pembinaan perigi dilakukan dengan semangat gotong-royong sukarelawan dan penduduk kampung .
Ditubuhkan secara rasminya pada 3 Julai 2011 bersempena perasmian pelancaran program berkenaan oleh mantan pengarah IPG KDRI, Mohamad Ngah. Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Akademi Imam Syafie (AIS) Dana Kemboja, Mohd. Zamerey Abd. Razak.
Idea penubuhan unit sukarelawan ini adalah cetusan seorang pensyarah di Jabatan Kajian Sosial, Anisah Harun, sekali gus merangkap pensyarah penasihat dan penyelaras program yang bergandingan dengan bekas pensyarah di jabatan yang sama dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu, Nurhijrah Zakaria.
Sementara itu, ahli jawatankuasa kerja (AJK) program berkenaan terdiri daripada para guru pelatih iaitu pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dari unit Pengajian Sosial dan Pendidikan Seni Visual dan pelajar Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) dari unit Sejarah.
Matlamat utama program ini diperkenalkan bukan sekadar untuk membantu insan terpinggir di persada dunia dalam aspek ekonomi, sosial dan pendidikan malah bertujuan menyemai rasa kecintaan dan kecenderungan sifat belas ihsan sesama insan di kalangan guru-guru pelatih.
Harapannya semoga penglibatan mereka di peringkat antarabangsa sebegini akan membuka luas minda kesedaran mereka untuk bergerak dan menyumbang di peringkat global. Ia juga sekali gus memberi pengalaman berguna kepada para peserta untuk mengurus program dan aktiviti di peringkat antarabangsa.
Merealisasikan
Kemboja di pilih kerana kelompok masyarakat mereka yang telah lama ditindas oleh rejim Pol Pot diakui telah lama terpinggir dalam aspek pendidikan dan kehidupan. Apatah lagi umat Islam di sana bertebaran di beberapa wilayah yang begitu mundur ketika zaman penindasan. Malah sehingga kini, masih belum mendapat bantuan sepenuhnya daripada pemerintah sedia ada.
Kecenderungan anak-anak kecil dan remaja di sana untuk belajar itu ada, sayangnya tiada kemudahan dan kemampuan yang secukupnya daripada segi prasarana seperti asrama dan bilik darjah turut membantutkan usaha merealisasikan impian mereka itu.
Kekangan inilah yang telah mendorong AJK Program Kemanusiaan IPG KDRI memilih Kemboja sebagai lokasi tepat untuk menabur bakti. Ilmu dan kemahiran yang ada dalam bidang pendidikan akan diguna pakai dalam tempoh berterusan serta berkolaborasi dengan AIS.
Mereka ini bergerak secara sederap dan bersepadu sesuai dengan moto, Kemanusiaan Penyelamat Kesejahteraan Sejagat. Para sukarelawan ini melakukan jualan amal di dalam dan di luar kampus bagi mengumpul dana. Selain memperoleh menerusi sumbangan derma, zakat, pakaian, alat tulis dan bahan-bahan makanan.
Sementara itu, sebanyak RM 30,624.37 telah berjaya dikumpulkan dan ini tidak termasuk 60 naskhah al-Quran terjemahan bahasa Khmer sumbangan Yayasan Restu Malaysia. Manakala sumbangan berbentuk alat tulis, pakaian dan bahan makanan diterima adalah hasil sumbangan individu dan syarikat yang begitu bermurah hati. Kesemua sumbangan yang dikumpul ini diagihkan dengan teliti mengikut niat penyumbang.
Genap setahun lebih selepas pelancarannya, satu Ziarah Misi Kemanusiaan Dana Kemboja diadakan pada 19 hingga 23 November lalu bertujuan menyampaikan semua hasil jualan dan sumbangan yang dikumpul kepada pihak pengurusan AIS serta kumpulan sasaran iaitu pelajar miskin, anak yatim dan golongan penduduk Islam yang fakir.
Rombongan ziarah tersebut diketuai Ketua Jabatan Kajian Sosial, Mohamed Yusoff Mohamed, Anisah Harun selaku pengurus rombongan dan pensyarah penyelaras serta dibantu oleh Ahmad Noor Muhaimi Noor Ley sebagai pengarah program. Seramai 29 ahli rombongan telah melakukan ziarah ke Kemboja yang terdiri daripada 22 guru pelatih beserta empat pensyarah dan tiga pendidik yang turut mengikuti misi ziarah kemanusiaan julung kali itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: