![]() |
|
HUJAN kurang membuat persembahan pentas bermula sejak bulan Ramadan tahun lalu.
|
BAND Hujan yang dianggotai oleh Noh Salleh (vokalis), Mohammad Hezry atau AG (gitaris), Hang Dimas (keyboard) dan Azham Ahmad Ambobzeela atau Am (dram) telah melahirkan empat buah album studio iaitu Hujan, Mencari Konklusi, Lonely Soldier Boy dan Sang Enemy.
Itu produk Hujan sepanjang penglibatan mereka dalam industri muzik yang bermula sejak tahun 2006.
Di sebalik populariti lagu-lagu Hujan yang sering diputarkan di corong-corong radio, kelibat mereka di pentas persembahan pentas bagaimanapun semakin jarang dilihat.
Akui Noh, Hujan kurang membuat persembahan pentas sejak bulan Ramadan tahun lalu.
Adakah Hujan sudah tidak laris dalam kalangan penganjur konsert atau mereka meletakkan harga yang terlalu tinggi sehingga kurang mendapat tawaran persembahan pentas?
Noh yang ditemui pada acara Femes Baazar di Rasta, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini menjelaskan situasi yang sebenar.
Ikuti temu bual Kosmo! bersamanya.
Kosmo!: Kenapakah Hujan semakin menyepi sejak kebelakangan ini?
NOH: Sebenarnya saya pun tidak tahu kenapa. Sejujurnya kami telah kurang mengambil tawaran persembahan pentas sejak bulan Ramadan tahun lalu. Mungkin kami terlalu penat selepas menyertai program Versus yang berlangsung dari Mac sehingga Jun tahun lepas. Selepas Versus, kami masing-masing membawa haluan sendiri. Jadi, kami kurang membuat persembahan pentas atas pilihan kami sendiri, bukannya sebab letak harga tinggi.
Membawa haluan masing-masing? Adakah ini bermakna kalian sudah berpecah?
Menghilangkan diri seketika bukan bermakna Hujan sudah berpecah. Boleh dikatakan kami menghilang untuk melepaskan tekanan sebagai persediaan melangkah ke tahun 2013. Baru-baru ini, Hujan telah muncul membuat persembahan untuk Konsert Ambang Merdeka 2013 di Putrajaya. Itu merupakan penampilan pertama kami selepas berehat selama beberapa bulan.
Bagaimanakah pula dengan penerimaan peminat selepas Hujan berehat panjang?
Peminat kami yang digelar Rainger sangat memahami dan saya begitu bersyukur ada peminat seperti mereka yang dianggap seperti teman dan keluarga. Hujan dan peminat mempunyai hubungan yang sangat rapat, mereka juga banyak membantu dalam kelangsungan kerjaya Hujan. Tanpa mereka siapalah kami. Hilang seketika tidak membuatkan peminat Hujan lari kerana kami percayakan mereka.
Apakah resipi Hujan untuk kekal bertahan selama enam tahun sebagai sebuah band?
Sejak enam tahun band ini ditubuhkan, kami hanya mengamalkan konsep percaya satu sama lain. Jika ada seorang ahli menghilangkan diri buat seketika, itu bermakna dia mempunyai urusan penting yang harus dilaksanakan. Kami bertahan selagi kepercayaan itu ada pada diri masing-masing. Situasi sekarang tidak seperti sebelum ini ketika band Hujan mula-mula ditubuhkan yang mana semua perkara dilakukan secara bersama. Sekarang ini, masing-masing terikat dengan komitmen lain dan hanya bertemu apabila ada urusan seperti persembahan pentas dan rakaman album. Mahu tidak mahu, kami semua harus terima perubahan itu.
Adakah selepas ini Hujan akan kembali sibuk atau berehat panjang?
2013 merupakan tahun yang sangat sibuk untuk Hujan. Kami akan menyertai Festival Midem yang akan berlangsung di Cannes, Perancis pada 26 hingga 28 Januari ini. Selepas itu kami akan sibuk pula dengan konsert jelajah seluruh negara pada Februari depan. Jika tidak ada aral melintang, Hujan mungkin mengadakan konsert jelajah di Indonesia dan Filipina.
Bagaimanakah pula dengan penerimaan album terbaharu Hujan, Sang Enemy?
Alhamdulillah. Apa yang mengejutkan, album itu mencatat jualan yang agak tinggi. Walaupun album itu merupakan album ‘syok sendiri’ kerana saya banyak bereksperimen (ketawa) dan lebih keras muziknya berbanding album Hujan yang lain tetapi nampaknya ia diminati ramai. Selera orang lain sukar untuk diramal, tetapi ketika merakamkan album ini, tujuan saya hanya satu iaitu untuk memuaskan hati saya sendiri (ketawa).
Boleh ceritakan tentang kehidupan perkahwinan dengan Mizz Nina?
Apa yang boleh saya katakan, saya amat bersyukur memiliki isteri yang amat memahami kerjaya saya kerana dia juga berada dalam bidang yang sama. Walaupun kami sering tampil bersama pada acara-acara hiburan, namun hakikat sebenarnya, jadual harian kami sangat padat. Jika ada masa terluang, kami terus sahaja pergi bercuti tanpa berfikir
panjang.

Situasi sekarang tidak seperti sebelum ini ketika band Hujan mula-mula ditubuhkan yang mana semua perkara dilakukan secara bersama. Sekarang ini, masing-masing terikat dengan komitmen lain dan hanya bertemu apabila ada urusan seperti persembahan pentas dan rakaman album. Mahu tidak mahu, kami semua harus terima perubahan itu.
ReplyDeletesedihnya aku baca, -____-"
sedihnya aku baca, -__-