Thursday, December 20, 2012

Cabaran Adik Manja versi Dharma


PELAKON watak penting filem Adik Manja, Noor Kumalasari (dua dari kanan) hadir memberi sokongan moral. Dia sempat bergambar bersama tiga pelakon Adik Manja The Returns iaitu (dari kiri) Ezlynn, Adeline Tsen dan Maria Tunku Sabri.


PADA era 1980-an, karya Othman Hafsham, Adik Manja merupakan antara filem yang paling mendapat sambutan. Mempertaruhkan dua bintang popular ketika itu iaitu Noor Kumalasari dan Dharma Harun Al Rashid, Adik Manja yang juga dibantu oleh pelakon Adibah Amin telah memperoleh kutipan sebanyak RM3.5 juta sepanjang tempoh ia ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.
Melihat kepada sambutan dan impak populariti filem tersebut, pelakon utamanya, Dharma mengambil risiko dengan menerbitkan semula Adik Manja dalam versi moden selepas 29 tahun ia pertama kali diterbitkan.
Melalui garapan baharu dengan menampilkan Dharma sendiri sebagai tonggak utama, naskhah yang diberi judul sebagai Adik Manja The Returns ini diperkuatkan oleh barisan pelakon terdiri daripada Rozita Che Wan, Faezah Elai, Juliana Evans, Ezlynn dan Maria Tunku Sabri.
Kata Dharma, secara umumnya Adik Manja The Returns masih mengekalkan jalan cerita yang hampir sama dengan Adik Manja.
Dharma yang merupakan pengarah dan penerbit filem tersebut turut menjelaskan, walaupun dia telah mengubah sedikit jalan ceritanya agar bersesuaian dengan situasi masa kini, namun dia masih lagi menggunakan acuan atau konsep Adik Manja yang pernah menampilkan dirinya untuk karakter Cikgu Azmi itu.
“Sebagai contoh, saya masih lagi mengekalkan konsep tentang pelajar kolej yang saling bergaduh. Selain itu elemen cinta, konflik dan kekeluargaan seperti yang pernah dipaparkan juga masih dikekalkan,” jelasnya yang masih melakonkan watak Cikgu Azmi menerusi Adik Manja The Returns.
Mengulas tentang harapan terhadap filem bikin semula tersebut, Dharma tidak menyembunyikan perasaan gusarnya.
“Secara jujur, saya risau terhadap sambutan yang bakal diterima melalui Adik Manja versi moden ini.
“Bagaimanapun, saya yakin kekuatannya terletak pada judul Adik Manja itu sendiri dan para pelakon yang saya tampilkan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pratonton filem tersebut di TGV, Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujarnya lagi, kekuatan label Adik Manja itu sendiri akan menarik peminat yang pernah menonton filem itu suatu ketika dahulu untuk hadir ke panggung, sekali gus mampu mengembalikan nostalgia mereka.
Mengenai risiko Adik Manja The Returns gagal meraih sambutan, kata Dharma, dia telah mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku sebaik filem itu ditayangkan.
Ujarnya, dia tidak akan kecewa sekiranya filem tersebut tidak mendapat pulangan yang memberangsangkan memandangkan ia merupakan produk pertama di bawah syarikat produksi miliknya sendiri iaitu Adik Manja Sdn. Bhd.
“Segala risiko kelak, saya akan tanggung dan tidak kisah jika ia tidak mendapat untung. Memadai jika dapat menanggung semula kos modal pembikinan filem ini,” jelasnya.
Adik Manja The Returns mula ditayangkan di 45 pawagam seluruh negara pada hari ini, 20 Disember.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: