Sunday, December 16, 2012

Hiasan dalaman sang jejaka


SUSUN atur perabot bersaiz sederhana dan gantungan pemandangan kota London membuatkan ruang makan ini nampak kemas.


RINGKAS dan kemas. Hanya itu yang mampu diungkapkan sebaik sahaja daun pintu apartmen ini dikuak oleh pemiliknya, Syamil Zayid, 28, ketika menyambut kedatangan kru Jurnal baru-baru ini.
Dari luar pintu utama, gambaran awal perwatakan pegawai teknologi maklumat itu sudah dapat ditelah.
Hampir setiap inci ruang terjaga kebersihannya sehingga tidak kelihatan walaupun secalit habuk.
“Kesemua dekorasi serta kerja pembersihan saya lakukan sendiri.
“Apabila balik kerja dalam keadaan letih, saya sukakan ketenangan. Jadi sebab itu saya akan pastikan tempat tinggal saya kemas dan sentiasa tersusun,” katanya.
Klasik
Apabila kaki melangkah masuk, pandangan mata bertumpu pada perabot yang memenuhi ruang tamu si bujang. Hampir kesemua perabot itu berwarna pastel dan kayu.

STATUS lelaki bujang bukan alasan untuk pemilik membiarkan dapurnya kosong.


“Saya sukakan warna pastel dan kayu sebab ia mampu membangkitkan ketenangan dalam diri.
“Kediaman jenis apartmen tidaklah sebesar mana, oleh itu apabila saya menggunakan warna seperti ini, secara tidak langsung ia membantu memberi ilusi ruang kediaman yang lebih luas,” tambahnya.
Bijak menggabungkan warna serta pemilihan perabot, Syamil menerapkan rona panas seperti merah dan jingga bagi hamparan permaidani untuk menaikkan lagi seri di ruang tamu.
Umpama pemandangan di hotel, kombinasi warna pastel serta jambangan bunga di dalam balang kaca yang ringkas menampakkan lagi nilai eksklusif kediaman ini. Gabungan moden klasik jelas terserlah di rumah Syamil.
Selain itu, gantungan gambar pemandangan klasik di dinding yang sebahagiannya merupakan koleksi peninggalan arwah bapanya pantas mengimbau kenangan silam.
Walaupun tidak gemar kepada perhiasan sarat, Syamil mengolah beberapa aksesori di rumahnya dengan menempatkan cenderamata yang dibelinya sewaktu bekerja di luar daerah di dalam sebuah almari kaca.
Bukan senang bagi sang jejaka untuk mengumpul wang demi menghias kediaman. Apatah lagi kebiasaannya kerja menghias diserahkan kepada si gadis.

WARNA kayu di sudut kecil ruang tamu yang diserikan dengan sejambak bunga di dalam balang kaca memberi ketenangan kepada penghuni.


Kumpul wang
Lebih-lebih lagi aspek hiasan dalaman memerlukan minat dan kebolehan tersendiri. Jika tidak, perhiasan tersebut akan kelihatan serba-serbi tidak kena.
Menurut Syamil, dia mengambil masa selama hampir tiga tahun untuk menyediakan kesemua kelengkapan yang ada di rumahnya kini.
Walaupun tempoh itu agak lama, ia berbaloi dengan apa yang dimilikinya sekarang.
“Saya tidaklah terlalu cerewet dalam memilih perabot tetapi saya seorang yang teliti. Saya lebih sukakan kualiti daripada kuantiti barangan,” ujarnya.
Kebanyakan barangan yang memenuhi ruang rumahnya datang dari kedai seperti Carvenzi, Ikea dan Lorenzo.
“Saya tidak rujuk kepada mana-mana sumber untuk menghias rumah. Apa yang saya pentingkan ialah keselesaan.
“Saya balik rumah pun hendak berehat, jadi kalau perhiasan itu berlebihan dan terlalu sarat, susah juga hendak tenangkan fikiran,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: