|
SUDAH lebih setengah abad, Hairudin Jaafar menetap di Muar. Sebagai anak jati bandar itu, dia sedikit pun tidak terlintas untuk berhijrah ke tempat lain.
Baginya, tiada tempat yang lebih baik daripada Muar. Muar atau sinonim dengan panggilan Bandar Maharani sudah sebati dengan diri dan keluarganya.
Telinganya juga sudah lali mendengar kata-kata sinis masyarakat luar yang menggelar tempat tumpah kelahirannya sebagai bandar pencen yang tidak bernyawa. Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu juga tidak kisah dengan pandangan masyarakat berhubung tanah kelahirannya.
Namun, pada 24 November lalu mencatatkan sejarah tersendiri apabila status bandar pencen bertukar kepada bandar diraja. Sekalian penduduk Muar termasuk Hairudin berbesar hati dengan pengisytiharan yang dibuat secara rasmi oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar di Dataran Tanjung Emas baru-baru ini.
Lebih bermakna, pengumuman itu bersempena dengan sambutan ulang tahun baginda yang ke-54 pada 22 November lalu.
"Alhamdullillah, siapa sangka segalanya berubah sekelip mata? Jika saya sebagai anak Muar berbangga melihat perkembangan bumi Maharani yang semakin pesat membangun, apatah lagi orang luar yang baru datang ke sini," kata anak kelahiran Parit Jawa, Muar itu.
Riak wajahnya penuh kebanggaan. Ujar bapa kepada tiga orang anak itu, selaku orang lama dirinya menjadi saksi kepada perkembangan daerah yang berkeluasan 2346.12 kilometer persegi itu.
Menurut beliau, beberapa dekad lalu, feri merupakan pengangkutan utama masyarakat Muar. Pada masa dahulu jalan darat tidak banyak. Apatah lagi, kompleks beli-belah.
Pembinaan Jambatan Sultan Ismail dan Jambatan Kedua Muar ujarnya, merupakan penanda aras kepada kemajuan daerah Muar.
Namun, yang paling signifikan, rakyat daripada pelbagai lapisan bangsa dan agama hidup aman damai dan bersatu padu.
Mercu tanda
Muar atau nama lamanya, Bentayan tidak tenggelam dek arus kemodenan. Bagaimanapun, sifatnya yang mengekalkan bangunan-bangunan klasik dan kolonial yang mendominasi bandar itu menjadikannya sebuah daerah yang cukup berbeza.
Demi memastikan generasi baharu tidak terus melenyapkan ingatan mereka terhadap keagungan tradisi dan budaya kesultanan terdahulu, satu monumen unik yang menjadi mercu tanda baharu Muar dibina di Bulatan Sulaiman dengan kos melebihi RM1 juta sempena perisytiharan Muar sebagai bandar diraja.
Menurut Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, monumen tersebut mempunyai identiti sendiri. Ia dilengkapi empat gading gajah gergasi dan mahkota di bahagian atasnya.
"Penggunaan gading gajah dan mahkota sebenarnya melambangkan keistimewaan negeri ini selain pengaruh Kesultanan Johor. Empat gading gajah itu melambangkan negeri ini suatu masa dahulu mempunyai banyak gajah semasa Sultan Abu Bakar membuka negeri ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara pemilihan mahkota pula menunjukkan Kesultanan Johor merupakan kerajaan pertama yang mempunyai mahkota sendiri berbanding kesultanan Melayu lain.Binaan mercu tanda itu begitu mempesona. Selain dapat menghubungkan lima jalan utama di bandar ini iaitu Jalan Arab, Jalan Khalidi, Jalan Ibrahim, Jalan Sulaiman dan Jalan Temenggong Ahmad, ia juga dilengkapi dengan laluan pejalan kaki, air pancut, landskap dan lampu berwarna-warni yang mengindahkan lagi bandar Muar pada waktu malam.
Para penduduk di Muar khususnya teruja dengan status baharu bandar mereka. Bagi meraikan satu lagi sejarah, Muar dimeriahkan dengan pelbagai acara. Antaranya termasuklah mengembalikan semula adat istiadat lama selama lima hari lima malam berturut-turut.
Sebelum itu, bagi menunjukkan tanda sokongan dan kecintaan kepada raja mereka, sebahagian besar peniaga mengecat semula premis perniagaan mereka bagi mengindahkan lagi pemandangan bandar Muar.
Perkahwinan diraja
Sebagai pembuka acara, rakyat dihidangkan dengan upacara Majlis Letak Kerja Pertabalan Sempena Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja dengan menaikkan bendera diraja dengan diiringi tiga das tembakan meriam.
Abdul Rahim selaku Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor memberitahu, upacara tersebut sangat istimewa dalam Kesultanan Johor ekoran amalan itu tidak dipraktikkan dan tidak terdapat di negeri lain.
Kali terakhir upacara tersebut dijalankan ialah pada tahun 1922 bagi meraikan perkahwinan salah seorang kerabat diraja Johor.
"Sejarah upacara ini dimulakan oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1874 untuk meraikan kerajaan sebelum ditukar kepada hari keputeraan. Biasanya bendera akan dinaikkan tiga atau empat hari sebelum majlis berkenaan berlangsung, upacara ini dihidupkan semula selepas 90 tahun ia tidak dilakukan," katanya.
Selain itu, terdapat beberapa lagi amalan dan adat istiadat Kesultanan Johor yang dihidupkan semula. Antaranya ialah majlis tahlil dan doa kesyukuran, majlis triman, majlis mengadap takzim dan majlis pengurniaan darjah dan pingat. Baginda mengurniakan gelaran-gelaran yang pernah digunakan pada masa lalu seperti Laksamana Bentan kepada salah seorang daripada anakandanya.
Lebih menarik, bahasa yang digunakan ialah bahasa istana.
Kata Abdul Rahim, penduduk Muar amat bertuah kerana daerah itu dipilih untuk sambutan tersebut kerana tidak pernah diraikan di daerah lain apatah lagi dalam satu majlis yang gilang-gemilang seumpamanya.
Rakyat berpeluang menyaksikan Majlis Pengurniaan Darjah dan Pingat secara langsung apabila Majlis Perbandaran Muar (MPM) menyediakan empat buah skrin yang dipasang di pekarangan dewan tersebut di Jalan Arab, Jalan Maharani, Padang Nyiru dan di pekarangan Stesen Bas Bentayan.
Kemudahan itu tidak hanya untuk menyaksikan majlis tersebut, bahkan penduduk setempat berpeluang menonton secara langsung majlis kesyukuran, majlis triman dan menghadap takzim serta majlis pengurniaan darjah dan pingat sebelum santapan diraja.
Layar lebar itu disediakan kerana semua majlis tersebut diadakan secara tertutup selain julung-julung kalinya diadakan di luar Istana Besar Johor Bahru selepas 125 tahun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: