
SONAKSHI menganggap Salman sebagai mentor lakonannya.
SUATU ketika dahulu, nama aktres Sonakshi Sinha begitu asing dalam kalangan penggemar Bollywood. Namun kini, situasi tersebut cukup berbeza.
Aktres itu kini berada dalam lingkungan antara penerima bayaran yang mahal untuk penampilannya dalam sesebuah produk.
Nilai Sonakshi mampu mencecah RM600,000 untuk sebuah filem dan melalui tiga buah filem lakonannya pada tahun ini iaitu Dabangg, Rowdy Rathore dan Son of Sardaar, dia memperoleh sebanyak RM1.8 juta.
Dia bagaimanapun tidak mahu gelap mata dengan apa yang diperoleh kini. Katanya: "Apabila saya ditawarkan untuk terbabit dalam sesebuah naskhah, saya tidak pernah terfikir tentang pulangan yang bakal saya terima. Saya hanya bersyukur kerana terlibat dalam sesebuah produksi yang dikelilingi oleh orang-orang hebat."
Sonakshi dikenali sebagai seorang pelakon yang bermula tanpa asas lakonan profesional. Dia belajar berlakon secara semula jadi dan banyak dibantu oleh orang sekeliling. Salah seorang individu yang menjadi tulang belakangnya ialah aktor Salman Khan.
Dia yang menjadi pelakon kesayangan Salman itu, juga memberitahu, hubungan baik antara dia dengan Salman tidak pernah disalahgunakan supaya dia pantas meraih populariti.
Menganggap Salman sebagai seorang mentornya, Sonakshi berkata, aktor tersebut telah banyak membantu dia untuk menjadi seorang pelakon yang baik.
"Salman merupakan pengkritik tegar saya, namun pada masa yang sama, dia mentor saya selama ini. Saya mempelajari banyak perkara yang positif dan menjadi lebih profesional sehingga ke tahap ini kerana dia," ujar Sonakshi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: