Wednesday, December 5, 2012

Along, Yana tutur bahasa Jepun

YANA...cipta sendiri karakter Ichigo.
YANA...cipta sendiri karakter Ichigo.
BERTUTUR dalam bahasa Jepun pada waktu yang singkat mungkin perkara sukar dilakukan, namun atas dasar tanggungjawab, Yana Samsudin berjaya melaksanakannya seperti yang diminta pengarah.
Malah sesi pembelajarannya lebih mudah apabila guru bahasa Jepun turut disediakan demi menjayakan watak Ichigo Yamada di dalam filem terbarunya, Strawberi Cinta yang bakal menemui penonton di pawagam mulai esok.
   
  • Foto CABARAN...taruhan terbaru filem terbitan MIG .
  • Foto
  • Foto ALONG...makin laris berlakon.
Untuk kali kedua, Yana digandingkan bersama Pierre Andre selepas disatukan dalam filem 3 Temu Janji juga terbitan Metrowealth Pictures (MIG).

Berkongsi perasaan digandingkan bersama lelaki yang pernah menjadi kekasih hati sedikit masa lalu, Yana berkata, tiada rasa kekok antara dia dan Pierre disebabkan masing-masing profesional ketika bekerja.

Perpisahan yang berlaku secara baik juga membuatkan perhubungan mereka terjalin baik sehingga kini di samping memudahkan segala urusan kerja membabitkan mereka berdua.

“Tiada masalah pada saya dan Pierre dalam mencari keserasian ketika menjalani penggambaran filem ini, masing-masing profesional dan bijak menyesuaikan diri, malah kami senang bekerjasama,” kata Yana.

Tambah Yana, walaupun kerap kali filem lakonannya muncul di layar perak, ia bukan bermakna Yana sapu bersih setiap tawaran yang diberikan sebaliknya dia sentiasa meneliti watak yang diberikan supaya tidak sama dengan wataknya di dalam filem lain.

“Saya tertarik dengan skrip filem ini. Diberi peluang menjadi gadis Jepun, ia satu cabaran untuk saya menguasai bahasa ini tambahan pula saya kerap terdedah dengan filem-filem Jepun membuatkan saya senang untuk mendalaminya.

“Mungkin orang lain akan menolak atau susah hati apabila ditawarkan watak gadis yang perlu sentiasa bertutur bahasa Jepun, namun tidak bagi saya kerana inilah peluang untuk saya mencuba satu lagi watak baru yang jarang dilakonkan pelakon di Malaysia.

“Lebih menarik lagi, bukan sekadar pertuturan, saya juga perlu bergaya seperti gadis Jepun. Justeru gaya Lolita diwujudkan di dalam watak Ichigo yang turut mendapat idea saya di samping karakter diri yang menurut pengarah melihat saya sesuai dengan watak itu,” katanya.

Bukan saja Yana, watak Along Eyzendy sebagai Naru Hudo juga memerlukan lelaki hitam manis ini banyak bertutur di dalam bahasa Jepun. Namun berbeza dengan Yana, Along mempunyai kesukaran menguasai bahasa berkenaan disebabkan tidak biasa dan kurang terdedah.

“Pada awal mendapat skrip memang agak terkejut apabila saya diminta bertutur dalam dialog bahasa Jepun, memang sukar tetapi guru bahasa yang dibekalkan membuatkan saya berjaya menguasai bahasa itu.

“Pernah juga saya ketawa sendiri dan berkata dalam hati, kulit hitam macam saya bolehkah cakap dan jadi orang Jepun. Memang satu pengalaman kelakar tetapi dalam masa sama memberi peluang baru untuk saya meluaskan lagi bidang lakonan.

“Walaupun ada kala kurang yakin setiap kali melontarkan ayat Jepun, saya tidak pernah berasa tertekan kerana pengarah dan kru lain banyak memberi sokongan moral,” kata Along.

Jika dilihat pada tajuk filem, ramai tidak menyangka ini adalah buah tangan terbaru MIG yang memberi kelainan pada jalan cerita mengisahkan seorang gadis Jepun yang datang ke Malaysia.

Bergenre romantik, filem arahan Mohd Rusli Khadri ini turut membariskan pelakon lain seperti Diana Amir, Fifi Natasya, Gbob Raja Lawak, Siti Aziz, Dian P Ramlee dan Liza Abdullah.

Teruja dengan watak dan jalan cerita, Yana dan Along juga berfikiran sama apabila melihat tajuk filem dengan kisah yang dipaparkan seperti tiada kaitan.

“Saya sendiri pada mulanya keliru selepas melihat skrip hairan apakah kaitan tajuk dengan filem, namun jika dilihat semula tajuk filem ini diambil sempena dengan pusat pelancongan yang digunakan Ichigo sepanjang berada di Malaysia.

“Strawberry Vanilla Travel & Tours yang diterajui oleh Hakimie lakonan Pierre adalah permulaan di mana Ichigo memulakan misinya mencari seseorang di Malaysia.

“Walaupun jalan cerita yang ringan, saya tertarik kerana memperoleh pengalaman baru dapat belajar bahasa Jepun dan berjaya mencipta identiti Ichigo tanpa meniru mana-mana gaya pelakon Jepun,” kata Yana yang bakal sibuk promosi dua filem lakonannya pada Januari depan iaitu Minyak Dagu dan Wawa Semput.

Sementara itu, Along pula mengakui kini dia lebih banyak ditawarkan berlakon filem berbanding drama. Bukan memilih untuk beraksi di layar perak sebaliknya semua itu datang daripada pihak yang menawarkan.

“Saya tidak pernah meletakkan diri untuk berlakon filem semata-semata, sebagai pelakon saya berharap dapat berlakon kedua-duanya, namun sehingga ke hari ini saya lihat rezeki berlakon filem lebih berpihak kepada saya.

“Jika sebelum ini drama lakonan saya kerap ditayangkan di Astro sehinggalah saya sibuk dengan filem, saya terasa seperti tiada pihak yang sudi mengambil saya untuk berlakon di stesen televisyen lain.

“Pernah juga tertanya apakah sebenarnya yang terjadi tetapi saya tidak mahu terlalu memikirkannya dan lebih baik fokus saja terhadap filem lakonan saya yang baru selesai menjalani penggambaran Lagenda Budak Hostel dan Bro Nampak Motor Gua,” katanya yang menghasilkan sendiri skrip filem Lagenda Budak Hostel.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: