Sunday, January 13, 2013

Fatimah si pereka endoi


IMA turut menyediakan hiasan tirai latar yang indah dengan perincian bungaan pelbagai warna mengikut tema pelanggan.


PERTEMUAN dengan Fatimah Ashaari, 36, diatur dalam masa yang sangat singkat. Sekadar berbual ringkas di telefon, wanita kelahiran Perak ini sudi meluangkan masa senggangnya untuk ditemu bual biarpun sedar jadual hariannya sangat padat, apatah lagi pada musim cuti sekolah dan hujung minggu.
Mesra dengan panggilan Ima, wajah manis ibu kepada sepasang cahaya mata ini tidak pernah lekang daripada senyuman sewaktu menyambut kunjungan kami di kediamannya di Ukay Perdana, Hulu Klang baru-baru ini.
Dengan ditemani suaminya, Shaharul Nizam Idrus, 40, perbualan kami pagi itu berjalan rancak.
Di sebalik kesederhanaan tutur bicaranya, pasangan ini sebenarnya cukup dikenali, tidak kira daripada kalangan orang kenamaan, hartawan, selebriti apatah lagi kumpulan marhaban sekitar Lembah Klang.
Menyediakan khidmat sewaan endoi lengkap dengan pakej tata rias dekorasi, Ima dan Shaharul cukup sinonim dengan majlis akikah dan cukur jambul.
Tampil dengan rekaan endoi moden yang dihiasi sentuhan gaya Inggeris, pelbagai variasi endoi milik pasangan ini sentiasa menjadi rebutan pelanggan.
"Kami memulakan khidmat pakej sewaan endoi dan dekorasi Inggeris sejak Oktober 2010.
"Pada mulanya kami tidak terfikir pun hendak adakan khidmat sebegini memandangkan saya dan suami masing-masing sibuk dengan kerja sendiri.
"Idea untuk memberikan khidmat sewaan endoi ini timbul selepas melihat kejayaan rakan kami yang tidak menang tangan memenuhi permintaan sewa endoi di Ipoh.
"Dia mencadangkan supaya kami mencuba konsep perniagaan yang sama di Kuala Lumpur.
"Dia percaya khidmat sewaan endoi ini berpotensi untuk dimajukan di sini.

PAKEJ sewaan endoi gaya Inggeris memberi suntikan segar pada majlis cukur jambul.


11 endoi
"Kami teragak-agak juga untuk mencuba, maklumlah tiada pengalaman dalam bidang ini.
"Selepas beberapa bulan mengkaji dan yakin untuk tampil dengan ilham sendiri, barulah kami berani mengiklankan perkhidmatan kami di laman web Mudah.com," cerita Ima panjang lebar.
Dengan bermodalkan hanya satu buaian lebih dua tahun lalu, kini Ima mempunyai lapan endoi eksklusif untuk disewakan kepada pelanggannya.
Pernah memiliki 11 endoi pada suatu masa dan perlu memenuhi tempahan hingga belasan majlis cukur jambul dalam seminggu, Ima dan Shaharul sedar, ketika itu mereka perlu mengurangkan kesibukan bagi meluangkan masa bersama anak-anak.
"Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan, mungkin kerana pada masa itu belum ramai yang tawarkan perkhidmatan sebegini.
"Pernah juga kami tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan terutamanya pada musim cuti sekolah.
"Malah, ada juga pelanggan yang terpaksa menunda majlis gara-gara mahukan endoi dengan rekaan pilihan mereka.
"Namun, apabila ada pelanggan yang hendak belajar memasang endoi dan menghias pelamin mini, saya jualkan tiga endoi kepada mereka," kata Ima.
Untuk menampilkan ciri eksklusif yang menjanjikan kelainan namun dalam masa yang sama masih mengekalkan gaya Inggeris yang diminatinya, Ima mereka sendiri kesemua endoinya.
"Di sebalik jenama Fatimah Shaari Creation, saya lebih selesa mereka sendiri buaian endoi.
"Kebanyakannya diilhamkan daripada cerita rakyat dari Barat selari dengan konsep Inggeris yang diterapkan.
"Apabila ada corak yang berkenan, saya akan lukis semula mengikut skala yang diperlukan sebelum menghantarnya ke tukang besi," katanya yang memberitahu harga sebuah endoi boleh mencecah hingga RM2,000.
IMA mereka sendiri kesemua endoinya untuk tampil lebih eksklusif.


Tema pelanggan
Antara rekaan endoi yang paling laris disewa ialah sleeping beauty, fairy tale, English garden dan vintage pram.
Menurut Ima, setiap endoi didatangkan dengan set bercukur, set merenjis dan pakej hiasan lengkap, mengikut warna tema pilihan pelanggan.
"Mungkin kerana itu, ramai yang tertarik dengan endoi yang kami sewakan.
"Selain endoi, tuan rumah juga tidak perlu pening kepala memikirkan tema dan gaya hiasan kerana kami menyediakan pakej lengkap dengan harga yang berpatutan.
"Sebagai ibu bapa, kami memahami kehendak pelanggan yang mahu mengabadikan majlis cukur jambul sebagai hari bersejarah untuk dikenang.
"Untuk itu, kami cuba sedaya upaya untuk tampil kreatif supaya pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan.
"Syukur, setakat ini, kami tidak pernah terima sebarang rungutan sebaliknya pelanggan pula membantu mempromosikan endoi kami kepada rakan-rakan dan saudara-mara mereka," kata Ima yang menyediakan perkhidmatan sewa endoi sekitar Lembah Klang dan beberapa kawasan di luar daerah mengikut permintaan dan kesesuaian masa mereka.
Pasangan ini juga tidak keberatan untuk menyewakan endoi dan ornamen dekorasi mereka kepada pelanggan yang ingin mengadakan majlis di luar daerah seperti di Kedah, Johor, pantai timur dan sebagainya.
Bahkan, untuk tujuan itu, Shaharul tidak lokek menunjuk ajar teknik pemasangan endoi bagi kemudahan pelanggannya.
Menawarkan pakej serendah RM300 hingga RM800, pakej yang disediakan berbeza-beza, bergantung kepada rekaan endoi.
"Kalau boleh, kami mahu beri peluang kepada semua ibu bapa meraikan majlis cukur jambul cahaya mata mereka dengan gaya eksklusif mengikut kemampuan mereka.
"Lega rasanya apabila pelanggan benar-benar puas hati kerana kami dapat memenuhi permintaan mereka.
"Seperti mereka, kami juga teruja apabila bergelar ibu dan ayah satu ketika dahulu," ujar Ima yang bertanggungjawab memberi sentuhan tata rias sementara Shaharul membantunya memasang endoi dan memastikan reka letak ornamen teratur dan kemas.
Bagi yang berminat, Ima boleh dihubungi di talian 019-340 4700 atau layari Facebook Tisya Little Cottage.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: