Sunday, December 9, 2012

Luahkan tekanan depan kamera

pix_middle
TAHUN lalu, dia pernah memberi persembahan hebat dalam lakonan, lantas melayakkan dirinya menerima trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2011 dan Aktres Harapan Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-24, kedua-duanya melalui filem Cun arahan Osman Ali.
Kini, Nadiya Nisaa kembali mencuri tumpuan dalam lakonan sebagai Ain Hawani dalam drama bersiri Adam dan Hawa berganding dengan Aaron Aziz.
Sejak drama 80 episod yang disiarkan di Astro Mustika HD 134 itu meletup, orang sekeliling lebih mengenalinya dengan panggilan Ain.

Ramai memuji lakonan berkesan Nadiya sehingga ada yang beranggapan dia mampu memegang trofi Pelakon Wanita Terbaik dalam acara anugerah lakonan tempatan bila-bila masa saja.

Namun Nadiya atau nama sebenar, Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin tidak cepat tenggelam dek pujian. Dia masih menjadi diri sendiri yang merendah diri dan peramah. Kelembutan dan wajah kenaifan membuatkan sesiapa saja rasa selesa berbual dan bekerja dengannya.

“Kesabaran banyak mengajar saya selama ini. Saya tidak mahu terlalu cepat dikenali dan mahu fokus mengutip pengalaman dalam bidang lakonan. Saya tak ada latar belakang dalam lakonan.

“Saya masih ingat, Ahmad Izham Omar pernah berkata, kenaifan itu adalah ‘advantage’ (kelebihan) untuk ‘explore’ (jelajah) banyak benda tanpa kita tahu apa yang kita akan belajar,” katanya memetik kata-kata Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima itu.

Kata Nadiya, daripada kenaifan itu, dia akan redah juga. Walaupun tidak tahu sama ada ia menjadi atau tidak, dia percaya seorang pengarah itu akan membawanya ke jalan benar. Yang penting, dengar arahan, jangan olok-olok dan buat sehabis baik.

Ditanya kesan tatkala terlalu naif dalam dunia hiburan yang mencabar, Nadiya akui dek tiada pengurus mahupun pembantu peribadi, ada pihak suka mengambil kesempatan.

Antaranya, bayaran tidak setimpal dengan apa dikerjakan, malah 1001 lagi dugaan pada awal kerjaya.

“Bila tahu saya budak baru, orang buat macam-macam, termasuk bab solekan acuh tak acuh dan pakaian yang kena urus sendiri, tapi itu hanya sebahagian daripada pengalaman yang perlu ditempuh sebagai artis.

“Sudah ini jalan yang saya pilih, saya kena terima. Biarpun orang layan kita macam budak-budak, saya tak ambil hati. Bagi saya, saya hanya perlu datang set dan tonjolkan apa yang saya boleh buat.

“Kita kena layan orang dengan baik, walaupun kita dilayan buruk, kita kena sabar. Sejak belajar di UiTM (Universiti Teknologi Mara) pun saya lalui semua kepahitan itu,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Penyiaran, UiTM Shah Alam ini akui dirinya pendiam dan tidak suka melenting. Malah, sampai sekarang, sikap itu terus sebati dalam dirinya.

Katanya, paling penting ketika berlakon ialah dia puaskan hati pengarah dan produser. Untuk melepaskan rasa tekanan, Nadiya menggunakan lakonan sebagai medium untuk mengekspresi diri.

“Saya bukan jenis yang akan serang orang. Berlakon sebenarnya cara untuk saya ekspreskan diri. Saya lepaskan tekanan diri melalui lakonan. Saya nak marah ke, nak jerit ke, nak menangis, nak ketawa, semuanya melalui watak yang dibawa.

“Bila saya ‘stress’, saya simpan saja. Lagipun, bila bercakap dengan keluarga mengenai benda negatif, mereka tak nak dengar.

Elok juga saya lepaskan tekanan itu melalui lakonan,” katanya optimis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: