|
JIKA dilihat secara rawak, kerjaya sebagai penghantar surat dan bungkusan yang biasa dipanggil despatch di negara ini dimonopoli kaum Adam. Fitrah tugas yang menuntut kepantasan, kecekapan dan ketelitian tindakan itu dirasakan sesuai untuk golongan lelaki.
Istilah Mat Despatch yang menjurus kepada pekerja lelaki juga seperti sudah sebati dalam kalangan pekerja di syarikat-syarikat yang menggunakan perkhidmatan tersebut.
Begitupun, ia bukan bermakna pintu kerjaya itu tertutup buat kaum Hawa. Bukan calang-calang wanita yang sanggup mengerah kudrat mereka bekerja sebagai despatch memandangkan mereka terpaksa bekerja di bawah panas matahari untuk menghantar surat dan bungkusan.
Namun demikian, lain pula bagi Norzalehawaty Kosni, 26, yang berani menyahut cabaran demi mencari rezeki sejak enam tahun yang lalu.
Tidak melihatnya sebagai cabaran yang sukar untuk dihadapi, Norzalehawaty yang lebih mesra dengan panggilan Uda nekad untuk menjadi lebih cekal dan tidak mengenal erti putus asa.
Menurutnya, tidak kira apa jenis pekerjaan ia perlu dilakukan dengan ikhlas dan jujur selain perlu ada minat dan kesungguhan.
Ketika diajak bersembang mengenai pembabitannya dalam pekerjaan itu, Uda tersenyum panjang dan tidak menyangka akan terjun dalam bidang itu memandangkan sebelum ini dia bekerja di kedai makan dan kilang.
Cerita anak jati Klang itu lagi, pada usia 12 tahun dia telah mula bekerja di sebuah kedai makan lantaran kehilangan peluang dan minat untuk meneruskan pelajaran.
Selepas hampir lima tahun bekerja sebagai pelayan di restoran sekitar Lembah Klang dan Shah Alam, akhirnya anak keempat daripada enam beradik itu membuat keputusan untuk bekerja di kilang bagi meningkatkan sumber pendapatannya.
Walau bagaimanapun, Uda hanya sempat bekerja selama setahun kerana terlibat dalam kemalangan motosikal. Sebaik sembuh, dia tidak pernah berhenti mencari pekerjaan.
Segala jawatan kosong yang disiarkan dalam surat khabar mahupun risalah, dia tidak pernah terlepas untuk memohon pekerjaan namun nasib tidak menyebelahinya.
Melihatkan tiada perkembangan dari mana-mana syarikat untuk mengambilnya bekerja, usaha Uda tidak terhenti setakat itu sahaja sehingga dia sanggup memohon pekerjaan sebagai despatch di TNT Express Worldwide di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.
Tidak sampai seminggu, Uda menerima panggilan telefon daripada syarikat TNT untuk menghadiri sesi temu duga.
“Bersyukur rezeki berpihak kepada saya kerana diterima bekerja. Secara jujur, saya begitu mengharapkan pekerjaan itu kerana enggan duduk di rumah tanpa melakukan sebarang pekerjaan selain dapat membantu ayah untuk menyara keluarga,” katanya sambil memberitahu dia ditawarkan gaji pokok sebanyak RM800.
Bermula dari bawah
Buat permulaan, Uda diberikan tugas di bahagian penghantaran yang dikenali sebagai Ground Service Ambassador (GSA).
Skop tugasnya merangkumi pengagihan surat dan bungkusan untuk dihantar kepada pelanggan.
Uda perlu memulakan kerja-kerja itu dari pukul 8 pagi hingga 7 malam. Namun, dalam tempoh masa itu terdapat dua syif tugas bagi pekerja despatch iaitu bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan sesi petang pula bermula pukul 2 petang hingga 7 malam.
Dalam pada itu, segala surat yang mahu dihantar perlu diselesaikan pada waktu-waktu itu sebelum pulang ke pejabat.
Sambung Uda, dia perlu memastikan kesemua barangan mahupun dokumen yang perlu dihantar kepada penerima sampai ke lokasi pada hari yang sama.
Dalam mengerjakan tugas hariannya, Uda mengakui tidak terlepas menjadi perhatian orang ramai.
Rata-rata pelanggan tidak percaya seorang wanita sanggup menjadi despatch kerana ia bukanlah kerja pilihan bagi kebanyakan wanita.
Sungguhpun begitu, dia tidak mengambil pusing dengan kata-kata itu dan semua itu sedikit pun tidak melenturkan semangat kentalnya.
Berbicara mengenai cabaran bekerja, siapa sangka di sebalik wajah ceria dan gembira, hakikatnya Uda mengharungi banyak cabaran.
Gadis yang tidak lekang dengan senyuman itu mengakui kerja tersebut bukan mudah kerana dia perlu menggunakan motosikal untuk menghantar dan mengambil surat hampir 20 hingga 40 tempat pada satu-satu masa.
Menurutnya, ia bukan satu tugas yang mudah kerana seseorang perlu mahir dengan selok-belok jalan raya. Ditanya sama ada dia pernah tersesat ketika bertugas, Uda mengakui perkara tersebut adalah lumrah.
Dalam kes-kes sedemikian, dia akan mendapatkan bantuan daripada rakan-rakan lain untuk memberi tunjuk arah.
Bagi mengatasi masalah itu dia terlebih dahulu akan mencari maklumat menerusi internet untuk ke sesebuah tempat bagi memudahkan perjalanan.
Cabaran kerja
Berbicara lanjut mengenai cabaran sepanjang berkhidmat di TNT, gadis itu memberitahu dia tidak terkecuali dimarahi pelanggan kerana lewat menghantar barangan. Bagaimanapun, masalah tersebut timbul bukan kerana pelanggan itu sendiri tetapi kerana mereka tidak membayar duti kastam.
“Kami tidak boleh menyerahkan barangan tersebut selagi mereka tidak berbuat demikian (bayar duti kastam). Namun, apa yang terjadi kami pula dimaki hamun,” ungkapnya sambil memberitahu kadangkala pelanggan tidak memahami tugas despatch.
Selain cabaran-cabaran itu, Uda juga berhadapan dengan masalah seperti ketiadaan lif di dalam bangunan.
“Bayangkan, saya terpaksa mengambil kotak-kotak yang berat untuk menghantar barangan dengan menaiki tangga. Ia bukan sahaja memenatkan malah menguji kesabaran,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya bagaimana dia boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang dimonopoli golongan lelaki, Uda berkata, pada mulanya agak sukar untuk dia berdepan dengan keadaan tersebut.
Namun demikian, dengan mempunyai kemahiran bergaul selain pandai membawa diri di tempat kerja, Uda hanya mengambil masa kira-kira dua minggu untuk menyesuaikan diri.
Berbekalkan berkat kesabaran dan kecekalan Uda selama ini akhirnya pada tahun lalu, dia tidak lagi menggunakan motosikal untuk melakukan tugas-tugasnya itu.
Kini, Uda membawa van untuk melakukan kerja-kerja penghantaran ke kawasan yang ditetapkan. Biarpun, tidak lagi perlu mencari tempat berteduh daripada hujan Uda mengakui tugasnya semakin mencabar.
“Jika dulu, saya boleh mencelah ketika kesesakan lalu lintas bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan namun kini tidak lagi.
“Malah, saya kini perlu membawa barangan besar dan mencari tempat meletak van untuk menghantar barangan tersebut,” katanya sambil tersenyum.
Walau apa jua cabaran dalam pekerjaan itu, Uda mengakui dia gembira dengan bidang tugasnya kerana tidak perlu ‘memerap’ diri dalam pejabat dan menghadap komputer sepanjang masa.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan akan datang, Uda tidak berhasrat untuk berhenti daripada pekerjaan itu kerana dia gemar bekerja di luar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: