|
|
SEBELUM ini kecoh dunia seni Indonesia apabila penyanyi popular negara seberang, Syahrini atau nama sebenarnya Fatimah Syahrini Zailani dikatakan bercinta dengan cucu sultan Selangor dari Malaysia.
Bertambah hangat apabila kekasih Syahrini selama dua tahun itu, Raja Mohamad Syazni Raja Mohamad Rashid mengaku yang dia bukanlah cucu Sultan Selangor tetapi hanya kerabat sahaja dan menyalahkan pihak media Indonesia yang salah menulis fakta serta suka memperbesarkan isu yang tidak benar.
Terbaharu, gambar Bubu bermesra dengan wanita lain serta gambar Syahrini mencium pipi seorang lelaki lain telah tersebar di internet.
Bubu yang hadir ke Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! pada Isnin lalu di Hotel Renaissance menemani bapanya, Raja Mohamad Rashid Raja Salehuddin atau lebih dikenali sebagai Wan daripada kumpulan terkenal 70-an, kumpulan Carefree menjawab isu terbaharu itu.
Bapa Bubu pula memberitahu dia dan keluarganya merestui hubungan anaknya dengan Syahrini tetapi kurang senang dengan tumpuan melampau yang diberikan media Indonesia kepada hubungan cinta anaknya dan Syahrini.
Kosmo!: Pihak media Indonesia mendakwa kamu menipu sebagai cucu Sultan Selangor, komen?
BUBU: Saya ingin tegaskan di sini, saya tidak pernah mengaku yang saya cucu Sultan Selangor, saya hanyalah kerabat sahaja. Cerita yang mengatakan Sultan murka juga tidak benar kerana sehingga hari ini saya tidak pernah dipanggil ke istana. Pihak media Indonesia yang mungkin salah faham dan suka membesarkan isu.
Gambar mesra kamu bermesra dengan wanita lain serta gambar Syahrini mencium lelaki lain jejaskan hubungan kalian atau tidak?
Soal gambar, kami hanya orang biasa dan boleh bergambar dengan apa cara sekalipun. Kami masih bercinta dan hubungan kami masih baik seperti biasa. Sebenarnya, saya baru pulang dari Jakarta, Indonesia kerana urusan perniagaan dan bertemu Syahrini.
Tertekan apabila bercinta dengan penyanyi terkenal?
Ketika mula kenal saya tidak tahu dia penyanyi tetapi selepas tahu, saya tidak kisah kerana sudah suka. Tiada tekanan disebabkan dia seorang penyanyi tetapi saya tertekan dengan tumpuan yang diberikan media Indonesia terhadap saya yang bukannya seorang selebriti.
Syahrini sudah bertemu keluarga di Malaysia?
Sudah, malah banyak kali dia ke Malaysia jumpa keluarga saya. Alhamdulillah, hubungan kami direstui keluarga kedua-dua belah pihak.
Perancangan perkahwinan dengan Syahrini?
Setiap pasangan sudah pasti ingin mengakhiri hubungan dengan sebuah perkahwinan sama juga seperti saya tetapi bukan dalam masa terdekat. Jika memang dia jodoh saya, kami akan berkahwin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: