
BIARPUN menggunakan enjin empat silinder sebaris, model ini masih menawarkan hantaran kuasa berpatutan pada roda jentera.
KALAULAH ada anugerah jenama yang paling mampu bertahan, ia patut diberikan kepada Toyota. Justifikasi saya mudah. Toyota tetap boleh menjual kenderaan keluarannya dalam volum yang besar dan keyakinan pengguna terhadap produknya kekal kukuh, sedangkan ia berdepan dengan pelbagai cabaran getir.
Contoh paling klasik adalah penarikan semula kenderaannya di pasaran global kerana isu kualiti. Jumlahnya pula bukan sedikit, berjuta-juta unit. Itulah cabarannya apabila menjadi jenama yang pernah memegang status pengeluar kenderaan terbesar di dunia.
Magisnya, hangat isu penarikan itu tidak pernah pula kekal lama. Ia seperti hari ini sibuk semua medium media melaporkan produk Toyota tidak berkualiti, beberapa hari kemudian orang terus pergi ke bilik pameran Toyota dan membelinya.
Namanya yang gah membuatkan ada pihak berpendapat kereta keluaran Toyota sudah hilang jiwa. Produknya lebih berpaksikan kepada skala ekonomi, tanpa memikirkan sangat tentang aspek sentimental kenapa orang memilikinya. Pendek kata, asalkan kereta boleh jual, perkara lain sudah menjadi nombor dua atau tiga.
Situasi itu turut berlaku di Malaysia. Datanglah apa jua kereta dari negara lain dengan ciri-ciri hebat mana sekali pun, pemuja Toyota tetap setia dan ada.
Baru-baru ini saya memandu model yang menepati semua intipati yang diceritakan di atas. Camry, sedan segmen D itu masih menguasai pasaran walaupun mula rasa tergugat dengan kehadiran pesaing lebih mampu milik, cantik dan banyak ciri menarik seperti Kia Optima K5 dan Hyundai Sonata.
Dari segi luaran, Camry varian 2.0G itu nampak lebih bersegi dan maskulin berbanding model sebelumnya. Rekaan lampu hadapannya lebih nipis, bersama padanan butiran lampu LED pada bampar hadapan. Lampu belakang juga nampak kemas dan moden, sekali lagi bersama lampu LED.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Camry generasi terbaharu itu merupakan Camry yang paling sporty sejak ia diperkenalkan di pasaran tempatan pada tahun 1994.
Bagi ruang dalaman, Camry 2.0G tampil dengan kemasan berwarna hitam. Ini warna yang saya fikir lebih praktikal berbanding warna beige. Walaupun warna beige dikatakan boleh membuatkan ruang rasa luas, tetapi sifatnya yang mudah nampak kotor mungkin kurang sesuai untuk mereka yang mempunyai anak kecil.
Seperti biasa, rekaan papan pemuka dan konsol tengah Camry 2.0G adalah ringkas dan praktikal. Untuk menyerlahkan 'kemewahannya', kemasan kayu digunakan.
Sebagai mana yang diketahui, sedan itu masih mengguna pakai unit enjin empat silinder sebaris 16 injap DOHC dengan sistem Dual VVT-I yang sama seperti model sebelumnya.
Saya tidak ada isu dengan enjin yang agak berusia ini. Ia tetap berupaya memberikan kuasa sewajarnya tanpa membuatkan tubuh rasa seperti malas hendak bergerak. Lebih penting lagi, penggunaan bahan api juga memuaskan.
Orang lain guna trasmisi automatik enam atau tujuh kelajuan? Toyota tidak peduli. Camry ini dipasang dengan transmisi automatik empat kelajuan dengan Super ECT dan Sequential Shifter. Sebelum ada yang mahu ketawa sinis, saya perlu beritahu bahawa operasinya cukup lancar sehinggakan anda mungkin terlupa itu kotak gear empat kelajuan.
Camry menawarkan kualiti pemanduan yang senyap dan selesa. Ini bukan kereta untuk dipandu seperti hendak berlumba di litar. Karekter Camry lebih kepada pemanduan santai dan relaks. Barulah sesiapa juga boleh menikmati keselesaan yang ditawarkannya.
Memang betul, kalau anda rajin membaca artikel di laman web dan komen-komen di bawahnya, seolah-olah tidak ada orang pun suka Camry. Semua yang ada cuma kutukan.
Saya rasa, majoriti yang memberi komen itu terdiri daripada orang-orang muda. Sedangkan Camry menjadi pilihan orang lebih berusia. Lagi pun, golongan sebegitu yang ada duit, bukannya orang yang baru setahun dua bekerja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: