Tuesday, June 26, 2012

Ekstrak lintah untuk lelaki

Ekstrak lintah digunakan untuk menghasilkan produk kesihatan.

Lintah! Jika dilihat dari bentuk fizikalnya, mungkin ramai antara kita yang tidak gemar dan jijik untuk menyentuh lintah kerana keadaan badannya yang berlendir, lembik dan licin.

Tidak kurang pula ada yang akan rasa geli-geleman terutamanya golongan wanita hingga berdiri bulu roma apabila bercakap mengenai haiwan kecil tersebut.

Secara amnya, apabila bercakap mengenai lintah pengetahuan masyarakat hanya terhad kepada sifat semulajadinya yang menghisap darah mangsa lalu mengeluarkan bahan anti pembekuan darah yang dinamakan hirudin.

Namun jika dikaji dengan lebih teliti, lintah atau nama saintifiknya Hirudo medicinalis juga mengandungi kolagen yang boleh digunakan dalam industri kosmetik dan juga perubatan dalaman tubuh badan.

Menyedari keistimewaan yang terdapat pada haiwan yang sedia maklum hidup di kawasan berpaya terutama sawah padi, Zamri Ibrahim, 40, memberanikan diri untuk mengkomersialkan keistimewaan lintah dalam dunia perubatan.

Menubuhkan syarikat Artsoulist Holdings Sdn. Bhd. (Artsoulist) bagi memudahkan perusahaannya, usahawan kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, lendir yang terdapat pada haiwan kecil itu diyakini mampu membantu melancarkan peredaran darah serta mengurangkan masalah pada sendi badan.

"Faktor yang menarik perhatian saya untuk mulakan penyelidikan mengenai lintah ini bermula apabila melihat kepada masalah sosial yang berlaku di kalangan pasangan yang sudah berumahtangga.

"Tidak dinafikan antara faktor penceraian berlaku berpunca daripada masalah ketika pasangan melakukan hubungan kelamin yang mana suami tidak mampu mengekalkan ketegangan alat sulit.

"Walaupun kedengaran agak remeh, namun ia tetap menjadi antara punca penceraian berlaku kerana pasangan tidak mampu memberi kepuasan maksimum kepada isteri ketika melakukan hubungan kelamin," kata Zamri.

Justeru, beliau menjalankan penyelidikan mengenainya dan cuba mencari jalan penyelesaian sekali gus yang mampu menyelesaikan masalah tersebut.

Apabila mengetahui lintah mampu membantu memulihkan tenaga batin serta menambah saiz alat sulit, Zamri menanam cita-cita untuk menternak haiwan tersebut sekali gus menguruskan perniagaan yang mengkomersialkan pati minyak haiwan itu.

Berkongsi pengalaman mengenai penubuhan Artsoulist yang membawa jenama Sensaoil di pasaran, Zamri yang mula menceburkan diri dalam bidang ternakan lintah sejak tahun 1997 menjalankan penyelidikan dengan kerjasama beberapa buat universiti tempatan.

Jelasnya, seorang penternak lintah perlu mengetahui cara hidup di samping memahami sifatnya bagi memudahkan sistem ternakan tanpa berhadapan dengan sebarang masalah.

Bermula dengan cara hidup, habitat hinggalah makanan ruji haiwan kecil penghisap darah tersebut, penternak juga perlu benar-benar arif mengenai spesies lintah yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

"Jika penternak lintah tidak mahir dan arif mengenai perkara asas yang diperlukan lintah, induk yang diternak tidak mampu mengeluarkan ekstrak berkualiti.

"Tempoh matang bagi induk adalah antara enam hingga lapan bulan dan haiwan ini mampu hidup sehingga lima tahun bergantung kepada cara ternakan yang dijalankan oleh penternak," ujarnya.

Bercerita lanjut, haiwan yang mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina ini mempunyai enzim yang dihasilkan daripada air liur berfungsi untuk menahan darah dari membeku semasa gigitannya.

Bagi memperoleh ekstrak lintah, proses pengekstrakan dijalankan terhadap lintah yang berkualiti dan menerusinya, ia menghasilkan dua jenis produk akhir iaitu bentuk cecair atau pun minyak.

Teknologi pengekstrakan yang digunakan terdiri daripada beberapa kaedah iaitu dengan menggunakan pelarut, perahan atau teknik penyulingan.

Pengekstrakan menggunakan pelarut boleh dilakukan menggunakan empat jenis teknik iaitu maserasi, perkolasi, refluks dan soxhlet.

Teknik maserasi dijalankan di dalam bekas tertutup pada suhu bilik kira-kira 25 darjah celsius menggunakan bahan pelarut organik seperti etanol dan air manakala teknik perkolasi pula menggunakan bahan pelarut yang dipanaskan.

Teknik pengekstrakan refluks pula menggunakan bahan pelarut dan air dan dijalankan pada suhu tinggi.

Bagi teknik soxhlet, ia dijalankan secara berterusan dan berperingkat dengan menggunakan pelarut yang berbeza mengikut pola.

"Kesemua teknik ini jalankan di kilang Artsoulist yang terletak di Ajil, Hulu Terengganu, Terengganu dan di sana juga terletaknya kolam ternakan lintah yang dijadikan sumber utama pembuatan pati minyak lintah.

"Bagi setiap satu kilogram lintah, ia mengandungi kira-kira 100 ekor lintah dan kesemuanya akan diperiksa kualiti sebelum diasingkan untuk proses pengekstrakan," jelasnya.

Sementara itu menurut pembantu makmal Artsoulist Holding Sdn Bhd, Saharudin Abdullah Omar kaedah penyulingan minyak pati sedikit berbeza yang mana ia menggunakan bahan-bahan seperti air dan hidrostim.

"Kaedah ini akan dijalankan secara langsung di dalam makmal untuk mendapatkan pati minyak lintah tersebut.

"Selain itu, pengekstrakan lintah juga boleh dijalankan menggunakan teknologi bendalir lampau genting iaitu pengekstrakan hasilan semula jadi menggunakan karbon dioksida pada suhu sehingga 60 darjah celsius.

"Kaedah pengekstrakan ini digunakan bagi mendapatkan hormon-hormon yang terkandung di dalam badan lintah yang dijadikan bahan asas pembuatan produk kesihatan sama ada dalam bentuk cecair atau minyak," jelasnya.

Mereka yang berminat untuk mendapat maklumat lanjut mengenai rangkaian produk minyak lintah keluaran Artsoulist, boleh menghubungi talian 03-90801678 atau layari laman web www.artsoulist.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: