Monday, June 25, 2012

Variasi hijab Twist


LILITAN ringkas seperti ini ideal buat wanita yang ingin tampil santai.


WANITA hari ini terutamanya kelompok muda tidak lagi mahu menggayakan tudung tradisional. Peredaran zaman telah menukar konsep tudung asas kepada fesyen berhijab. Rata-rata perempuan tertarik dengan pelbagai ikatan tudung yang diperkenalkan dan mengikuti riak pembaharuan itu agar tidak ketinggalan.

Twist di bawah jenama Wendy-Joyce merupakan ilham dua wanita yang cukup mencintai dunia fesyen. Dengan bantuan Feexa Nicoll selaku pereka stail hijab Twist, produk ciptaan Joyce Chua dan Wendy Liew itu mudah menangkap minat wanita Muslimah.

Antara gaya hijab yang boleh dibentuk ialah rock chic. Ia sesuai untuk acara kasual dan ikatannya juga kemas, tidak berserabut. Bagi yang inginkan gaya ibarat puteri kisah dongeng, Rapunzel twist dengan rantai melilit hijab menjadi pilihan sempurna.

Untuk ke acara formal seperti makan malam, JLO twist yang diperkemaskan seakan-akan rambut diikat sanggul merupakan gaya yang mampu mencuri tumpuan. Goldilock twist juga tidak kurang hebatnya dalam membentuk penampilan santai.

Terdapat banyak lagi gaya yang boleh dibentuk dengan hijab Twist. Merah, ungu, biru dan jingga merupakan pilihan warna yang ada untuk disuai padan bersama aksesori tambahan. Tampil tanpa sebarang motif dan corak, hijab Twist sememangnya bebas dipadankan dengan pilihan pemakainya.


JENAMA Wendy-Joyce mencipta seleksi teknik lilitan tudung khas buat golongan wanita bertudung yang ingin mencuba sesuatu yang baharu.


Fabrik berkait yang digunakan juga mudah diregang membuatkan ia senang dibentuk dan tidak berkedut. Menariknya, hijab twist itu juga boleh dijadikan top twist bagi membentuk kardigan atau blaus singkat. Ia juga sesuai untuk semua bentuk badan walaupun disediakan dalam satu saiz sahaja.

Memandangkan ia masih baharu di pasaran, harga pengenalan yang diletakkan ialah RM99.90 dan tidak lama lagi ia bakal dijual pada harga pasaran iaitu RM129.90. Buat masa ini, hijab dan top twist dijual secara dalam talian menerusi laman web www.wendy-joyce.com.

Untuk tutorial dan pelbagai rekaan tudung pula, kunjungi laman sosial Facebook Feexa, Hijab ‘n’ the City.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: