Pertama, ketika anda sedang enak menjamu selera di kedai, warung mahupun restoran, tiba-tiba datang individu meminta sedekah menghampiri meja makan anda.
Bukan berseorangan, dia ditemani seorang lagi teman yang memimpin tangannya untuk menunjuk kedudukan dan arah jalan. Sambil berkata ‘cik, derma cik’ tangannya turut menggenggam bungkusan kecil tisu.
Kedua, lelaki atau wanita seusia ibu bapa kita itu seorang yang cacat penglihatan sebab itu dia dipimpin. Selain mereka, situasi yang sering dilihat juga ramai kanak-kanak atau remaja meminta di sedekah di tepi jalan, stesen minyak dan pelbagai lokasi lain.
Apa perasaan anda? Sedih, kasihan atau malu?
Jujurnya, ramai antara kita yang memang berhati mulia kerana mudah membantu, bersedekah dan menderma. Tidak kiralah berapa jumlahnya dan dalam bentuk apa sumbangan itu, sekurang-kurangnya kita berbuat sesuatu dengan tujuan menolong orang kurang berkemampuan.
Namun, tiba-tiba satu persoalan muncul di kepala, adakah anda tidak takut ditipu? Jawapan yang ringkas, tetapi mendalam maknanya serta-merta menitip di bibir, ‘niat kita murni, jika mereka mahu menipu itu terpulang, ia urusan dia dan Tuhan’.
Sikap suka menderma juga sering dilihat apabila tiba Ramadan. Ramai orang persendirian mahupun organisasi korporat berlumba-lumba menghulurkan bantuan kepada rumah kebajikan, anak yatim, golongan fakir miskin serta ibu tunggal.
Adakah apabila muncul bulan puasa baru anda mahu menderma? Kenapa tidak melakukannya pada setiap hari ataupun setiap bulan?
Alasan yang selalu diberi, sekiranya kita menderma pada bulan penuh berkat itu, pahala yang dikutip berkali ganda jumlahnya. Namun, jika kita menderma pada bulan selain Ramadan, adakah pahala semakin berkurangan? Tepuk dada, fikir dan tanyalah diri sendiri.
Tidak terhenti pada Ramadan saja kerana apabila musim perayaan utama lain seperti sambutan Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Natal, senario yang sama turut berlaku.
Ini kerana, setiap orang tanpa mengira bangsa mahupun agama dididik untuk bersikap pemurah dan saling memberi sejak kecil lagi oleh ibu bapa.
Berbicara mengenai perihal ini, terdapat pelbagai cara boleh menderma contohnya menerusi sumbangan wang tunai, pakaian terpakai, barangan keperluan asas seperti makanan serta pendidikan.
Bukan bertujuan mahu menunjuk-nunjuk atau riak, kenyataan, pandangan dan pengalaman yang dinyatakan dua individu berikut sekadar mahu berkongsi rasa, memberi kesedaran serta mendidik sesama kita.
Suri rumah, Fazlinna Abd Hazis, 30, berkata, dia terbiasa dengan tabiat menderma sejak kecil kerana bapanya sering mengingatkan dan mengajar mereka lima beradik mengenai kepentingan beramal dengan melakukan amal jariah.
Tidak memilih siapa individu yang mahu dibantu, asalkan nampak tabung atau orang susah di jalanan meminta bantuan, sedikit sumbangan pasti dihulurkan.
Selain itu, Fazlinna juga kerap menderma kepada rumah kebajikan, anak yatim dan seumpamanya. Malah, sumbangan itu bukan datangnya daripada wang tunai semata-mata, dia turut mengumpul barangan terpakai, buku, kitab, telekung dan alat tulis untuk diberikan kepada golongan kurang bernasib baik.
“Melalui didikan ayah, saya selalu beringat mengenai kesusahan orang lain yang tidak senasib dengan kita. Mereka ditakdirkan dengan jalan sebegitu, justeru saya berfikir apa salahnya kita yang lebih berkemampuan membantu mereka.
“Selain melakukan kebaikan, semoga pemberian tidak seberapa itu dapat meringankan beban mereka terutama golongan tua dan orang kelainan upaya.
“Apa yang pasti, saya tak boleh tengok orang susah, lepas itu mulalah hati ini sayu dan kasihan, sebab itulah saya hulurkan sumbangan yang termampu.
“Saya juga aktif mengikuti beberapa aktiviti atau kempen yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan kebajikan dan pengalaman yang diperoleh cukup memberi pengajaran serta keinsafan kepada diri saya,” katanya yang mula serius dengan aktiviti sedemikian sejak 10 tahun lalu.
Padanya, melihat kekurangan insan lain mengajarnya bersyukur dengan kurniaan Tuhan terhadap diri dan keluarganya. Selain itu, sebagai umat Islam, ilmu agama yang dipelajari mengenai hal ini turut memberikannya kesedaran serta berfikiran positif.
Sementara itu, pengasas program Teach For The Needs (TFTN), Zul Fikri Zamir Mohamad Munir berkata, program berkenaan berasaskan komuniti dalam talian menerusi laman sosial facebook.
Sukarelawan yang terdiri daripada guru muda dan bidang profesion lain yang prihatin terhadap nasib anak-anak daripada golongan fakir miskin serta anak yatim adalah individu yang membantu mereka.
Menariknya, mereka membantu golongan ini melalui cara pendidikan yang mana kelas tuisyen secara percuma akan dijalankan dengan berkunjung sendiri ke rumah kebajikan berkenaan.
“Idea TFTN ini tercetus apabila saya dan rakan (guru seramai lima orang) sepakat mengadakan kelas tuisyen percuma selepas waktu sekolah untuk murid di kelas corot, anak orang miskin dan yatim.
“Jika ditanya mengapa pendidikan yang kami pilih sebagai salah satu cara menghulurkan derma, contoh ini mungkin boleh dijadikan panduan. Sekiranya dilihat di rumah anak-anak yatim, bekalan makanan dan pakaian selalunya berlebihan kerana sumbangan awam.
“TFTN menyediakan landasan kepada sukarelawan untuk terbabit dan mengajar anak-anak ini pada hujung minggu dengan tempoh minimum program selama setahun.
“Ini memberi peluang kepada anak-anak berkenaan mendapat perhatian, kasih sayang dan tunjuk ajar terutama daripada bidang akademik dalam jangka masa lebih panjang dan bukan bersifat sekali saja,” jelasnya yang turut dibantu empat tulang belakang utama TFTN lain iaitu Asmidar Alias, Anas Alam Faizli, Norziati Rosman dan Shafizan Johari.
Tidak hanya dijalankan di sekitar Semenanjung Malaysia, programnya ini turut mendapat perhatian daripada guru di Sabah dan Sarawak. Sehingga Oktober 2012, TFTN mempunyai 19 duta (guru berdaftar seluruh Malaysia termasuk enam di Sabah dan Sarawak).
Program pengembangan membabitkan sukarelawan bukan guru turut diadakan dan antara projek yang dilakukan ialah projek Dahikmah di Gopeng, Perak; Baitul Husna, Kuantan, Pahang; dan terbaru projek Khairiah di Klang, Selangor dengan jumlah anak-anak yang mendapat manfaat daripada program ini sekitar 230 orang di seluruh Malaysia.
Projek ini bebas dilaksanakan di kawasan masing-masing manakala TFTN bertanggungjawab menyediakan khidmat perundingan, bahan mengajar, buku, kamus dan keperluan lain.
Selain mengajar, sukarelawan TFTN turut bertanggungjawab sebagai abang dan kakak kepada anak-anak memerlukan ini.
“Sistem sokongan seperti ini sukar dilihat atau seakan tidak wujud lagi dalam program bersifat sementara yang lain. Sebab itu dalam TFTN, jangka masa program haruslah tidak kurang daripada setahun.
“Justeru, saya mengajak orang ramai supaya mengamalkan sikap suka menderma atau bersedekah dalam apa jua cara yang dibenarkan di negara ini. Sekiranya berminat, anda boleh menyertai TFTN.
“Ini kerana isu pendidikan membabitkan golongan tertentu seperti murid kelas corot, anak miskin dan anak yatim tidak boleh diletakkan tanggungjawabnya ke atas kerajaan semata-mata.
“Sebagai ahli komuniti setempat, lebih banyak yang dapat dilakukan jika kita sanggup turun ke bawah dan menyelesaikan sendiri masalah ini. Ruang untuk terbabit dengan aktiviti sukarela dan kerja amal kebajikan sebenarnya lebih terbuka kepada anak muda seperti pelajar universiti.
“Saya tertarik untuk melihat bakal pemimpin negara ini turun padang dan melihat sendiri masalah masyarakat pada seawal usia yang mungkin,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: