PENGUNJUNG berpeluang menyaksikan bangunan-bangunan mini dalam binaan lego di Legoland Malaysia, Johor.
Sesuai dengan populariti sebagai pengangkutan darat paling klasik, perjalanan dari Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur ke Stesen JB Sentral, Johor amat membosankan pada mulanya.
Tetapi lama kelamaan keadaan itu berganti dengan perasaan teruja setelah melihat pemandangan yang terdapat di sepanjang perjalanan.
Sambil mata menikmati keindahan alam semula jadi, perjalanan yang dilalui kumpulan media anjuran majalah Santai yang bermula pada 28 hingga 30 November lalu terasa begitu singkat.
Perjalanan kami memakan masa selama hampir enam jam menempuh jarak sejauh 331 kilometer merentasi sempadan Negeri Sembilan dan Melaka.
Sampai sahaja di Stesen JB Sentral dan selepas menunaikan solat Subuh, kami pun dibawa ke tempat penginapan yang disediakan di Kolej 9 dan Kolej Tun Ghafar Baba yang terletak di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.
Selepas berehat, kami mengambil kesempatan mengunjungi Pusat Ekuin, Taman Herba, Taman Rusa, Tasik Menanti dan Hutan Rekreasi yang terdapat di dalam universiti tersebut.
Pasti ramai yang tidak tahu bahawa UTM kini menyediakan destinasi pelancongan berteraskan rekreasi dan intelektual.
Ini kerana hutan rekreasi UTM seluas 52.6 hektar itu terletak dalam kawasan hutan simpan yang kini dijadikan sebagai lokasi rekreasi dalam kampus yang biasanya digunakan bagi aktiviti kepimpinan, motivasi, ikhtiar hidup serta perkhemahan khususnya melibatkan aktiviti riadah bagi mengenal pelbagai spesies flora dan fauna yang terdapat di dalamnya.
Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan prasarana yang lengkap termasuk tapak perkhemahan, dewan seminar, surau, tandas, ruang memasak, calet dan lokasi penginapan di Scholars Inn yang dilengkapi internet jalur lebar.
Selepas penat beriadah di Hutan Rekreasi UTM, kami menikmati makan tengah hari di Mak Jah Cafe dan bertolak ke taman tema Legoland Malaysia yang terletak di Nusajaya, Johor.
Lokasi ini merupakan antara destinasi paling ramai dikunjungi kerana ia baru sahaja dibuka pada 15 September 2012 dengan lebih 40 permainan menjadi daya penarik utama.
Menariknya di lokasi ini, bermula dari kawasan pintu masuk utama hingga ke kedai menjual produk barangan permainan jenama Lego, pengunjung berpeluang melihat keunikan seni bina bersaiz mini.
Tepat pukul 7.30 malam, kami bertolak pula ke Johor Premium Outlets (JPO) yang terletak di Kulai.
Di sana, pengunjung berpeluang berjimat sehingga 25 hingga 65 peratus setiap hari ketika membeli-belah barangan berjenama antarabangsa seperti Armani Exchange, Coach, Gap Outlet, Nike, Levi's dan Polo Ralph Lauren.
Selepas itu, kami menikmati hidangan makanan laut yang terdapat di restoran berdekatan dan kemudian pulang ke penginapan untuk berehat.
Pagi keesokan harinya selepas daftar keluar dan sarapan, kami dibawa melawat Institut Pembangunan Bioproduk yang dahulunya dikenali sebagai Loji Pandu Kejuruteraan Kimia.
Di sana, kami diberikan pendedahan mengenai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan proses dan produk serta pengujian bio produk.
Selain itu, kami juga berpeluang melihat kaedah pemprosesan herba yang lengkap daripada peringkat pra proses hingga ke proses pengekstrakan dalam pembangunan lima herba terpilih iaitu Tongkat Ali, Misai Kucing, Kacip Fatimah, Hempedu Bumi dan Mas Cotek dengan menggunakan peralatan analisis yang efektif.
Pada pukul 12 tengah hari, kami dibawa ke Plaza Angsana, Johor Bahru bagi melihat produk usahawan Sarawak. Pada malam itu, kami berkunjung ke Street Food Festival 2012 yang diadakan di Taman Johor Jaya sebelum ke Stesen JB Sentral pada pukul 10 malam.
Peluang mengunjungi Johor dengan menaiki keretapi kali ini meninggalkan 1,001 kenangan yang pastinya lebih menyeronokkan daripada menaiki kereta ataupun kapal terbang kerana di samping mengembara, kami juga berpeluang menambah kenalan baru.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: