Biasanya kawasan bandar dengan taraf kesihatan dan kebersihan yang tinggi, penyakit berkaitan dengan cacing amat rendah.
Pensyarah di Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr. Chua Kek Heng berkata, penyakit berkaitan cacing boleh dikatakan penyakit yang terabai tetapi penting.
Ini kerana penyakit berkenaan berupaya menyerang lebih kurang 600 juta manusia setahun di seluruh dunia dan menyebabkan kematian.
Malah jumlah kematian disebabkan cacing kerawit juga mencapai 135,000 kematian di seluruh dunia dalam masa setahun.
Di negara ini biasanya penyakit berkaitan cacing kerawit sering berlaku di kawasan luar bandar dan pinggir bandar yang miskin," katanya semasa ditemui di pejabatnya.
Cacing kerawit bukan sahaja menyerang kanak-kanak tetapi turut menyerang orang dewasa terutama dalam kalangan mereka yang tinggal di kawasan setinggan dan perkampungan Orang Asli yang mempunyai masalah pembentungan dan saliran serta air bersih.
Masalah cacing boleh menyebabkan anemia yang serius dan kegagalan jantung yang teruk jika tidak dirawat.
Bagaimanapun penyakit ini tiada simptom spesifik tetapi biasanya pesakit mengalami gatal seperti gigitan serangga dan luka-luka kecil pada tapak kaki.
Dr. Chua menambah, biasanya mereka yang berkaki ayam mudah dijangkiti akibat terpijak larva atau cacing kerawit yang berupaya menembusi tapak kaki manusia.
Cacing ini kemudian akan tinggal dalam usus manusia dan menyerap zat besi dan darah melalui dinding usus. Simptom berkenaan dinamakan ancylostomiasis. Selain itu kehilangan darah ke dalam najis yang sukar dikesan juga akan berlaku.
Bagi mengesan lima jenis cacing kerawit yang biasa menyerang manusia, kaedah manual digunakan dengan melihat melalui mikroskop bagi mengecam spesies cacing.
Kaedah ini biasanya kurang tepat kerana morfologi telur cacing kelihatan sama di bawah medan mikroskop," katanya.
Tambahan pula, biasanya sampel yang tidak mempunyai cacing dewasa perlu dikultur sehingga seminggu bagi mengenalpasti spesies dewasa.
Bagi memudahkan proses pengecaman spesies cacing kerawit, Dr. Chua dan kumpulan penyelidiknya telah menghasilkan kit yang boleh mengecam lima jenis spesies cacing yang menjangkiti manusia pada satu masa yang sama.
Kit yang mempunyai dua reagen ini telah digunakan bagi menguji 634 sampel di seluruh Malaysia," katanya.
Kit yang dihasilkan dapat mengecam lima spesies cacing kerawit iaitu Necator americanus, Ancylostoma duodenale, A. ceylanicum, A. caninum dan A. brazillense.
Dr. Chua berkata, sampel DNA cacing kerawit tadi akan dicampurkan dengan dua reagen dan diletakkan di dalam mesin bagi mengesan DNA cacing sebelum menghasilkan graf.
Graf yang telah dipastikan dengan corak dan warna tertentu bagi mewakili spesies cacing kerawit dengan tepat sementara ketinggian puncak pula mewakili bilangan cacing.
Lebih tinggi puncak lebih banyak cacing di dalam sampel berkenaan," katanya.
Apa yang lebih menarik berkenaan dengan kit ini adalah sampel yang didapati boleh terdiri daripada mana-mana peringkat kehidupan cacing sama ada telur, larva atau dewasa kerana sasaran kit hanya kepada DNA.
Biasanya pemberian ubatan bergantung kepada spesies cacing kerawit yang terdapat dalam badan pesakit. Ini akan memudahkan pemberian ubat yang spesifik bagi cacing kerawit tertentu.
Kit berkenaan menawarkan pendekatan diagnostik satu langkah, sensitif, spesifik dan kos rendah bagi pengesanan efektif bagi spesies cacing kerawit.
Ia boleh digunakan untuk penyelidikan, lebih-lebih lagi ia adalah amat penting untuk pengesan spesies cacing kerawit di sesuatu kawasan sebelum program pengurusan pemusnahan cacing kerawit tertentu boleh dijalankan dengan berkesan.
Kajian yang dijalankan bersama-sama dengan Prof Madya Dr. Yvonne Lim Ai Lian dan Romano Ngui mengambil masa 18 bulan.
Menurut Dr. Chua, kit berkenaan telah dipatenkan dan sedang dalam perbincangan untuk dikomersialkan.
Malah kit ini juga berjaya menawan hati juri bagi memenangi Pingat Emas dan Inovasi Paling Berpotensi semasa Pameran BioMalaysia 2012 baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: