Tuesday, December 18, 2012

Juri AJL 27 dijamin telus


SEBANYAK 12 pencalonan lagu yang layak ke final AJL 27 akan diadili oleh 10 orang juri profesional. Setiap juri tidak mempunyai perkaitan dengan lagu-lagu yang dipertandingkan agar keputusan yang diperoleh kelak lebih telus.


ADAT bertanding, sebelum bermula pasti ada suara sumbang yang mempertikaikan banyak aspek dan kali ini giliran Anugerah Juara Lagu 27 (AJL 27) pula menjadi mangsa.
Selain pertikaian mengenai beberapa lagu yang dianggap kurang berkualiti terpilih untuk mara ke peringkat akhir pada awal tahun depan, percakaran mengenai pemilihan juri turut timbul.
Mengambil langkah drastik, kata Pengurus AJL 27, Muhamad Sufian Che Isa, pihaknya sudah mengenal pasti 10 orang juri profesional untuk mengadili pertandingan pada tahun ini.
Tambahnya, selain bilangan juri yang telah dikurangkan daripada 15 orang menjadi 10 orang, pihaknya turut mempertimbangkan latar belakang juri-juri yang bakal terbabit.
"Juri-juri tersebut terdiri daripada komposer, penulis lirik, penyanyi dan individu yang terlibat dalam bidang muzik dari Malaysia, Indonesia dan Singapura. Kami cuba menilai dan memilih juri yang ada kredibiliti tinggi supaya tidak akan ada pertikaian selepas ini," katanya yang ditemui ketika sidang akhbar AJL 27 di Hotel Empire Subang, Selangor baru-baru ini.
Ujarnya, 10 orang juri yang masih dalam peringkat perbincangan itu tiada kena mengena dengan mana-mana lagu yang bertanding tahun ini secara langsung atau tidak. Juri juga terdiri daripada kombinasi orang lama dan baharu.
Kredibiliti lagu
Wujud juga perbalahan mengenai kualiti lagu-lagu yang dipertandingkan pada tahun ini. Selain terdapat beberapa lagu berbahasa slanga (bahasa pasar), timbul juga persoalan mengenai konsep populariti lagu dan penyanyi.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, pemilihan lagu untuk bertanding pada AJL 27 bukan saja lagu yang memberi impak kepada pendengar tapi menepati kriteria lagu berkualiti.
"Populariti sesebuah lagu adalah satu bonus dan kebanyakan lagu yang bertanding pada tahun ini sudah diterima ramai.
"Setiap lagu ada kekuatan dan ia adalah kombinasi kualiti dan populariti. Sesebuah lagu akan dipanggil lagu apabila ia berjaya menggerakkan sesuatu generasi," jelasnya.
Pilihan penonton
Sementara itu, AJL 27 turut mengetengahkan konsep undian melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada penonton untuk kategori Persembahan Terbaik. Keputusan kategori itu terletak pada undian seratus peratus.
Langkah itu dirasakan sesuai untuk mendekatkan penonton untuk memberikan pandangan masing-masing malah, kata Izham penonton juga perlu diberikan peluang untuk bersuara.
Dalam pada itu, AJL 27 membawakan elemen Ekspresi Seni sebagai konsep dan tema persembahan tahun ini.
AJL 27 masih mengekalkan Faizal Ismail dan Cheryl Samad sebagai hos manakala, acara Purple Carpet pula akan menampilkan gandingan Miera Liyana, Sazzy Falak dan Kamal Adli sebagai pengacara.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan 12 buah lagu yang berentap dalam AJL 27 pada 6 Januari 2013, dibawakan secara langsung dari Stadium Putra Bukit Jalil bermula pukul 9 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: