
CHE HASNI (kiri) bersama penguat kuasa SPAD memeriksa barangan penumpang yang menaiki kereta sapu di LCCT kelmarin.
SEPANG - Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.Itu peribahasa sesuai menggambarkan nasib seorang pemandu syarikat swasta yang ditahan dalam operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang menjadi pemandu kereta sapu di Terminal Tambang Murah (LCCT) di sini malam kelmarin.
Selepas ditahan kira-kira pukul 10 malam itu, lelaki terbabit menyesal dan mengakui tindakan itu memakan diri.
"Saya harap pemandu kereta sapu yang lain tidak meneruskan perbuatan ini kerana hanya merugikan diri sendiri.
"Saya tahu tindakan ini menyalahi undang-undang dan menyesal kerana menjejaskan nama baik syarikat saya bekerja," katanya.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, lelaki tersebut salah seorang daripada tiga pemilik kenderaan persendirian dan seorang ulat teksi yang ditahan dalam operasi SPAD selama 10 jam bermula pukul 4 petang kelmarin.
"Lelaki terbabit berdepan dengan risiko dibuang kerja akibat tindakannya menggunakan kenderaan syarikat dan menawarkan perkhidmatan kereta sapu bagi mencari pendapatan sampingan," katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Menurut Che Hasni, mereka yang ditahan menggunakan kenderaan syarikat boleh didakwa di bawah Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang membawa hukuman denda RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Orang awam yang menggunakan kenderaan sendiri untuk tujuan yang sama pula boleh didakwa di bawah Seksyen 16 akta yang sama membawa kepada hukuman RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, menurutnya, kegiatan kereta sapu bukan sahaja menjejaskan imej negara malah membahayakan nyawa penumpang kerana tiada insurans perlindungan.
"Caj yang dikenakan pula sekali ganda lebih mahal berbanding perkhidmatan teksi menggunakan meter," katanya ketika ditemui kelmarin.
Menurutnya, ada kereta sapu yang mengenakan caj dari LCCT ke pusat bandar raya sebanyak RM200 sedangkan caj teksi meter hanya RM85 sahaja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: