Saturday, January 12, 2013

Fun fair masih di hati orang Malaysia

WALAUPUN jumlah tapak fun fair hari ini tidaklah sebanyak dahulu, namun ia masih tetap dikunjungi ramai.


DARI kejauhan bunyi alunan lagu dan kerlipan cahaya lampu bagaikan menarik perhatian ramai. Semakin didekati kawasan itu, roda gergasi atau lebih dikenali ferris wheel antara yang paling jelas kelihatan dan berdiri gagah.
Sememangnya ferris wheel sejak sekian lama dan hampir di seluruh dunia menjadi identiti utama kepada sebuah tapak pesta ria atau lebih popular dengan panggilan fun fair.
Melengkapkan lagi sebuah fun fair yang bukan sahaja akan menarik kehadiran pengunjung daripada golongan kanak-kanak, bahkan orang dewasa termasuklah permainan kuda pusing, kereta langgar, rumah hantu, roller-coaster mini dan kereta api.
Tidak ketinggalan kebiasaannya fun fair di Malaysia turut mempunyai permainan berkonsepkan tikam dan menang yang menawarkan pelbagai hadiah seperti patung, beg dan rantai kunci.
Antara permainan tikam popular di fun fair termasuklah baling tin, baling dart, pancing itik, baling gelung dalam botol, bingo dan tembak peluru. Tidak cukup dengan itu, lagu-lagu rancak yang dimainkan juga menarik perhatian orang ramai untuk berkunjung ke tapak fun fair.
Itulah antara gambaran keseronokan yang terdapat di sebuah tapak fun fair.
Walaupun hari ini bilangan tapak fun fair mungkin boleh dibilang dengan jari dan beroperasi di pekan atau bandar kecil, namun hakikatnya sekitar tahun 80-an, ia satu fenomena dalam kalangan masyarakat.
Perkara itu turut diakui Zulhelmy Ahmadrafai, 31. Menurut kakitangan kerajaan itu sejak berusia lapan tahun lagi, dia sudah mengenali fun fair. Ketika itu, dia mengunjungi fun fair bersama-sama ibu bapa dan adik-beradik yang lain.
Cerita anak jati Cheras itu lagi, fun fair sudah menjadi lokasi yang wajib dikunjungi setiap kali ia dibuka di kawasan perumahannya.
Mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya, dia tidak pernah ketinggalan mengunjungi pesta tersebut lagipun ketika itu ia satu-satunya tempat yang popular disebabkan bayaran menaiki permainan yang murah.
"Seingat saya, satu token untuk kanak-kanak berharga RM1, manakala dewasa RM2. Apabila berkunjung di situ, saya rasa ayah akan menghabiskan kira-kira RM50 kerana kesemua adik-beradik yang lain dibawa sama.
"Sebaik tiba di fun fair, kami seolah-olah rambang mata dengan permainan di situ," ujar bapa kepada dua cahaya mata itu.
Fun fair sememangnya kawasan tumpuan golongan ibu bapa mahupun remaja untuk bersuka ria, apatah lagi suatu ketika dahulu ia dimeriahkan dengan konsert artis terutamanya kumpulan rock seperti XPDC, Wings, Search, May dan Kristal.

ZULHELMY membawa isteri dan anak-anaknya untuk bermain permainan tikam menangkap itik.


Sejarah fun fair
Mengimbau asal usul fun fair, kemunculan tapak pesta itu sebenarnya telah bermula selepas berita ekspo Columbia Dunia yang bakal diadakan pada tahun 1893.
Ketika itu, pengarah ekspo berkenaan di Illinois mengeluarkan satu cabaran kepada semua jurutera di Amerika Syarikat untuk menghasilkan satu monumen yang unik dan berani.
Cabaran itu disahut George Washington Gale Ferris lalu melontarkan cadangannya untuk mereka bentuk sebuah roda gergasi yang dilengkapi dengan 36 buah gondola.
Pada mulanya, cadangannya ditolak atas faktor keselamatan kerana dikhuatiri tidak selamat sewaktu ia berputar. Namun, akhirnya selepas membuat rundingan dengan pelbagai pihak termasuk jurutera akhirnya projek itu diluluskan.
Projek yang mengambil kira-kira dua tahun dengan perbelanjaan AS$250,000 (RM759,875) itu kemudian dibuka kepada orang ramai dan mendapat sambutan ramai.
Sejak hari itu, kebanyakan jurutera di seluruh pelosok dunia telah mula mencipta roda gergasi dan pada kebiasaannya digunakan di pesta-pesta besar.
Seperti mana simbolik berputarnya ferris wheel, begitulah juga nasib dengan fun fair. Zulhelmy mengakui, fun fair dahulu dan kini sudah sedikit berbeza serta tidak sepopular dulu.
"Fun fair hari ini sememangnya telah melalui banyak transformasi misalnya kewujudan buaian dan beberapa jenis permainan baharu lain. Jumlah pengunjung ke fun fair juga tidaklah seramai dulu.
"Bayaran yang dikenakan juga agak mahal berbanding sedekad lalu. Jika dahulu RM1 kini sudah mencecah sehingga RM4 untuk satu-satu permainan," ujarnya sambil memberitahu sesekali akan tetap bersama isteri dan anak-anak ke fun fair.
Dilema pengusaha
Sementara itu, seorang pengusaha fun fair dari Ipoh yang hanya mahu dikenali sebagai Tee memberitahu, bayaran untuk satu-satu permainan terpaksa dinaikkan seiring dengan perkembangan ekonomi sekarang.
Tee menjelaskan, industri fun fair bakal pupus jika pengusaha-pengusaha berkenaan tidak mengambil langkah drastik seperti itu.

SEHINGGA hari ini fun fair masih mengekalkan rumah hantu atas permintaan pengunjung.


Berbicara lanjut mengenai industri hiburan itu, Tee yang sudah berkecimpung dalam bidang tersebut sejak 15 tahun lalu berkata, pengusaha fun fair tidaklah mengaut keuntungan yang besar seperti satu ketika dahulu.
Apatah lagi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hanya membenarkan pesta berkenaan beroperasi selama sebulan di satu-satu lokasi.
Dengan bayaran permit RM30 sehari serta tempoh operasi yang singkat sememangnya ia tidak memadai kerana orang ramai kini beralih kepada taman-taman tema lain yang lebih gah seperti di Genting Highlands, Sunway Lagoon dan I-City.
Begitupun, tuturnya, sewaktu fun fair diperkenalkan dahulu, memang kebanyakan rakyat Malaysia gemar mengunjungi fun fair kerana permainan yang menarik dan harganya yang murah.
"Jika dahulu, lebih 1,000 orang akan berkunjung ke fun fair dalam sehari, bahkan jumlahnya akan lebih meningkat jika ada konsert artis. Namun, kini tidak sampai 200 orang yang berminat datang ke sini," ujarnya.
Selain itu, bapa kepada dua orang anak tersebut mengakui, 10 tahun lalu dia mampu mengaut keuntungan lebih RM80,000 untuk sebulan operasi kerana permainan seperti ferris wheel, kereta langgar, roller coaster, cawan berpusing, kereta api kanak-kanak, kuda pusing dan rumah hantu sememangnya mendapat sambutan yang menggalakkan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kerja-kerja penyelenggaraan, Tee memberitahu, ia menelan belanja puluhan ribu ringgit kerana pihaknya tidak boleh berkompromi mengenai faktor keselamatan.
"Kerja-kerja penyelenggaraan akan dilakukan oleh jurutera yang khas menyelenggara peralatan itu kerana ia melibatkan keselamatan orang ramai. Selepas mendapat tapak untuk beroperasi, jurutera akan memastikan kesemua peralatan itu dipasang dengan baik kerana tidak mahu sebarang kemalangan berlaku," jelasnya.

PERMAINAN tembak peluru menuntut ketelitian tinggi walaupun ia nampak mudah.


Atas faktor kos yang tinggi itulah, ujar Tee kebanyakan pengusaha terpaksa berundur diri kerana tidak mampu menanggung belanja yang besar.
Di sebalik wajah lelaki yang sudah berusia itu, tampak jelas kebimbangannya terhadap masa depan industri fun fair di Malaysia. Apatah lagi, ia satu-satunya sumber rezeki Tee sejak sekian lama.
"Walaupun terpaksa mengeluarkan kos hampir puluhan ribu, saya cuma bimbang satu hari nanti fun fair tidak akan dijejak oleh generasi muda sekarang," ungkapnya.
Sementara itu, jurucakap Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berkata, penganjur perlu memohon lesen daripada PBT dan polis sebelum boleh memulakan operasi fun fair.
Ini kerana, jika ia mahu diadakan di kawasan perumahan, pihaknya akan memaklumkan kepada penduduk di sekitar kawasan pesta.
"Jika tiada halangan daripada mana-mana pihak, barulah kami akan meluluskan permohonan penganjur," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: