|
|
SUKAR untuk membayangkan jarak dan rintangan yang terpaksa diharungi seorang wartawan Amerika Syarikat, Paul Salopek yang sedang berjalan kaki dari Ethiopia di Afrika Utara hingga ke Chile di Amerika Selatan bagi projek Out of Eden.
Dia yang pernah memenangi Anugerah Pulitzer sebanyak dua kali pada tahun 1998 dan 2001 akan mewujudkan potret keluarga manusia dengan mendokumenkan perjalanan sejauh 34,000 kilometer (km) di lebih empat benua, dari Lembah Great Rift di Ethiopia hingga ke Amerika Selatan bagi mengikuti jejak manusia pada zaman awal yang meninggalkan Afrika kira-kira 70,000 tahun yang lalu.
Afrika merupakan penempatan asal manusia sebelum mereka tersebar ke serata benua seperti hari ini.
Titik mula perjalanan Paul ialah di Herto Bouri yang terletak di timur laut Ethiopia yang pernah dihuni oleh manusia Zaman Batu Pertengahan.
30 juta langkah
Perjalanan yang memerlukan kira-kira 30 juta langkah itu akan menyeberangi Laut Merah dan Asia Barat. Kemudian, Paul akan melalui China dan Siberia selain merentasi Selat Bering menuju ke Alaska.
Dia juga bakal berjalan di pantai barat Amerika Utara dan Amerika Selatan termasuk menempuh beberapa kawasan politik yang paling berbahaya di dunia iaitu Iran dan Amerika Tengah.
Setiap 160km, kisah pengembaraan itu akan disiarkan dalam laman web projek tersebut. Paul turut menulis untuk National Geographic bagi merakamkan persekitaran dan masyarakat berbeza yang ditemuinya.
Beliau yang juga berkarya untuk akhbar Chicago Tribune, membandingkan dirinya dengan penyair atau pemuzik yang menjadi tukang cerita pada zaman itu.
"Ia adalah cara lama untuk bercerita, sama seperti penyair yang mengembara. Saya tertanya-tanya bagaimana semua ini menjadi kenyataan. Ia juga ibarat cerita yang sering kita dapati dalam semua budaya, iaitu anda perlu pergi jauh dari tempat asal untuk mempelajari budaya orang lain.
"Saya percaya cabaran mental adalah lebih sukar berbanding halangan fizikal memandangkan tempoh untuk melengkapkan perjalanan ini begitu lama," ujarnya yang akan ditemani isterinya, seorang artis visual, Linda Lynch, di beberapa lokasi.
Walaupun pengembaraan itu dijangka mengambil masa selama tujuh tahun, Paul tidak berjalan setiap hari.
"Saya tidak berjalan setiap hari sebaliknya saya menetap di sesebuah lokasi selama beberapa minggu atau bulan. Saya juga diiringi oleh penterjemah semasa merentasi 36 buah negara.
"Bagi peralatan pula, saya hanya boleh membawa tidak lebih daripada 20kg beban. Pada awal perjalanan, seekor unta dibekalkan kepada saya untuk membawa barangan tersebut.
"Barangan yang dibawa adalah keperluan asas selain peralatan komunikasi supaya saya boleh menghantar cerita dan gambar kepada pengendali projek ini," jelasnya yang mengakui idea berjalan kaki jarak jauh itu menyeronokkan walaupun beliau terdedah kepada pencuri dan perompak.
Projek
"Saya amat berharap projek ini membolehkan saya menjalin hubungan dengan dunia menerusi liputan meluas yang diberikan.
"Perkara ini jarang dipaparkan dalam akhbar," ujar Paul.
Seorang pensyarah genetik di Universiti Cambridge, United Kingdom, Dr. Toomas Kivisild memberitahu, pada 45,000 tahun dahulu, manusia telah tiba di Eropah dengan berjalan kaki. Mereka juga pergi ke Australia dengan menaiki bot.
"Mereka mungkin meninggalkan Afrika beberapa kali berdasarkan bukti pada 60,000 tahun dahulu," tambahnya.
Projek Out of Eden yang mendapat sokongan Yayasan Knight, Yayasan Harvard Neiman untuk Kewartawanan dan Pusat Pulitzer untuk Laporan Krisis, adalah yang terbaharu dalam senarai laporan paling berani oleh Paul tetapi tidak dapat dicatatkan oleh Guinness World Records kerana kesukaran untuk mengukur jarak perjalanan manusia pada zaman sebelumnya.
Paul juga pernah meneroka Mexico sejauh 1,300 kilometer dengan menggunakan keldai dan berkayak melalui Republik Demokratik Congo serta ke Sudan, negara dia pernah ditangkap kerana didakwa menjadi perisik.
Selain Paul, Rory Stewart yang kini merupakan Ahli Parlimen Britain pernah berjalan kaki selama 21 bulan merentasi Iran, Pakistan, Nepal dan Afganistan pada tahun 2005. Kisah Rory kemudian dibukukan dalam The Places In Between.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: