Wednesday, December 5, 2012

Bopha membadai Filipina


PENDUDUK mengumpulkan barang-barang selepas rumah mereka musnah ditiup Taufan Bopha di bandar Cagayan de Oro, Mindanao semalam.


MANILA - Taufan Bopha meragut 43 nyawa di sebuah bandar di Filipina semalam, lapor stesen televisyen tempatan, ABS-CBN dari lokasi kejadian.
"Saya mengira sebanyak 43 mayat di atas lantai," kata wartawan, Vina Araneta kepada stesen televisyen berkenaan menerusi panggilan telefon dari sebuah bangunan pentadbiran di bandar Bataan Baharu di selatan Pulau Mindanao.
Terdahulu beberapa pegawai melaporkan, seramai lapan orang terbunuh dalam bencana tersebut di beberapa tempat lain di Mindanao.
Wartawan berkenaan menyatakan datuk bandar itu, Lorenzo Balbin memberitahunya bahawa kebanyakan mangsa yang maut berasal dari perkampungan berdekatan di mana banjir kilat telah menenggelamkan sebuah pangkalan tentera Filipina.
Bopha yang merupakan taufan terkuat melanda Filipina pada tahun ini membadai Mindanao semalam dengan menyebabkan banyak rumah musnah dan bekalan elektrik terputus.
Ribut yang berkelajuan 195 kilometer sejam itu turut menumbangkan pokok-pokok dan bumbung-bumbung rumah.
Pegawai bencana, Liza Mazo berkata, lebih banyak kemalangan jiwa dijangka berlaku selepas pasukan penyelamat dikerah ke tempat-tempat yang terjejas teruk dalam bencana tersebut.
Media Filipina melaporkan berpuluh-puluh orang cedera akibat terkena serpihan yang diterbangkan angin, dihempap pokok tumbang dan dihanyutkan banjir kilat.
Namun, pihak berkuasa dapat mengelakkan angka kemalangan jiwa lebih besar dalam taufan kali ini ekoran perpindahan awal yang dilakukan. Setakat semalam lebih 155,000 orang berlindung di sejumlah pusat penempatan sementara di pulau berkenaan.
Sekitar 20 taufan melanda Filipina pada setiap tahun termasuk taufan Thelma (1991), Ketsana (2009) dan Megi (2010) dan dengan mendatangkan banyak kemusnahan dan kematian.
Seramai 1,500 orang terbunuh apabila Taufan Washi melanda Mindanao pada tahun lalu.
"Sudah cukup kami terseksa," kata seorang wanita, Felicitas Cabusao sambik memeluk anak perempuannya yang berusia 12 tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, berpuluh-puluh penerbangan dan perkhidmatan feri di tengah dan selatan Filipina digantung semalam manakala sekolah dan sebahagian premis perniagaan turut ditutup.
Bopha yang membawa ribut meliputi kawasan seluas 500 kilometer kini bergerak ke arah barat-barat daya dan dijangka tiba di Laut China Selatan esok.
Bopha yang bermaksud bunga atau gadis dalam bahasa Kemboja merupakan ribut ke-16 yang melanda Filipina pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: