Friday, June 22, 2012

Zoomers Kelab Doktor Muda


MASKOT Antabax Germ Buster serta maskot Doktor Muda bersama para pelajar Sekolah Kebangsaan Wawasan Seremban 2 bergambar di hadapan mural yang telah siap.


ANTABAX rangkaian penjagaan diri antibakteria yang inovatif dan dipercayai, kini meneruskan usahanya untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan serta kebersihan.

Usaha tersebut direalisasikan hasil kerjasama dengan Kelab Doktor Muda Kementerian Kesihatan Malaysia melalui pelancaran pertandingan Melukis Mural Kesihatan dan Kebersihan Kebangsaan Antabax untuk menggalakkan penjagaan kesihatan serta kebersihan.

Selain itu, pada majlis yang sama skuad Zoomers Kelab Doktor Muda turut dilancarkan.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di Sekolah Kebangsaan Wawasan Seremban 2.

Kelab Doktor Muda merupakan suatu program kokurikulum yang dianggotai oleh para pelajar Tahun 4, 5 dan 6 bagi melatih murid-murid untuk menjadi mentor kepada rakan-rakan sebaya.

Mereka juga adalah individu yang bertindak sebagai pemangkin perubahan kepada pengetahuan, sikap dan amalan positif tabiat penjagaan kesihatan.

Para pelajar yang menyertai aktiviti-aktiviti kelab itu dilatih mengenai asas kesihatan agar ia dikongsi bersama dengan rakan sebaya.

Kementerian Kesihatan memperkenalkan skuad mobil Zoomers iaitu skuad dengan kenderaan khas yang membolehkan demonstrasi kesihatan dan kebersihan oleh Kelab Doktor Muda.

Antabax adalah penaja utama aktiviti-aktiviti Kelab Doktor Muda pada tahun 2012.

Hadiah RM10,000

Sempena pelancaran pertandingan Melukis Mural Kesihatan dan Kebersihan Kebangsaan Antabax pula, pihaknya mengumumkan sekolah yang mempunyai mural terbaik akan menerima RM10,000.


Kelab Doktor Muda merupakan satu program kokurikulum yang bertujuan melatih pelajar sekolah supaya dapat mengajar rakan sebaya mengenai penjagaan kebersihan dan kesihatan.


Sementara itu, empat sekolah terbaik pula akan menerima satu tahun bekalan produk Antabax yang boleh digunakan di kawasan-kawasan umum persekitaran sekolah.

Menurut kajian, secara purata tangan manusia mempunyai hampir 150 spesies bakteria sementara 80 peratus jangkitan tersebar melalui tangan yang kotor.

Tabiat kebersihan yang mudah iaitu membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan cecair nyah kuman dapat mengurangkan jumlah statistik tersebut.

Membasuh tangan dengan cara yang betul telah terbukti dapat mengurangkan risiko cirit-birit sebanyak 20 peratus dan risiko jangkitan saluran pernafasan sebanyak 24 peratus.

Sehingga kini terdapat kira-kira 1,392 (18 peratus) buah sekolah rendah di seluruh Malaysia telah menubuhkan Kelab Doktor Muda dengan penglibatan 36,000 orang murid sekolah Tahun 4 hingga 6.

Jelajah Zoomers

Bermula tahun 2006, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengiktiraf program itu sebagai aktiviti kokurikulum dan kini dikenali sebagai Kelab Doktor Muda.

Menurut Rosnah objektif utama penganjuran Zoomers Kelab Doktor Muda adalah untuk menarik lebih banyak sekolah untuk menubuhkan kelab itu.

"Bagi memantapkan Zoomers Kelab Doktor Muda seramai 46 orang anggota kesihatan dan pelajaran telah dilatih untuk berperanan sebagai jurucakap utama yang akan diadakan di setiap negeri.

"Program yang bermula di Seremban, Negeri Sembilan dijangka berakhir pada 20 Oktober 2012 di Sabah," katanya.

Antabax merupakan jenama tempatan produk penjagaan diri antibakteria yang inovatif. Ia menawarkan rangkaian lengkap produk-produk antibakteria dengan promosi gaya hidup yang lebih sihat untuk kegunaan seisi keluarga.

BEBERAPA pelajar sekolah sempat memandang lensa kamera ketika melukis mural baru-baru ini.


Ia telah lama memperjuangkan program-program kesihatan dan kebersihan untuk komuniti tempatan sejak berlakunya wabak Influenza A (H1N1) pada tahun 2009.

Menurut Pengurus Besar (Bahagian Pemasaran Penjagaan Rumah & Penjagaan Diri) Lam Soon, Francis Ng, Antabax menaja program Kelab Doktor Muda kerana ia memahami kepentingan memupuk tabiat penjagaan kebersihan yang baik dalam kalangan kanak-kanak.

"Kelab Doktor Muda merupakan platform terbaik untuk meningkatkan kesedaran, mengajar dan memupuk tabiat yang baik dalam kalangan murid-murid sekolah supaya dapat diamalkan seumur hidup," ujarnya.

Antabax mengalu-alukan penyertaan-penyertaan kreatif untuk pertandingan Melukis Mural Kesihatan dan Kebersihan Kebangsaan Antabax yang bermula bulan lalu dan berakhir pada 15 Oktober nanti.

Sekolah-sekolah yang mempunyai Kelab Doktor Muda yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan tersebut di laman web www.facebook.com/NewAntabax.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: