Saturday, January 12, 2013

Mencari keadilan untuk wanita



KETIKA seluruh masyarakat dunia sedang bersiap sedia untuk melabuhkan tirai tahun 2012, kita dikejutkan dengan berita tragis dari India apabila seorang wanita 23 tahun dirogol beramai-ramai oleh lima orang lelaki dalam sebuah bas bergerak. Kepiluan hati bertambah parah apabila mangsa turut dipukul dan dihumban ke tepi jalan selepas diperkosa.
Ketua Polis Delhi, Neeraj Kumar dalam keterangannya kepada media menjelaskan mangsa dan rakan lelakinya sedang dalam perjalanan menaiki bas di Munirka, selatan Delhi.
"Rakan lelaki mangsa cuba melawan lima perogol yang menyerang mereka, tetapi dia dipukul dengan teruk. Kedua-dua mereka dihumban keluar dari bas yang sedang bergerak selepas mangsa dirogol," ujarnya.
Memburukkan lagi keadaan mangsa yang dalam keadaan kritikal tidak terus dikejarkan ke hospital oleh pihak polis, malah hanya dibiarkan ibarat seekor anjing yang jijik untuk disentuh.
"Pihak polis yang datang, bertengkar sesama sendiri selama 45 minit kerana tidak tahu mahu menghantar kami ke mana," ujar rakan lelaki mangsa ketika ditemu ramah oleh sebuah stesen televisyen tempatan.
Birokrasi polis India dalam menangani masalah rogol adalah sesuatu yang tidak mengejutkan bagi masyarakat setempat kerana mereka beranggapan jenayah rogol hanyalah kes terpencil yang tidak perlu diperbesarkan.
Segalanya berpaksi kepada adat tradisi di negara kedua populasi terbesar dunia yang mengagungkan kuasa kaum lelaki sehingga sanggup mematikan peranan ahli wanita secara mental dan lahiriah. Ia terbukti melalui penurunan ratio antara gender dengan hanya 914 perempuan untuk 1,000 lelaki pada tahun 2011.
Kenyataan itu disokong oleh Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Krishna Tirath yang menyatakan kadar pengguguran janin perempuan yang tinggi dalam kalangan wanita India berkait rapat dengan adat mengutamakan anak lelaki.
"Ia diburukkan dengan amalan dowri dan kebimbangan keselamatan anak perempuan mereka yang berdepan dengan masalah eksploitasi penderaan," ujarnya.
Di India, identiti mangsa rogol dan keluarga tidak boleh didedahkan kepada umum bagi menjaga aib keluarga yang akan mendapat malu besar atas kesilapan yang hakikatnya bukan dilakukan oleh mangsa.

GOLONGAN wanita bangkit mempertahankan hak mereka yang selama ini tidak diendahkan.


Mangsa rogol akan terus dipersalahkan kerana tidak menjaga peribadi diri sehingga mendapat perhatian daripada kaum lelaki. Pendedahan kepada umum akan mengakibatkan masalah yang lebih besar bakal dihadapi oleh mangsa.
Sebagai contoh seorang guru spiritual India yang dikenali sebagai Asharam Bapu turut menyalahkan mangsa rogol yang berlaku pada 16 Disember lalu itu kerana tidak merayu untuk dilepaskan daripada perogol. Tambahnya, mangsa boleh terselamat jika dia melaungkan nama Tuhan dan memegang kaki mereka.
"Kesilapan tidak berlaku pada satu pihak sahaja," ujarnya yang terus mendapat kecaman hebat daripada masyarakat disebabkan kelancangannya memberikan pendapat yang tidak berperikemanusiaan.
Akibat daripada situasi-situasi sebegini, jenayah rogol terus berleluasa dengan jumlah rogol yang meningkat sehingga 875 peratus sepanjang 40 tahun. Untuk tahun 2011 sahaja sebanyak 24,206 dilaporkan.
Kes rogol di New Delhi hakikatnya, bukanlah perkara baharu di bandar raya itu yang mencatatkan jenayah rogol sebanyak 661 kes pada tahun 2012. Malah 40,000 lagi sedang menunggu untuk dibicarakan di mahkamah.
Kebangkitan rakyat
Namun, kematian anak perempuan Badri Singh Pandey itu menjadi titik tolak kepada kebangkitan rakyat yang selama ini terpendam dan diabaikan terutamanya daripada suara-suara halus golongan wanita.
Ribuan penduduk India bersatu hati keluar ke jalan-jalan raya utama, bangun memprotes ke atas ketidakadilan undang-undang yang menyelubungi negara tersebut selama ini. Ia memaksa pihak polis mengambil beberapa langkah seperti menyekat jalan menuju ke Istana Presiden dan ibu pejabat kerajaan.



Kekecohan yang berlaku membuatkan kerajaan pimpinan Manmohan Singh itu mengambil inisiatif dengan menjanjikan jaminan keselamatan yang lebih baik kepada kaum wanita.
Antaranya rondaan polis pada waktu malam, pengharaman bas dengan cermin gelap dan pemasangan langsir selain pemeriksaan kerap ke atas pemandu bas.
Dalam masa sama, kerajaan turut menunjukkan kesungguhan dengan menaja sepenuhnya pembiayaan rawatan susulan mangsa di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Namun, sayangnya usaha itu menemui jalan buntu apabila mangsa yang hanya dikenali sebagai Jyoti, meninggal dunia selepas dua minggu bertarung nyawa.
Menurut kenyataan Ketua Eksekutif Hospital Mount Elizabeth, Kelvin Loh, kecederaan teruk pada tubuh dan otak menyebabkan organnya gagal berfungsi. Laporan media mengatakan mangsa turut dipukul dengan sebatang besi.
Perbicaraan ke atas suspek masih dijalankan atas desakan rakyat yang mahukan kes diselesaikan dalam kadar yang segera. Pendakwa Raya, Rajiv Mohan memfailkan tuduhan merogol, memusnahkan bukti, menculik, membunuh dan tuduhan-tuduhan lain. Kelima-lima perogol telah ditahan bersama pemandu bas tersebut.
Walaupun mendapat kecaman hebat, tiga daripada pesalah diwakili oleh peguam bela, V. K. Anand dan Manohar Lal Sharma yang beranggapan mereka juga mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan.
"Menidakkan hak pembelaan kepada pesalah membuatkan mahkamah lebih mudah menggugurkan kes satu hari nanti jika pesalah membuat rayuan," jelas Manohar.
Dibelenggu kemiskinan
Masalah kemiskinan yang membelenggu rakyat menyumbang kepada masalah jenayah di India. Walaupun negara tersebut dikatakan bakal menjadi kuasa besar ekonomi dunia melalui kepesatan pembangunan hasil daripada dasar liberalisasi ekonomi tahun 1990-an, namun kekayaan yang diperoleh tidak dibahagikan secara sama rata ke seluruh negeri. Kekayaan jutawan terus bertambah dan rakyat marhaen terus dirundum kemiskinan.

KERAJAAN Manmohan memperkenalkan gerabak kereta api khas untuk wanita bagi menjamin keselamatan kaum Hawa di India.


Hampir dua per tiga daripada jumlah penduduk India berdepan dengan masalah kemiskinan yang merangkumi 30 peratus populasi luar bandar. Ia mengakibatkan berlakunya permasalahan baharu dengan peningkatan kadar jangkitan HIV/AIDS seramai 5.7 juta orang pada tahun 2005.
Punca utama kemiskinan adalah disebabkan kekurangan aset produktif dan sumber kewangan. Kebanyakan mereka hanya bergantung hidup sebagai petani atau nelayan. Kemerosotan sumber-sumber bumi akibat pencemaran dan risiko ancaman bencana alam memudaratkan lagi kehidupan mereka. Dianggarkan 150,000 petani mati akibat masalah kemiskinan yang melampau.
Masalah korupsi yang tinggi juga menyumbang kepada kadar kemiskinan yang nyata di negara kelahiran Mahatma Gandhi itu. Imej yang teruk terus kekal untuk tahun 2012 apabila berada dalam kedudukan ke 94 daripada 176 negara melalui senarai yang dikeluarkan oleh Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Ia menyulitkan India untuk keluar daripada masalah kemiskinan akibat dana-dana kewangan yang sepatutnya disumbangkan untuk pembangunan negeri-negeri miskin seperti Rajasthan, Madhya Pradesh, Uttar Pradesh, Bihar, Jharkhand, Orissa dan Chhattisgarh tidak disalurkan secara telus.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: