi pengedarnya Bermaz Motor Sdn. Bhd. akan meneruskan kesinambungan teknologi SKYACTIV menerusi model sedan segmen D, Mazda6.
Bakal menemui peminat Mazda tidak lama lagi, Mazda6 hadir dengan pelbagai teknologi terbaik SKYACTIV. Misalnya, sistem i-ELOOP yang berfungsi menjimatkan penggunaan bahan api.
Edaran Tan Chong Motor (ETCM) pula dijangka membawa masuk kenderaan elektriknya (EV), Nissan LEAF. Sudah pun menjalankan program perintis pada tahun lalu, ETCM nampaknya sudah bersedia untuk menawarkan EV kepada rakyat Malaysia. Bukan setakat LEAF sahaja, tunggu juga beberapa model-model lain yang akan ditambah baik terutama Sylphy.
Sebaik sahaja ‘gambar risikan’ model itu tersiar di Internet, maklum balas yang diterima begitu hebat. Proton dikatakan bakal mengetengahkan varian hatchback yang dibina berasaskan kepada sedan Preve. Adakah ia akan dipasang dengan enjin Petronas? Sama-sama kita nantikan.
LEXUS IS250 mahu mencabar monopoli BMW 3 Series dan Mercedes-Benz C-Class.


Jenama dari Korea iaitu Kia dan Hyundai tidak kurang hebatnya. Kia didakwa akan memasarkan model kompak Rio tidak lama lagi. Jauh berbeza dengan model terdahulu, Rio baharu nyata menawan hasil rekaan pasukan reka bentuk Kia yang diketuai oleh Presiden baharu Kia Motors, Peter Schreyer.
Memandangkan sekumpulan media tempatan telah dijemput untuk memandu uji Forte di Dubai (Kosmo! tidak tersenarai), tidak mustahil model baharu Forte akan menjadi sebahagian daripada tawaran Kia untuk tahun ini.
RENAULT Clio yang menawan kalbu.


Hyundai yang baru sahaja memperkenalkan model coupe tiga pintunya, Veloster mungkin akan menawarkan SUV Santa Fe kepada pengguna di Malaysia. Bagaimanapun, varian enjinnya masih tidak dapat dipastikan.
Volkswagen meneruskan pendekatan agresif melalui beberapa model menarik pada 2013. Antara model yang menjadi sebutan ialah hatchback Golf MKVII dan trak pikap Amarok.
Peminat kereta berprestasi tinggi pasti tidak kecewa dengan tawaran daripada Renault.
Nantikan sahaja kemunculan Clio generasi keempat dan Megane 265. Lepas ini, aktiviti pemilik jentera Renault di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mesti lebih meriah dengan peserta yang bertambah ramai.
2012 merupakan tahun yang agak senyap untuk Volvo. Diharapkan dengan pengenalan model V40 akan memberi sedikit kerancakan kepada pengeluar dari Sweden itu.
Ini hanyalah sebahagian daripada model-model baharu yang mungkin diperkenalkan pada tahun 2013. Pastinya akan ada penambahan atau pengurangan daripada senarai ringkas yang saya sediakan ini. Apa yang jelas, 2013 ialah tahun yang meriah buat industri automotif tempatan.
Bagi anda yang merancang untuk membeli kereta baharu, saya ucapkan selamat memilih!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: