|
2012 bagi anak muda ini merupakan tahun bertuah. Ia tahun yang memberikan cabaran berganda. Ia juga tahun yang melakar sejarah pembabitan terbanyak naskhah lakonannya - sebuah filem, 15 telefilem dan empat buah drama.
Tidak cepat mendabik dada, tutur anak muda berusia 21 tahun itu, usaha kerasnya baru bermula selepas berdiam diri seketika memberi fokus terhadap pelajaran yang menjadi keutamaan ibu tersayang, Noorsiah Ahmad, 47.
Kata Mohd. Syafie Naswip atau mesra disapa Ayie, dia memilih haluan berbeza berbanding pelakon lain. Dia lebih selesa untuk tidak terlalu menonjol dan akur dirinya sebagai seorang 'pekerja seni'.
"Apabila usia pembabitan dalam industri lakonan bertambah, penonton akan menjangkakan pembaharuan daripada saya. Mereka pasti mahukan kelainan yang belum pernah saya tampilkan sebelum ini.
"Namun saya akui diri ini bukan seorang pelakon yang suka menonjol ke depan, saya rasa takut dan seperti terikat. Lebih baik saya bekerja dan meningkatkan produktiviti atau kualiti lakonan saya," hurainya mengenai prinsip kariernya memasuki fasa baharu tahun 2013.
Hujah yang dilemparkan dari bibir anak muda berjiwa besar itu menangkap deria dengar beberapa pelakon lain iaitu Idzham Ismail, Syazwan Zulkifli, Mohd. Khairul Kamal dan Megat Fazril Faiz.
Mereka yang turut membintangi filem Juvana bersama Ayie ketika itu sedang bersiap untuk turut serta dalam sesi fotografi bersama Kosmo! di Studio Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, minggu lalu.
Tambah Ayie, liku-liku yang dilalui sejak bergelar bintang kanak-kanak dari tahun 2007 mengajar dirinya untuk belajar menjadi selektif pada masa hadapan.
Melihat medan seni juga satu perjuangan mencari rezeki selain mempertaruhkan bakat yang ada.
"Tiada pilihan jika seseorang pelakon mendapat skrip atau jalan cerita yang lemah kerana di situ timbul keputusan berbelah bahagi, demi rezeki peluang yang datang harus disambar.
"Untuk memperoleh watak yang hebat sememangnya menuntut pengorbanan masa," getus bintang filem Mukhsin dan Talentime itu.
Mahu dewasa
![]() |
|
FIGURA yang pernah mencipta
nama dalam industri perfileman tempatan sejak zaman kanak-kanaknya lagi
ini mengakui dirinya cukup teruja kerana diberi peluang untuk turut
membintangi filem Juvana.
|
Ayie menyasarkan tahun ini untuk menyambung pelajaran dalam bidang yang diminatinya iaitu lakonan dan pengarahan.
"Saya mahu belajar dan berkembang. Buat masa sekarang masih belum difikirkan universiti yang menjadi pilihan, tetapi insya-Allah jika tiada halangan jurusan pengarahan dan lakonan saya pilih," ujarnya.
Membuka tahun 2013, aktor muda itu bakal tampil menerusi beberapa naskhah 'air mata' antaranya, drama enam episod arahan Keoi Amri berjudul 1 Bulan 3 Bintang dan sebuah telefilem bersama dramatis Wan Maimunah, Ku Sujud di Kakimu.
Bersyukur kerana tawaran yang datang kepadanya tidak putus-putus, ujar Ayie dia tidak merancang perjalanan seninya tahun ini. Langkahnya dibiarkan mengikut aliran natural dan meneroka pengalaman baharu.
"Selama ini saya belum pernah diberikan watak-watak pelik untuk naskhah sains fiksyen, teringin juga jika satu masa nanti membawakan watak seperti makhluk Gollum dalam siri filem Lords Of The Rings," ujarnya berseloroh.
Budak jahat
Filem Juvana yang diadaptasi daripada drama dengan judul yang sama, sudah pasti menjanjikan suatu naskhah lakonan yang hebat buat pemenang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 itu.
Biarpun bukan watak utama, kata Ayie, lakonannya dalam filem itu banyak mendapat tunjuk ajar daripada pengarah dan pelakon lain memandangkan dia tidak berkesempatan menonton drama bersiri itu sebelum ini.
"Saya hanya pelakon sampingan yang akan menjadi orang kanan Lan Todak (lakonan Sharnaaz Ahmad). Menariknya mengenai filem ini, saya tidak melalui proses latihan sebelum penggambaran walaupun skrip dapat awal.
"Namun saya berpegang pada prinsip, setiap orang berperanan memegang apa jua watak dan terpulang pada individu itu untuk mencorakkannya," katanya yang pernah membawakan watak jahat dalam filem Nur Kasih The Movie (2011).
Merupakan kesinambungan versi dramanya, kisah yang ditampilkan filem ini memaparkan tentang Botak, Apek, Ayam, Kicap, Panjang dan Daim setelah sekolah juvana yang dihuni mereka iaitu Sekolah Wira Bakti ditutup.
Daim yang telah dibebaskan cuba memulakan kehidupan baharu dan menyambung persekolahannya namun, sejarah hitam hidupnya tidak memberikan laluan mudah untuk membina hidup yang lebih bermakna.
Botak, Apek, Ayam, Kicap, Gaban dan Panjang telah dipindahkan ke sebuah sekolah juvana lain untuk meneruskan tempoh hukuman mereka. Di sekolah itu Botak mulai akrab dengan Apek dan yang lain namun mereka menjadi sasaran Lan Todak iaitu ketua samseng sekolah itu hingga mencabar semangat setia kawan antara mereka.
Turut membintangi filem itu, Zahiril Adzim, Johan Ariff, Syazwan Zulkifly, Sharnaaz Ahmad, Adlin Aman Ramli, Adam Shah, Idzham Ismail, Khairul Mohamed, Shera Aiyob, Megat Farzeril dan Sara Ali.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: