Sunday, December 23, 2012

Lumpuh sementara


CAKERA yang tergelincir dari posisi asal bukan sahaja menyakitkan bahagian belakang hingga ke hujung kaki malah ia turut mengganggu penghantaran signal dari otak ke otot.


BERDEPAN dengan rasa sakit di belakang pinggang yang kemudiannya menurun ke punggung dan menjalar ke betis, hingga ke tumit bukan sahaja memberi rasa tidak selesa malah ia cukup menyeksakan.
Pergerakan yang dahulunya cergas bukan sahaja menjadi terbatas malah jika rasa sakit yang datang menyerang tidak ditangani dengan betul, ia akan memburukkan lagi keadaan pesakit.
Dikenali sebagai siatika, rasa sakit dari bahagian pinggang ke bawah ini biasanya disebabkan oleh himpitan tulang ke atas saraf siatik yang berpunca daripada gelinciran cakera.
“Cakera atau tulang rawan akan kemik sebelum tergelincir. Ketika tergelincir, ia akan menghasilkan bunyi seperti letupan sekali gus mendatangkan rasa sakit yang mencucuk-cucuk.
“Dalam keadaan serius, pesakit terpaksa merangkak untuk bergerak kerana tidak mampu menanggung kesakitan.
“Jika keadaannya separa serius, pesakit akan mengalami rasa nyeri, kejang, kebas atau rasa terbakar dari bahagian pinggang ke bawah yang datang sekali-sekala terutamanya apabila mereka duduk, batuk, bersin atau ketawa.
“Sebaliknya, aktiviti berjalan dan gerakan yang meregangkan tulang pinggul seperti mengangkat bahu mungkin mengurangkan rasa sakit,” jelas Pakar Bedah Ortopedik, Hospital Pusrawi, Dr. M. Ismail Maulut.
Menjelaskan punca yang boleh mencetuskan siatika, beliau memberitahu, rasa sakit tersebut disebabkan gelinciran cakera tulang belakang atau slip disc.
“Apabila cakera yang bertindak sebagai penyerap hentakan ini tergelincir daripada posisi asalnya, ia menyebabkan tulang menghimpit saraf tulang belakang yang juga dikenali sebagai saraf siatik.
“Saraf siatik ialah saraf terbesar dan terpanjang dalam tubuh manusia yang menjalar dari bawah punggung sebelum melalui belakang tulang pinggul dan bercabang hingga ke dua belah paha seterusnya bersambung dengan betis, tumit dan telapak kaki.
“Saraf ini berperanan mengirim isyarat dari otak ke otot dan menyampaikan maklumat dari kedua-dua kaki ke otak. Apabila terjadinya radang akibat gelinciran, fungsi ini akan terganggu.
“Akibatnya, tulang yang menekan saraf dan menghasilkan gejala radang, kebas atau kesakitan pada saraf akhirnya menjalar ke bahagian punggung, paha dan betis,” jelas M. Ismail.
Gejala
Menurutnya lagi, ramai dalam kalangan masyarakat menganggap gelinciran terjadi hanya disebabkan pesakit terjatuh atau punggung terhentak namun hakikatnya menggeliat sahaja sudah cukup untuk menyebabkan gelinciran cakera.
“Selain terjatuh, mengangkat barang dengan postur tubuh yang tidak betul turut menyumbang kepada gelinciran cakera. Walaupun barang itu ringan tetapi jika postur badan tidak betul, gelinciran mudah terjadi.
“Sesetengah pendapat juga mengaitkan gelinciran ini terjadi disebabkan ‘kekeringan minyak gris’ namun ia tidak benar sama sekali,” ujar M. Ismail sambil memberitahu, siatika sering menyerang pesakit yang masih produktif bekerja dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun.
Jelasnya, golongan obes, ibu mengandung di trimester terakhir, individu yang banyak menghabiskan masa dengan duduk dan kurang aktif turut mudah diserang siatika.
“Berbeza dengan pemain bola sepak, walaupun sering terjatuh ataupun mendapat kecederaan hamstring namun ia tiada kaitan dengan siatika kerana otot mereka kuat,” katanya.
Untuk merawat gejala kesakitan ini, ada beberapa kaedah rawatan yang boleh dijalankan antaranya fisioterapi, rawatan haba, urutan mahupun akupuntur.
“Tidak semua kes gelinciran cakera memerlukan rawatan pembedahan. Dengan senaman fisioterapi yang konsisten, sesetengah kes siatika dapat disembuhkan dalam masa hanya seminggu.
“Sebagai langkah pencegahan, pastikan anda menggunakan teknik mengangkat barang dengan betul iaitu tegakkan belakang anda dan bengkokkan lutut saja,” katanya yang memberitahu, penghidap siatika boleh merawat sendiri kesakitan masing-masing di rumah.
Antara saranannya lagi, tuam bahagian yang sakit dengan ais atau benda sejuk selama 15 minit. Jika kaedah ini tidak mendatangkan kesan, balut botol air panas dengan tuala dan tuamkan ke bahagian yang sakit.
“Namun, jangan menggunakan haba pada hari pertama anda terseliuh atau tegang otot.
“Pesakit juga boleh berehat di atas tilam yang diletak di atas lantai selama 24 jam.
“Baring secara terlentang dengan meletakkan batal di bawah pelipat kaki bagi meninggikan lutut.
“Apabila sudah mula berasa sakit, jangan mengangkat barang yang berat dan elakkan daripada duduk, membongkok dan memandu terlalu lama.
“Gunakan sokongan tulang belakang untuk menjaga postur tubuh pemakai dan dapatkan nasihat daripada mereka yang terlatih dalam bidang penjagaan belakang mengenai senaman yang sesuai untuk mengatasi masalah siatika.
“Jika dinasihatkan untuk menjalani latihan fisioterapi, jangan culas kerana panduan daripada jurupulih anggota dan ahli kiropraktor sangat membantu dalam mencegah kecederaan daripada berulang,” nasihatnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: