Thursday, December 20, 2012

Dewi teruskan legasi KLangit

pix_middle
CERITA ini sudah lama, mungkin juga sudah basi atau tidak lagi relevan. Pendek kata ia tidak perlu diungkit lagi. Namun, adilkah mereka dihukum tanpa diberi peluang mempertahankan diri atau menjelaskan status persembahan mereka yang dikatakan ke ‘laut’ sewaktu beraksi di pentas Anugerah Industri Muzik Ke-19 (AIM19) tidak lama dulu.
Terpalit secebis rasa kesal, namun Muhamad Nor Hadre Ayub (Ary) sebagai vokalis, Mohd Haris Muhamad (Haris) sebagai gitaris dan Mohd Izwan (E-One) optimis menganggap pembabitan dalam persembahan AIM19 tempoh hari satu pengalaman bermakna dan berguna buat mereka.
   
  • Foto
  • Foto
“Tiada siapa yang mahu membuat persembahan yang buruk. Ia membabitkan soal kredibiliti dan kepercayaan umum tambahan pula acara itu ditonton ramai.

“Sebagai orang baru yang diberi peluang beraksi menerusi acara berprestij itu, tentunya kami menjangkakan persembahan terbaik dan mahu meninggalkan impak yang besar kepada penonton, bagaimanapun ia bertukar sebaliknya. Mungkin bukan rezeki kami.

“Apapun persembahan itu masih meninggalkan impak yang besar apabila orang tetap memperkatakan mengenai persembahan kami meskipun komentarnya terarah sudut negatif. Buruk atau baik persembahan kami, kritikan ikhlas yang diberikan peminat juga masyarakat umum kami terima dengan hati yang terbuka. Biar ada kepedihannya namun kami realistik.

“Kami tidak mengharapkan selalu dipuji kerana pujian itu boleh buat manusia lupa diri. Yang mengata, mengkritik dan menegur, kami rasa golongan ini lebih ikhlas. Apapun, saya ingin menjelaskan sebenarnya saya tidak berapa sihat malam itu kerana demam, selsema dan sakit tekak.

“Tetapi disebabkan kerja, mahu tidak mahu terpaksalah teruskan juga. Tapi biasalah orang tidak mahu tahu apa masalah kita kerana mereka sering jangkakan yang sempurna. Pokoknya kami hadapi dugaan ini dengan senyuman,” kata Ary.

Tiga sahabat itu mengunjungi Balai Berita pada Isnin lalu, untuk mempromosikan album pertama berjudul Dewi yang mula berada di pasaran November 2012.

Merencanakan majlis pelancaran album berkenaan pada 14 Januari 2013 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, Dewi memuatkan enam lagu, kesemuanya hasil ciptaan Panji Sakti termasuk sebuah lagu hasil nukilan KLangit sendiri berjudul Dewi.

Selepas Sesal Mendua, Dia Lydia, kini KLangit dalam rangka promosi single ketiga mereka Dewi yang semakin mendapat sambutan di pihak radio.

Ditubuhkan pada 2008, Sesal Mendua yang mulanya disangka lagu dari negara seberang ternyata memberi impak yang cukup besar terhadap karier nyanyian KLangit.

“Terbaru kami mendapati lagu Sesal Mendua ditonton lebih 3 juta penonton di YouTube, di mana jumlah itu tidak pernah kami jangkakan langsung memandangkan dulu untuk memperoleh 300 penonton pun susah.

“Lebih membanggakan, Sesal Mendua pernah muncul juara carta di hampir semua stesen radio tempatan. Termasuk jumlah muat turun lagu itu mencapai hampir 150,000 unit seawal putarannya.

“Kami harapkan maklum balas yang sama untuk lagu Dia Lydia dan semestinya, Dewi. Dewi ini sangat istimewa kerana ia adalah lagu ciptaan kami sendiri. Dewi adalah hasil karya yang kami simpan sejak lapan tahun lalu. Ia menceritakan, lelaki yang berlaku curang terhadap kekasihnya Dewi,” kata E-One.

Melanjutkan perbualan, KLangit mengakui meskipun meminati muzik rock, mereka sebenarnya mamat jiwang dan sukakan karya-karya rock kapak.

Mengerti bahawa cinta bagaikan nutrisi dalam kehidupan manusia, album Dewi mengangkat ‘cinta’ yang bahagia, cinta yang dikhianati dan cinta yang kecundang sebagai bahan penceritaan menerusi album perdana mereka yang diterbitkan oleh Sony Music Malaysia.

Saat Cinta pula satu-satunya lagu duet yang terdapat di dalam album ini.
KLangit memilih Zizi kerana vokal Zizi amat sesuai untuk lagu ini. Saat Cinta menceritakan kepada semua betapa indahnya saat ketika bercinta.

“Saat Cinta mengisahkan percintaan antara lelaki dan wanita mampu memberi apa saja dan kita harus hadapi saja semua dugaan. Kami memilih Zizi kerana ‘tone’ suaranya yang unik dan dia menghayati lagu ini dengan baik sekali,” katanya.

Manakala, Honey Hani sebuah lagi lagu untuk wanita, yang sesuai didengarkan kepada lelaki-lelaki di luar sana yang ingin cepat bernikah sekiranya sudah ketemu yang sesuai untuk dijadikan calon isteri.

Sementara itu, Ratu Bohong dicipta ketika mendengar luahan isi hati rakannya yang sering dibohongi oleh kekasih hatinya. Malah KLangit sendiri menganggap lagu ini sesuai untuk para peminat remaja mereka kerana liriknya yang bersahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: