Penulis (duduk kiri) bersama-sama rakan di puncak Gunung Penanjakan.
Kami berkumpul di Terminal Penerbangan Tambang Murah ( LCCT) Kuala Lumpur pada 8 Oktober untuk penerbangan ke Surabaya pada pukul 6.45 pagi.
Kami sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya pukul 8.25 pagi waktu tempatan.
Kami disambut kenalan kami, Adi Sucaturman K, Pak Martono dan Threessna dengan satu bas mini dan jip kecil untuk pengangkutan selama empat hari.
Perjalanan dari lapangan terbang ke tempat penginapan, Catimor Homestay di Blawan, Sempol, Bondowoso memakan masa 10 jam sejauh 266 kilometer dari Surabaya.
Kami sempat melawat kawasan dilanda banjir lumpur panas pada 29 Mei 2006 di Porong, Selatan Kabupaten Sidoarjo, Jawa Timur. Dalam kejadian itu, kawasan seluas 1,200 hektar meliputi tiga kecamatan atau daerah dan 25 buah kilang ditenggelami lumpur panas setinggi 12 meter - menjadikannya padang jarak padang tekukur.
Bau lumpur bercampur sulfur pekat walaupun udara bertiup kencang, menyebabkan tekak tidak selesa.
Perjalanan dari Surabaya ke Kawah Ijen agak baik kecuali di Sukosari menuju Sempol dengan jalan berbatu kerikil dan berlubang lebih kurang 90 minit.
Kami tiba di Catimor Homestay pada pukul 9.30 malam dan dihidangkan makan malam yang ringkas tetapi menyelerakan.
Kami tidur untuk mendapat rehat cukup kerana perlu bangun awal untuk mendaki Kawah Ijen melihat fenomena blue fire.
Pukul 1.30 pagi, suhu mencecah 9 darjah Celsius, kami bertolak ke Pos Paltuding, tempat mula pendakian ke Kawah Ijen yang jaraknya 13 km dari tempat penginapan atau 15 hingga 20 minit perjalanan.
Ia terletak pada ketinggian 1,850 meter dari paras laut. Kami dibekalkan sarapan ringkas iaitu kopi, telur rebus dan sekeping roti.
Jarak dari Pos Paltuding ke Kawah Ijen adalah tiga km. Kami memulakan pendakian lebih kurang pukul 2.15 pagi. Pendakian bermula awal pagi untuk mengelakkan asap pekat belerang.
Menurut penduduk tempatan, trek pendakian ditutup pukul 2 petang atas faktor keselamatan.
Waktu petang, dikhuatiri angin lintang kuat mengandungi belerang boleh membahayakan pendaki. Kami dibekalkan dengan penutup hidung sepanjang pendakian ke Kawah Ijen.
Walaupun Pos Paltuding ke Kawah Ijen agak dekat, treknya mencabar.
Setelah dua km, kami tiba di Pondok Bunder, 2,214 m dari paras laut, tempat pelombong menimbang hasil sulfur.
Kami tiba di puncak Ijen pada ketinggian 2,386 m dari paras laut, pukul 4.15 pagi dan sayup kelihatan blue fire. Bukan mudah untuk melihat blue fire kerana ia akan hilang ditelan asap dan kabus sekitar 5 atau 6 pagi setelah matahari naik.
Kami bertembung dengan pekerja lombong yang membawa bongkah sulfur menggunakan kandar dengan satu bakul berisi belerang antara 85 hingga 120 kg!
Pekerja membawa hasil sulfur ke Pondok Bunder untuk ditimbang sebelum turun ke Pos Paltuding untuk dikumpulkan.
Setengah jam kemudian kami sampai di dasar Kawah Ijen. Sungguh menakjubkan!
Mengikut fakta, Ijen sebuah gunung berapi dengan kawah seluas 20 km persegi dan tasik sulfurik sedalam 600 kaki. Melihat tasik biru kehijauan sekeliling kawah, memang mengujakan!
Ketika menuruni trek, kami dinasihatkan pekerja lombong supaya tidak lama di Kawah Ijen atas faktor keselamatan.
Kami beruntung sebab dapat melihat bunga edelweis atau bunga abadi yang biasa tumbuh sekitar Ogos dan September.
Kami sampai di Pos Paltuding pukul 7.35 pagi dan berehat di warung dengan memesan kopi panas dan goreng pisang dengan cili. Unik tetapi sedap!
Sampai di tempat penginapan, kami berkemas ke destinasi seterusnya - Yoschi Guests House.
Perjalanan ke sana memakan masa empat hingga lima jam. Kami singgah di Pantai Pasir Putih di Pulau Situbondo, Jawa Timur di dalam daerah Bungatan, salah satu destinasi pelancongan pantai di Wilayah Jawa Timur. Topografinya yang melengkung menghadap laut menghasilkan panorama amat indah.
Kami singgah di pekan Probolinggo untuk membeli cenderahati.
Kami tiba di Ngadisari - bandar kecil menghala ke Gunung Bromo dan sampai di hotel pukul 9 malam. Landskap indah, cuaca sejuk di kaki gunung, 2,000 meter dari paras laut.
Kami merehatkan diri untuk persiapan bangun pukul 3.30 pagi dan mendaki Gunung Penanjakan dan Gunung Bromo.
Dua jip menanti di depan hotel untuk ke kaki Gunung Penanjakan. Perjalanan mengambil masa 15 hingga 20 minit. Puncak Gunung Penanjakan adalah tempat terbaik menikmati matahari terbit.
Pukul 4 pagi, kami memulakan pendakian. Terdapat orang tempatan kebanyakannya suku Tengger, menawarkan kuda untuk ditunggang ke tangga pendakian. Harga sekitar 50,000 Rupiah bergantung kepada tawar-menawar.
Setelah 30 minit mendaki, kami sampai di puncak Gunung Penanjakan setinggi 2,770m. Cuaca sejuk dan segar menanti matahari terbit pukul 5.15 pagi.
Terdapat kedai menyediakan minuman panas, unggun api dan sewa jaket untuk menghangatkan tubuh.
Langit cerah menjadikan matahari jelas kelihatan bermula sekecil kacang, membesar dan membentuk bulatan cahaya menerangi seluruh pergunungan Tengger di selatan.
Menakjubkan! Tidak hairan puncak Gunung Penanjakan diiktiraf sebagai salah satu tempat paling cantik melihat matahari terbit.
Pukul 7 pagi, kami menuruni trek untuk ke Gunung Bromo. Tiada pokok menghijau, hanya lautan padang pasir seluas 5,250 hektar. Cahaya matahari terik dengan debu dan pasir berterbangan, menyukarkan pendakian.
Mencabar! Lebih kurang 30 minit, kami sampai ke tangga menuju puncak dan mendaki 250 anak tangga untuk ke kawah Gunung Bromo. Sampai di puncak, kami melihat kawah masih mengeluarkan asap dan wap panas tanpa henti.
Terpegun memandang ke bawah, betapa luasnya lautan pasir dengan Kuil Pura Agung. Warga Hindu Tengger meraikan Perayaan Kasada yang diadakan pada awal Ogos setiap tahun.
Kami meninggalkan Gunung Bromo. Kepuasan tidak terkata dapat menawan tiga puncak dalam dua hari, Kawah Ijen, Gunung Penanjakan dan Gunung Bromo.
Kami balik ke hotel dan bersiap untuk aktiviti seterusnya - berkayak. Pukul 11.30 pagi, kami bertolak ke Sungai Pekalen di Perkampungan Ranu Gedang, daerah Tiris, Probolinggo, Jawa Timur.
Kami memilih Regulo Adventure sebagai pengendali. Kami dibahagikan kepada tiga kumpulan dan dilepaskan satu persatu.
Terdapat 50 jeram sepanjang laluan. Menyeronokkan! Kami diberikan sijil penyertaan dan bertolak balik pukul 7 malam.
Esoknya, pukul 5 pagi, kami bersiap mendaftar keluar.
Aktiviti terakhir mengunjungi Air Terjun Madakaripura dengan ketinggian 620 m dari aras laut, di Desa Sapih, daerah Lumbang menghala ke Kuala Lumpur, Probolinggo.
Kami singgah di Indogrosir Surabaya dan Pasar Turi untuk membeli-belah.
Kami sampai di lapangan terbang lebih kurang pukul 5 petang membawa bersama kenangan menawan tiga gunung dalam dua hari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: