Sunday, January 13, 2013

Laut Sabah bertukar merah



DIKENALI sebagai Negeri Di Bawah Bayu disebabkan kedudukannya yang berada di luar zon ribut yang sering melanda utara perairannya, Sabah sememangnya sebuah negeri yang unik.
Ia terletak di utara kepulauan Borneo, iaitu pulau ketiga terbesar di dunia selain diliputi kawasan seluas 73,500 kilometer persegi.
Melihat aspek geografinya, Sabah memiliki pantai sepanjang 14,400 kilometer di samping keindahan lebih 40 buah pulau yang menghiasi sekelilingnya.
Dengan Laut China Selatan terletak di pantai barat, Laut Sulu di timur laut dan Laut Sulawesi di sebelah selatan, sewajarnya perairan Sabah dihuni pelbagai hidupan laut yang penuh misteri.
Dari aspek positif, kelebihan itu menjadikan Sabah sebuah destinasi pelancongan air yang wajib dikunjungi, ditambah dengan variasi makanan laut yang tiada batasan.

TOMPOKAN merah dikesan di perairan pantai barat Sabah sejak dua bulan lalu.


Beracun
Bagaimanapun, kehadiran sejenis mikroorganisma di perairan Sabah yang hidup bebas dan telah dikesan sejak tahun 1976 membawa kepada cerita yang menakutkan.
Dengan saiz 25 mikrometer dan hanya boleh dilihat menerusi mikroskop, hidupan ini, Pyrodinium bahamense var compressum mampu mencetuskan fenomena air merah sehingga dianggap sebagai pembunuh senyap kepada nyawa manusia.
Dalam fenomena terbaharu, dua kematian dilaporkan di Sepanggar, Sabah dipercayai akibat keracunan selepas memakan kerang yang dicemari toksik yang berpunca daripada fenomena air merah yang bermula dua bulan lalu.
WATER Sampler atau alat penyampelan air digunakan pegawai Jabatan Perikanan Sabah untuk mengukur kandungan sel beracun di perairan negeri itu.


Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Rayner Stuel Galid berkata, Pyrodinium bahamense var compressum merupakan plankton mikroskopik yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
Katanya, apabila spesies beracun itu telah mencapai satu jumlah yang besar, air laut akan membentuk tompok-tompok merah yang akhirnya dikenali sebagai fenomena air merah atau red tide.
"Mengikut rekod Jabatan Perikanan Sabah, plankton ini dikesan buat pertama kali pada tahun 1976 dengan 202 kes keracunan kerang paralitik dan telah mengakibatkan tujuh kematian.
"Mikroorganisma yang juga pengeluar racun atau toksik kumpulan keracunan kerang-kerangan paralitik ini menyerang hidupan laut terutamanya hidupan jenis kerang-kerangan selain ikan-ikan pelagik," katanya.
Antara kerang-kerangan yang disahkan beracun semasa fenomena ini ialah kerang, kupang, siput sudu, tiram, remis dan siput tarik.
Hakikatnya kata Rayner, kejadian air merah biasa berlaku di perairan pantai barat meliputi perairan Kudat di bahagian utara Sabah sehinggalah ke Labuan.

PENOLONG Pegawai Jabatan Perikanan Sabah, Calvin Moris menunjukkan kerang jenis beliung yang dicemari toksik.


Bermusim
Ia berlaku secara bermusim iaitu pada penghujung tahun dan awal tahun. Fenomena ini biasa terjadi selepas hujan lebat pada musim kemarau atau kesan daripada suhu rendah berpanjangan sepanjang musim hujan.
"Air laut akan kelihatan berwarna merah kecoklatan akibat ledakan pertumbuhan dinoflagellate bertoksik kerana pertambahan nutrien dalam air laut," ujar Rayner.
Justeru kata beliau, segala bentuk kerang-kerangan selain ikan pelagik seperti ikan tamban dan ikan basung adalah antara hidupan yang dicemari.
"Pada masa 30 minit pertama, mangsa yang memakan hidupan laut yang telah dicemari akan berasa kebas pada bibir, muka dan seterusnya bahagian leher.
"Mangsa juga akan berasa seperti dicucuk jarum di hujung jari tangan dan kaki, sakit kepala, pening, muntah dan cirit-birit," jelasnya.
Bagi kes yang teruk, ujar beliau, mangsa akan mengalami kelumpuhan otot, sukar bernafas dan rasa tercekik.
"Dalam kes yang sangat serius, kematian boleh berlaku dalam masa dua hingga 23 jam kerana sistem pernafasan menjadi lumpuh dan jantung tidak berfungsi," tambahnya.
Dalam pada itu, menjawab persoalan mengapa hanya sebilangan hidup laut yang menjadi toksin dalam fenomena air merah, beliau menjelaskan, ia berhubung kait dengan sistem pemakanan hidupan laut itu selain jenis ikan pemakan plankton.

SEL beracun yang dikenali sebagai Pyrodium Bahamense Var Compressum.


"Plankton yang toksin akan terkumpul dalam organ hidupan laut itu semasa proses penapisan makanan. Apabila hidupan laut itu dimakan pula oleh manusia, toksik itu berpindah masuk ke dalam tubuh manusia sekali gus memudaratkan kesihatan," jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Makmal Ride Tide, Jabatan Perikanan Sabah, Ainah Poyong menjelaskan, apabila analisis toksin dalam kerang-kerangan menunjukkan keputusan 400 unit Mouse (MU), maka satu pengumuman setempat akan dibuat melibatkan kawasan terbabit sahaja.

JIKA jari kaki berasa seperti dicucuk jarum selepas menikmati hidangan laut, anda mungkin telah terkena racun.


"400MU itu dianggap had terendah kepada tahap berbahaya untuk manusia. Namun, jika analisis toksin mendapati kandungan telah melebihi 400MU, maka satu pengumuman awam akan dilakukan," katanya.
Untuk rekod, katanya, analisis toksin ke atas beberapa contoh kerang-kerangan yang dibuat baru-baru ini menunjukkan peringkat setinggi 6,900MU di kawasan Putatan, 4,010MU (Papar) dan 3,300MU di Tuaran.
"Pihak kami menjalankan dua kaedah pemantauan untuk mengenal pasti kandungan toksin ini iaitu menerusi sampel kerang-kerangan dan ikan-ikan pelagik serta sampel air laut.
"Pemantauan akan dibuat sepanjang tahun iaitu sekali dalam tempoh dua minggu," ujar Ainah yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam mengendalikan kes air merah.
Tambahnya, isi kerang-kerangan dan sampel air yang diambil dari perairan laut akan dibawa ke makmal untuk diekstrak bagi menentukan kandungan toksin.
"Dari situ kita akan tahu kawasan mana yang mempunyai toksin yang tinggi sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak jabatan," ujarnya.
Beliau turut menjelaskan, sehingga kini belum ada bahan penawar yang khusus untuk rawatan keracunan akibat memakan kerang-kerangan.
"Langkah terbaik adalah mengelak daripada memakan semua kerang-kerangan serta ikan jenis pelagik," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: