Saturday, January 5, 2013

Anak angkat keluarga Melayu Champa



RASANYA lemak-lemak manis. Kalau habis sebungkus pasti kenyang hingga ke petang. Itulah makanan tradisi masyarakat Melayu Champa yang dikenali sebagai nam cek.
Semasa berkunjung ke Perkampungan Samrong, Takeo, Phnom Penh, Kemboja, saya dapati hampir semua penghuni rumah membuat hidangan tersebut iaitu sehari sebelum sambutan Hari Raya Haji.
Makanan tradisi berupa roti pisang itu dibuat masyarakat negara berkenaan pada hari-hari istimewa termasuk Hari Raya Aidilfitri. Ia menjadi kegemaran masyarakat di sana, malah kanak-kanak leka menikmatinya sambil bermain bersama rakan-rakan.
Bahan-bahan penting untuk menghasilkan nam cek ialah beras pulut, santan kelapa, gula, garam, minyak masak dan pisang.
Biasanya golongan wanita akan memulakan kerja-kerja menghasilkan kuih tersebut yang dilakukan secara tradisional dan ia dimulakan selepas menyediakan sarapan pagi.
Cara pembuatannya, isi pisang akan dipicit-picit sebelum dilumurkan dengan beras pulut yang telah dibasuh dan digaul bersama minyak masak, sedikit garam serta gula. Kemudian ia dibungkus menggunakan daun pisang sebelum direbus selama lima jam.

TENGKORAK dan tulang mangsa kekejaman Pol Pot dipamerkan untuk peringatan generasi semasa serta pelancong asing.


“Roti pisang merupakan makanan tradisi masyarakat di kampung ini terutama pada musim perayaan. Kos menghasilkan makanan ini ialah kira-kira RM50 bagi 30 bungkus,” kata Sonsak, 56, seorang suri rumah yang mempunyai tiga anak dan tujuh cucu.
Kenangan manis
Seenak nam cek, begitulah juga memori manis menjadi tetamu di desa permai itu. Perkampungan Islam tersebut terletak kira-kira dua jam setengah perjalanan dari bandar Phnom Penh. Kunjungan saya bersama ahli rombongan lain ke kampung berkenaan bagi mengikuti program keluarga angkat selama tiga hari dua malam.
Penduduk di kampung itu sangat peramah, walaupun bahasa merupakan satu masalah dalam pertuturan, ia bukanlah penghalang untuk kami beramah mesra.
Kedudukan rumah-rumah dibina agak rapat dan kebanyakannya diperbuat daripada kayu serta papan. Hanya beberapa buah rumah diperbuat daripada simen dan batu.
Sekeliling kampung dipenuhi sawah padi dan pemandangannya indah dan mendamaikan. Saya terpesona menyaksikan matahari terbit dan terbenam di kawasan sawah padi yang ketika itu sedang dalam proses penanaman semula.
Haiwan ternakan seperti lembu, ayam dan itik ada di mana-mana sahaja menghiasi landskap hijau kampung tersebut.

KEMESRAAN yang ditunjukkan oleh penduduk Kampung Samrong benar-benar menyentuh hati peserta rombongan dari Malaysia.


Bantuan kewangan
Pembinaan masjid di kampung berkenaan khabarnya disumbangkan oleh seorang rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, kampung tersebut masih memerlukan bantuan kewangan untuk membesarkannya memandangkan rumah ibadat itu turut dijadikan pusat pendidikan anak-anak mereka yang majoritinya hidup serba kekurangan.
Kebanyakan penduduk juga menjalankan aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan di kawasan rumah masing-masing seperti kedai runcit, kedai makan dan minum serta menjual pelbagai barangan keperluan lain.
“Saya hanya membantu keluarga berniaga kecil-kecilan di rumah, Saya jual barang-barang keperluan harian, minuman dan kuih-muih,” kata Maryam, 21, yang berhasrat untuk keluar ke bandar mencari pekerjaan yang menawarkan gaji lebih lumayan.
Saya juga dapat saksikan beberapa peniaga datang ke kampung itu dengan menaiki basikal yang diubah suai, motosikal atau kereta sambil menjual pelbagai jenis makanan dan barang-barang. Lebih unik, seorang peniaga dari Thailand datang menjual barangan dengan menunggang gajah.
Para peserta rombongan semakin rapat dengan keluarga angkat masing-masing saban hari. Namun, masa pantas berlalu dan kami perlu meneruskan perjalanan ke bandar Phnom Penh bagi menerokai sisi lain Kemboja.
Kami sampai di bandar Phnom Penh ketika matahari sudah terbenam. Sejurus tiba di hotel dan selesai urusan mendaftar masuk, kami terus ke bilik penginapan masing-masing untuk beristirehat.
Poco-poco
Pada sebelah pagi keesokan harinya, kumpulan kami sempat berkunjung ke tebing sungai yang bernama Sisowath Quay. Di sini, dapat disaksikan beberapa kumpulan orang melakukan tai chi, karate malah ada kumpulan yang melakukan poco-poco dan terselit juga lagu-lagu dangdut dan irama Melayu.
Tanpa diminta, kami lantas menyertai kumpulan tersebut sekadar untuk bersuka-suka selama beberapa minit sebelum meneruskan perjalanan sehingga berada berhadapan Istana Diraja (Royal Palace).
Selepas itu, kumpulan kami menyewa 16 buah beca mengelilingi bandar Phnom Penh. Mod pengangkutan yang dapat merehatkan sebentar kaki kami itu dikenakan bayaran sebanyak AS$16 (RM49) bagi setiap satu.

SETIAP gelang kain berwarna-warni ini adalah bagi mengingati nyawa kanak-kanak dan bayi yang mati diseksa.


Kekejaman
Kami kemudiannya menaiki bas menuju lokasi selanjutnya iaitu melihat kesan tinggalan kekejaman rejim Khmer di bawah pimpinan Pol Pot dari tahun 1976 hingga 1979.
Di Killing Field, saya dapat menyaksikan tengkorak-tengkorak mangsa disimpan dalam almari kaca yang tinggi dan dipamerkan kepada orang ramai. Terdapat lubang-lubang kubur besar yang digali dan sisa-sisa tulang kelihatan di atas tanah tersebut.
Sebatang pokok besar turut menjadi tumpuan kerana di atasnya terdapat banyak gelang kain berwarna-warni. Rupa-rupanya ia menyimpan kisah memilukan iaitu bayi-bayi yang suatu ketika dahulu dipukul atau dibaling ke pokok itu sehingga mati.
Rombongan kami juga dibawa melawat Tuol Sleng Genocide Museum (Muzium Bukit Pokok Beracun) atau Strychnine Hill. Ia merupakan sebuah bangunan sekolah menengah yang dijadikan penjara pada zaman Pol Pot.
Di situ, pengunjung dapat menyaksikan bilik-bilik darjah yang menjadi tempat penyeksaan dan pembunuhan. Setiap ruang diubah suai menjadi penjara yang sempit. Ia kini menempatkan pameran alat-alat penyeksaan dan gambar-gambar mangsa.
Hati rasa sayu apabila menyaksikan gambar-gambar dan seksaan-seksaan yang dilakukan ke atas penduduk tempatan termasuk kanak-kanak dan wanita. Menurut rekod, jumlah mangsa yang terbunuh dalam kekejaman itu mencecah seramai dua juta orang.
Makan dan beli-belah
Setelah itu, rombongan kami mencari restoran untuk mengisi perut yang kelaparan. Sebenarnya tidak sukar untuk mencari makanan halal di Phnom Penh. Terdapat beberapa restoran yang menyajikan masakan tempatan atau Melayu yang sedap.
Kami dibawa ke beberapa buah restoran makanan halal seperti Cambodian Muslim Restaurant dan D’ Wau Restaurant. Makanan yang dihidangkan sebahagiannya mendapat pujian daripada kami lantaran rasanya yang menepati selera orang Malaysia.
Tidak sah rasanya, jika ke luar negara tanpa membawa pulang sedikit buah tangan. Sasaran kami membeli-belah ialah di Pasar Rusia (Russian Market) dan Central Market.
Kami menghabiskan masa lebih dua jam di kedua-dua pasar berkenaan. Barangan seperti beg sandang, kain sutera dan baju boleh didapati pada harga yang murah. Cuma, perlu pandai tawar-menawar.
Kunjungan pada hari biasa lebih bagus kerana mudah untuk menawar harga yang lebih rendah berbanding hari minggu.
Sepanjang lima hari berada di bumi Kemboja, saya dapati negara ini semakin menjadi tumpuan rakyat Malaysia bercuti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: